Thursday, February 4, 2016

PERNIAGAAN REMPAH SALEEM......

                      السلام عليكم 



Alhamdulillah setelah bertahun lama tak bukak Blog ni...hari ni nak update sikit....bukan pasal apa pun..ni nak update pasal rempah yang penah post dulu...Insya Allah hari ni start smula  bisnes jualan rempah...

Nak cerita sal rempah ni..rempah ni buatan sendiri dari family aku sendiri...ada bahan2 rahsia yang menyedapkan lagi rasa rempah ni...yang paling penting rempah ni diadun dan dimasak oleh kalangan para hafiz Quran yang mana setiap kali adun rempah mulut terkumat kamit baca ayat suci Quran...so keberkatan pada rempah tu ada...dan yang paling penting rempah ni 100% orang Islam yang buat...

So sesiapa yang nak merasa rempah yang 

terbaik,sedap,halal,bersih dan baraqah boleh WhatsApp aku di nombor 014-7391023....

Aku jual bermacam enis rempah antaranya rempah ayam goreng,rempah kari ikan,rempah kari ayam,rempah murtabak,rempah BBQ,rempah tandoori,rempah soto,rempah kurma,rempah guali darat,rempah gulai kawah,rempah satey,rempah kuzi,rempah kerutuk,rempah briyani & macam2 lagi rempah yang aku jual...

Sekiranya berminat boleh WhatsApp aku untuk keterangan lanjut.....




Sunday, May 18, 2014

Dah berhabuk......

Dah lama aku  kemas blog aku ni....maklumla aku beralih dakwah di fb.......so aku pun x mo ckp byk...korg yg nak follow aq ..meh follow aq kat sini https://www.facebook.com/mursyidulam,,,,,,,ok gua challow dulu.. 

Sunday, March 17, 2013

USTAZ ABDUL SAMAD NOH: Ulama, Ahli Politik dan Penulis (1917-1984)



Merenung kembali sejarah kebangkitan ulama di Negeri Perak, kita pasti berhadapan dengan rentetan perjuangan yang tidak kunjung padam oleh beberapa orang ulama silam dalam mendaulat dan mengembangkan syiar Islam di tanah airnya sendiri terutama sewaktu sebelum kemerdekaan negara. Mereka sanggup berkorban semata-mata untuk menunaikan tuntutan Allah s.w.t kerana sesungguhnya, sebaik-baik umat disisi-Nya ialah orang yang sanggup berjihad ke jalan Allah.Kebangkitan ulama warasatul anbia’ di Perak melalui tiga peringkat iaitu:-
  1. Zaman Pertama   (1528-1918) – zaman pengajian pondok
  2. Zaman Kedua      (1919-1950) – zaman pengajian madrasah
  3. Zaman Ketiga      (1951-1957) – zaman pengajian sekolah agama rakyat
Justeru itu, kemunculan Haji Abdul Samad Noh sebagai ulama yang terkenal dan disegani di Negeri Perak bermula penghujung Zaman Pengajian Madrasah. Kemunculan beliau seangkatan dengan ulama-ulama lain seperti Tuan Haji Sheikh Idris al-Marbawi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Junid Tola, Ustaz Abu Bakar Bakir, Tuan Sheikh Mohd. Salleh Haji Mohd. Taib, Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Zubir Haji Ahmad, Prof. Zulkifli Muhammad, Dr Burhanudin al-Helmi dan Tuan Haji Muhammad Arshad Haji Muhammad Salleh.
Mereka inilah suatu masa dahulu telah berjaya melakarkan era kebangkitan ulama di Perak dengan memenuhi setiap kegiatan dakwah dan penyampaian ilmu Islam sebagai ad-din di serata pelusuk negeri terutama memfokuskan kegiatan di madrasah, surau, masjid serta istana selain sekolah-sekolah agama rakyat.

SEMANGAT CINTAKAN ISLAM
Kebangkitan mereka bukan sahaja kerana dorongan semangat cintakan Islam semata-mata tetapi ada unsur galakan yang tinggi daripada Sultan Iskandar Shah - Sultan Perak ke-30 yang dikenali oleh rakyat jelata dengan nama mesra baginda Raja Alang Iskandar.
Bertolak dari keadaan semasa, Haji Abdul Samad Noh menjuruskan kegiatannya dengan mengajar serta bersyarah di majlis-majlis ilmu terutama apabila menerima undangan. Dia mencurahkan segala ilmu yang dipelajari di Kota Suci Makkah kepada setiap mukmin dan mukminat yang bersedia mendengarnya.
Haji Abdul Samad Noh dikenali sebagai ustaz. Dia dilahirkan pada tahun 1917. Anak kelahiran Padang Rengas, Perak ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dan di Madrasah Yahyawiyah, Kampung Lalang, Padang Rengas dan di Madrasah Masriyah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Setelah berusia 18 tahun iaitu pada tahun 1935, Ustaz Abdul Samad berpeluang melanjutkan pelajaran di Madrasatul Saulatiyah, Makkah, Arab Saudi. Semasa menuntut di situ, dia mula terbabit dalam gerakan kebangsaan bersama-sama pelajar Indonesia yang giat berjuang menuntut kemerdekaan negara mereka.
Justeru, semangat kebangsaan yang kian menebal itu telah menyeret Ustaz Abdul Samad Noh dalam penubuhan Persatuan Tenaga Makatul Musyarrafah. Pertubuhan berbau politik ini berjaya mengabungkan pelajar-pelajar Tanah Melayu dan Indonesia di Makkah. Matlamat penubuhannya hanyalah untuk memerdekakan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah Inggeris.

JURUBICARA PERJUANGAN ANAK MELAYU NUSANTARA
Kemudiannya persatuan ini menjadi bertambah kukuh apabila ia bergading bahu dengan Parti Indonesia Merdeka dan Persatuan Anak-anak Patani dengan bertindak sebagai jurubicara perjuangan anak Melayu Nusantara yang menuntut di Makkah bagi menentang penjajahan.
Dalam pergerakan dan perjuangan pelajar-pelajar Melayu di Makkah, Abdul Samad Noh dinobatkan sebagai tokoh dari Tanah Melayu yang paling tersohor. Dia berjaya menempatkan dirinya di kalangan pelajar “Jawi” (panggilan Arab terhadap orang Melayu) di Makkah yang amat bengkeng dan baran terhadap penjajah yang sedang bermaharajalela di tanah air sendiri.
Hal ini jelas diperlihatkan apabila Abdul Samad Noh menerusi Persatuan Tenaga Melayu bertindak “ menyuntik semangat” Dato Onn Ja’afar dengan mengutus telegram menyatakan sokongan padu terhadap orang Melayu yang bangkit menentang Malayan Union pada tahun 1946.
Sekembalinya ke Tanah Melayu, dia bergiat cergas dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) melalui pelawaan Dato’ Panglima Gantang Wahab manakala beberapa rakan seperjuangan semasa di Makkah memilih Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebagai wasilah untuk meneruskan perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan.
Tetapi malangnya, apabila dia menyertai UMNO dengan sendiri dia tersisih daripada rakan-rakan seperjuangannya yang berada di PKMM. Justeru, dia lantas membawa diri dan bermastautin di Kampung Sungai Bayor dan mengajar di Madrasah Iskandariah, Sungai Bayor, Selama, Perak.
Namun begitu, pada tahun 1949 dia pulang ke Padang Rengas. Dia membulatkan tekad untuk meneruskan pembinaan Madrasah Yahyawiyah di Kampung Pondok, Padang Rengas yang terbengkalai akibat Perang Dunia Kedua. Madrasah terbengkalai itu terletak di suatu kawasan bawah Gunung Pondok. Kelihatan hanya tiang-tiang rusuk dan halang-halang yang terpasang dipanjat dan dibeliti tumbuhan menjalar serta sekitarnya penuh semak samun.
Berbekalkan semangat serta sokongan padu penduduk kampungnya, Ustaz Abdul Samad Noh berjaya membaik-pulih dan membangunkan madrasah itu. Madrasah Yahyawiah sebetulnya dinamakan mengambil sempena nama Orang Besar Perak, Dato’ Yahya yang telah menderma wang untuk pembinaaan rangka bangunan serta mewakafkan tanahnya untuk tapak sekolah berkenaan.
Ustaz Abdul Samad Noh berjaya meletakkan Madrasah Yahyawiyah sebagai sebuah sekolah agama yang terbilang semasa zaman keemasannya. Di bawah kepimpinan beliau, sekolah ini berjaya menggamit pelajar dari Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam selain negeri-negeri di Semenanjung belajar dan pernah menerima sehingga 500 pelajar perempuan dan lelaki setiap tahun.

DEWAN ULAMA UMNO
Pada sekitar tahun 1951, ketika UMNO menubuhkan Dewan Ulama, Ustaz Abdul Samad Noh dilantik sebagai wakil kawasan Padang Rengas. Namun setelah dewan tersebut dibubarkan dan membuka jalan ke arah penubuhan Parti Islam SeTanah Melayu (PAS), Ustaz Abdul Samad Noh meyertai parti itu.
Sepanjang bersama PAS, dia pernah dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Perak dan Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Pada tahun 1954, Ustaz Abdul Samad Noh bersama-sama Allahyarham Dato’ Haji Hassan Adil berjaya menubuhkan Persatuan Guru-guru Madrasah Agama Rakyat (PEGMA) dan beliau dilantik sebagai presiden pertama pertubuhan tersebut. Apabila PAS berada dalam Barisan Nadional (BN), Ustaz Abdul Samad Noh dilantik sebagai Penasihat Perkembangan Pelajaran Agama Sekolah-sekolah Malaysia selama dua tahun.
Kerjayanya dalam bidang pendidikan Islam tidak hanya menjadi Mudir Madrasah Yahyawiyah Padang Rengas tetapi juga pernah menyumbangkan jasa-baktinya sebagai Ahli Jawatankuasa Zakat Fitrah Negeri Perak (1953-1982) dan sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah serta Ahli Majlis Agama Islam Perak. Beliau juga pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Ulama Perak di samping menjadi Guru Agama Dakwah, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Perak serta anggota Adat istiadat Melayu Perak .
Dalam perkembangan syiar Islam serta pembanguan ummah, Ustaz Abdul Samad Noh dikenali sebagai seorang pensyarah yang terkemuka. Dia kerap menerima undangan berceramah sempena majlis-majlis kebesaran Islam terutama di kawasan Utara Perak.

PENGARANG MAPAN
Di samping tersohor sebagai ulama dan tokoh politik, Ustaz Abdul Samad Noh memiliki kepakaran mengarang dan layak digelar sebagai pengarang mapan. Dia berjaya menggunakan kelebihan dan keistimewaan anugerah Allah s.w.t kepadanya dengan menghasilkan beberapa buah karya dalam bentuk buku. Bagaimanapun, tidak diketahui dari manakah dia belajar seni kepengarangan itu.
Namun begitu, menurut seorang bekas muridnya bernama Noor Iskandar, Ustaz Abdul Samad Noh pernah berkata bahawa untuk menjadi seorang pendakwah yang berkesan, alim ulama perlu menguasai pelbagai kepakaran termasuklah menulis selain mengajar dan bersyarah.
Lantaran itu, di Madrasah Yahyawiyah, Ustaz Abdul Samad Noh pernah menganjurkan kursus penulisan dan kewartawanan bagi menyalurkan ilmu persuratan kepada murid-muridnya supaya dapat dimanfaatkan sebagai wasilah penyampaian dakwah yang berkesan menerusi penulisan .
Pandangan ini sebenarnya telah diamalkan oleh Ustaz Abdul Samad Noh sendiri. Buktinya, dia telah berjaya menghasilkan beberapa buah buku yang khususnya bersangkutan Islam. Antaranya ialah Isu Kafir Mengkafir, Fadhilat Ayat Kursi, Gurindam Syair Rasulullah, Bekal Tua Dan Sejarah Khalid Ibn Walid, Sahabat Rasulullah.( karya-karya ini adalah khazanah Negeri Perak yang cukup tinggi nilainya. Semoga ada pihak yang berminat untuk mengumpul dan memelihara karya tersebut supaya tidak pupus ditelan zaman ).

ULAMA PELOPOR BOLA SEPAK
Selain berdakwah dan menulis, Ustaz Abdul Samad Noh memiliki kegemaran yang paling dibenci oleh sebilangan besar alim ulama yang setaraf beliau iaitu permainan bola sepak. Dia amat meminati sukan itu. Setiap ada kelapangan sesudah menunaikan solat Asar dia pasti pergi sama ada Kuala Kangsar atau Pekan Padang Rengas semata-mata untuk menonton bola sepak di padang bandaran.
Barangkali dia ingin mengembalikan nostalgia di peranatauan. Sewaktu dia belajar di Makkah dahulu, dia pernah memperkenalkan sukan bola sepak kepada pemuda-pemuda Arab. Dia membentuk sebuah pasukan bergelar Al-Asadul Jawi (Singa Jawi) yang dianggotai pelajar-pelajar Tanah Melayu dan Indonesia. Dan Al Asadul Jawi kerap mengadakan perlawanan persahabatan dengan pemuda Arab sekaligus menerbitkan tali persahabatan di antara berlainan bangsa tetapi seagama itu.
Berikutan itu, tidak menghairankan dialah ulama pelopor bola sepak di kalangan sekolah agama rakyat di negara ini kerana memperkenalkan sukan tersebut dimainkan di Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas terutama sewaktu zaman pra-merdeka.
Sesungguhnya pada tanggal 1 Oktober 1984, Ustaz Abdul Samad Noh berpulang ke alam baqa kerana menunaikan panggilan Ilahi dengan meninggalkan selaut jasa dan budi yang boleh dipelajari dan diteladani oleh generasi kini. Al-Fatihah untuk Allahyarham – Zabidin Hj Ismail.

Tuan Guru Hj Mohd Shafie Losong



Ahmad Shafie bin Haji Muhammad Amin 1862-1945 atau nama penuhnya Haji Ahmad Shafie bin Haji Muhammad Amin merupakan salah seorang daripada ulamak Melayu yang bertanggung jawab mengembangkan syiar Islam di nusantara. Di Terengganu didikan Pondok yang terkenal sebagai Pondok Losong Haji Mohd Shafie (Hj Mohd Shafie Losong adalah cucu kepada Tok Subuh Abdul Rahman) dia berhijrah ke Terengganu untuk belajar dari Tokku Paloh (Syed Abdul Rahman Al-Idrus) dan terus berumahtangga dan membuka pengajian pondok di Losong, Kuala Terengganu. Kampung tersebut dikenali sebagai Losong Haji Mohd Shafie sehingga sekarang.

Hj Mohd Shafie hidup sezaman dengan Tok Kenali Kelantan. Tok Kenali pernah berkata: "Tidak ada orang lain (di zaman itu) yang lebih dalam ilmu tasawwufnya dari Hj Mohd Shafie Losong"

Ketokohan Hj Mohd Shafie

Hj Mohd Shafie Losong terkenal sebagai ulama yang sangat warak dan penuh dengan kekeramatan. Sewaktu Terengganu dilanda kemarau pada awal kurun ke-20, pemerintah Terengganu akan bertanya kepada  beliau di mana tempat yang perlu digali perigi kerana tempat yang ditunjukinya biasanya akan mempunyai air.


Antara muridnya

Tuan Guru Haji Bidin atau nama sebenarnya, Zainal Abidin bin Aman bin Mat Ali ialah seorang ulama yang terkenal di Terengganu. Beliau dilahirkan pada 1893 di Kampung Tasik, Wau, Ulu Dungun. Ibunya, Saadiah Jaafar ialah seorang ibu tunggal setelah suaminya meninggal dunia, tetapi kemudian berkahwin dengan Hamzah, iaitu datuk kepada bekas Bendahari Agung PAS, Ustaz Abdul Wahab Yunus. 

Haji Bidin menjadi anak yatim semenjak kecil, tetapi mendapat didikan agama daripada ibunya. Ketika berusia 11 tahun, belia dihantar belajar dengan Haji Taib Hassan dan Ustaz Baki Awang di Kampung Sindol. Pada 1906, beliau memasuki Pondok Pulau Serai dan berguru dengan Tuan Guru Haji Yusof bin Lebai Isa selama enam tahun. 

Setelah itu beliau berhijah pula ke Pondok Losong untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong yang terkenal itu 1914.

Haji Wan Ibrahim Bin Wan Abdul Kadir


Haji Wan Ibrahim lahir pada tahun 1894 di Bendang Daya, Patani. Beliau adalah adik kepada Pak Da Ail Patani, guru di Mekah yang termasyhur. Oleh kerana abangnya digelar Pak Da, maka beliau diberi gelaran Pak Cu Him. Sejak kecil, beliau dididik oleh ayahnya mengikut cara Islam yang dipelajarinya. Kemudian, beliau dihantar belajar agama di Bermin, Patani.
Pada tahun 1912, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Mekah. Di Mekah, beliau belajar dengan Pak Chik Wan Daud, bapa saudaranya. Beliau begitu fasih berbahasa Arab disebabkan sejak kecil lagi tinggal di Mekah. Kebolehannya yang istimewa ialah mengarang syair Arab di mana beliau berjaya mengarang sebuah buku Qawaid al-Fiqhiah dalam bentuk syair dengan tulisan tangan. Kebolehan Pak Cu Him telah mendapat pengiktirafan dan diberi tauliah untuk mengajar agama di Masjidil Haram selama beberapa tahun. Pak Cu Him tinggal di Mekah selama 12 tahun dan menemui guru-guru termasyhur di sana yang di antaranya ialah Sahibul Fadzilah Sheikh Yahaya Patani, Sahibul Fadzilah Tok Ramli, Sahibul Fadzilah Sheikh Muhammad 'Ali Maliki dan Sahibul Fadzilah Sheikh Muhammad Mukhtar al-Jawi.
Setelah pulang ke tanahair, Pak Cu Him telah mengambil alih pondok mertuanya, Haji Ismail Che' Dol di Gajah Mati setelah berkahwin dengan anak gadisnya yang bernama Hajah Zainab pada tahun 1926.
Pada 14 November 1931, Syeikhul Islam Negeri Kedah iaitu Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek mengeluarkan tauliah kepada Pak Cu Him untuk mengajar agama dalam negeri Kedah Darul Aman. Pondok Gajah Mati di bawah pimpinan beliau mendapat sambutan ramai dan didatangi penuntut-penuntut dari Jambi, Mendiling, Patani, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan penuntut dari Kedah sendiri. Pada zaman puncaknya, pondoknya pernah mencapai angka 500 orang penuntut.

Di dalam pengajarannya, Pak Cu Him meneruskan cara-cara yang ditetapkan oleh Tok Ayah Che' Dol di Pondok Gajah Mati iaitu mengajar bahasa Arab dengan mengutamakan nahu, saraf, loghat, syair dan mantiq. Ilmu-ilmu agama seperti fiqah, tauhid dan sebagainya turut diajar di samping mata pelajaran Quran dan Hadis. Beliau gemar mengajar syair Arab seperti Syair Ibnu 'Uqail dan beliau sendiri sentiasa menukil syair-syair Arab apabila bersembang dan mengajar. Beliau yang amat tertarik dengan ilmu Tauhid dan Usuluddin turut menjadikan pengajarannya amat menarik bila disulam dengan syair-syair yang berkaitan. Kitab-kitab nahu yang beliau gunakan dengan baik sekali ialah karangan Sheikh Jamaluddin Ibni Hisham seperti Syarah Al-Qutur dan Syarah Al-Syuzur. Manakala kitab-kitab Fiqah yang Pak Cu Him gunakan ialah Al-Tahrir dan Fathul-Wahhab karya Sheikh Zakaria Al-Ansari.
Dalam soal kemasyarakatan, Pak Cu Him mementingkan perpaduan. Beliau telah melihat bagaimana masyarakat Arab di Timur Tengah dilanda kucar-kacir kerana mereka tidak bersatu-padu dan enggan hidup bermuafakat. Beliau juga risau melihat keadaan bangsa Melayu di Negara Patani yang telah dikucar-kacirkan oleh pemerintah Thailand. Menyedari hal inilah, Penghulu Mukim Padang Pusing dengan imam dan ketua-ketua kampung seluruh mukim tempat Pondok Gajah Mati terletak telah berkumpul mengadakan mesyuarat bersama Tuan Guru Haji Ismail Che' Dol, Haji Awang (ayah Tuan Guru Haji Ahmad Rabat) dan Tuan Guru Haji Ahmad Rabat serta Pak Cu Him sekali kerana menggubal peraturan-peraturan untuk bersatu-padu dalam sebuah mukim. Perjanjian "Jam'iaitul Ittihadiyah" yang diterjemahkan sebagai "Perhimpunan Yang Bersuatu" telah ditandatangani pada 17 Ogos 1926.

Anak-anak buah masing-masing dan penuntut-penuntut dalam pondok akan diberi penjelasan bahawa sesiapa yang engkar bekerjasama dengan penghulu, imam, Tuan Guru dan Ketua-ketua kampung akan dikenakan hukuman. Antara hukumannya ialah :
    1. Tiada menziarahinya apabila ia sakit.
    2. Memulaukan kendurinya.
    3. Tidak mengunjungi kematiannya melainkan dua orang yang akan mengebumikan mayatnya.
    4. Tidak akan mendapat layanan dari mudim dan bidan.
    5. Asingkan kuburnya.
Selain itu, orang ramai akan berpakat menangkap orang yang melanggar hukum-hukum adat dan syarak dan menyerahkan mereka kepada pemerintah supaya dihukum sewajarnya mengikut Undang-undang Negeri. Sebagai menguatkan amalan-amalan agama, pihak yang menurunkan tandatangan telah melarang anak buah di dalam Mukim Padang Pusing dari membuat kenduri pada hari Jumaat kecuali kenduri Maulid Nabi. Begitu juga jika diizinkan dan dianggap sebagai kesalahan jika membuat kenduri pada mana-mana hari tiga hari selepas Hari Raya Haji dan pada hari-hari Puasa Enam 2 hingga 7 Syawal.
Pak Cu Him juga sempat mengarang kitab "Fathul Jalil Wa Syifa Ghalil" yang siap pada 30 Jun 1966. Dalam karya ini beliau menggubah 51 bait syair Arab dan membuat ulasan atau syarah kepada tiap-tiap bait itu dalam Bahasa Melayu. Kitab ini membicarakan antara lain tentang sifat mustahil Allah Taala iaitu qadim atau baharu. Selain karya yang diterbitkan ini, banyak catatan Pak Cu Him di dalam bahasa Melayu dan Arab mengenai fatwa-fatwa agama dan juga khutbah-khutbah yang ditinggalkan tanpa dicetak. Terdapat syair-syair Arab dan penjelasan-penjelasan mengenai Nahu Arab disusun dengan tertib dalam simpanannya.
Sahibul Fadzilah Haji Wan Ibrahim bin Haji Wan Abdul Kadir menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 Syawal 1388 H bersamaan 11 Januari 1968 ketika berumur 75 tahun. Jenazahnya diabadikan di perkuburan masjid lama Kampung Gajah Mati berhampiran kubur Tok Ayah Haji Ismail Che' Dol.


Saturday, March 16, 2013

Tuan Guru Ahmad al-Kalantani pengarang kitab Darul Hasan


SEJAK artikel mengenai ulama dikeluarkan dalam Utusan Malaysia mulai tahun 2004 hingga kini telah ramai ulama negeri Kelantan yang penulis perkenalkan. Di antara mereka ada yang terkenal di peringkat alam Melayu bahkan antarabangsa seperti Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani yang terkenal dengan kitab karangannya, Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub (Mengenai Hadis) juga mengajar di Masjidil Haram Mekah.
Yang terkenal hanya di peringkat negeri alam Melayu/Nusantara sahaja seperti Sheikh Abdus Shamad (Tuan Tabal) yang mana beliau merupakan penyebar Tarekat Ahmadiyah yang pertama di Nusantara.
Ulama yang diperkenalkan pada kali ini ialah sahabat kepada Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani yang sama-sama belajar, baik di Kelantan mahupun di Mekah namun peranan dan pengaruhnya hanya sekitar negeri Kelantan sahaja.
Ulama yang diriwayatkan ini ialah Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Muhammad Yusuf bin Sheikh Abdul Halim Al-Kalantani.
Asal-usulnyaDiriwayatkan bahawa datuk kepada tokoh ulama yang akan dibicarakan di atas iaitu, Sheikh Abdul Halim tersebut adalah anak angkat kepada Long Yunus (Sultan Kelantan). Long Yunus memperoleh anak angkat tersebut daripada salah seorang sahabatnya seorang peniaga Cina sebagai hadiah dan tanda persahabatan dengan sultan.
Long Yunus menghantar Abdul Halim bersama-sama putera baginda belajar ke Mekah. Ada yang menceritakan kejadian tersebut semasa dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani belajar di Mekah.
Tetapi ada yang meriwayatkan bahawa Abdul Halim dan putera Long Yunus menjadi murid kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Setelah mendapat gelaran ulama, Sheikh Abdul Halim pulang ke Kelantan. Beliau adalah orang pertama mengajar menggunakan sistem pondok dengan kaedah Patani di Kelantan.
Beliau mempunyai dua anak iaitu Haji Muhammad Yusuf dan Haji Yaaqob. Haji Muhammad Yusuf ialah ahli dalam bidang seni bina dan seni suara manakala Haji Yaaqob pula adalah seorang ulama yang mengajar sebagai pengganti ayahnya. Haji Muhammad Yusuf memperoleh anak bernama Tuan Guru Haji Ahmad atau tokoh yang akan dibicarakan ini.
PendidikannyaTuan Guru Haji Ahmad dilahirkan di Kelantan, namun tempat dan tarikh lahirnya yang tepat tidak dapat dipastikan. Pun begitu, pada masa kehidupan beliau terdapat catatan yang mengatakan ia adalah sezaman dengan Sheikh Wan Ali Kutan (lahir 1253 H/1837 M atau 1235 H/1820 M). Pendidikan asasnya diperoleh daripada bapa saudaranya sendiri, iaitu Haji Yaaqob bin Sheikh Abdul Halim al-Kalantani.
Diriwayatkan pula pengetahuan yang diperoleh daripada bapa saudaranya itu bukan sahaja ilmu pengetahuan yang bersifat asas, tetapi hingga beliau diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, dan ilmu-ilmunya tersebut diperoleh dari Haji Yaaqob sendiri. Walaupun beliau telah diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, namun beliau masih juga meneruskan pelajarannya ke Mekah sebagai pengesahan daripada ulama-ulama Mekah pada zamannya.
Sebagaimana yang dapat dicatat, teman-teman beliau ketika kecil yang sama-sama belajar kepada Tuan Guru Haji Yaaqob adalah seperti berikut; saudara beliau sendiri iaitu Haji Uthman bin Haji Muhammad Yusuf, Sheikh Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan, Sheikh Abdul Mutalib Kuta, Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Sulaiman dan lain-lain. Semua sahabat beliau yang tersebut adalah ulama-ulama besar Kelantan yang sangat berperanan dan berpengaruh di zaman mereka.
Adapun ilmu-ilmu yang telah dikaji, yang dapat diketahui adalah ilmu tauhid, fikah, tasauf, nahu, saraf, bayan, ma'ani, badi', arut, qawafi, mantiq, tafsir, tajwid dan lain-lain. Ilmu-ilmu tersebut telah dikuasai sejak di Kelantan lagi. Belajar di Mekah hanya untuk mendalami lagi pengetahuan beliau terhadap ilmu-ilmu tersebut.
Para guru Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan di Mekah yang dapat dicatat antara lain ialah, Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Adapun guru beliau selain yang tersebut tidak dapat diketahui dengan pasti. Ada kemungkinan semua guru kepada Sheikh Wan Ali Kutan adalah juga guru kepada Tuan Haji Ahmad Kelantan ini.
Karya-karyanyaKarya penulisan Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan yang diketahui hanya dua sahaja. Karya yang merupakan manuskrip asli tulisan tangan beliau itu tersimpan di Pusat Islam Malaysia di Bahagian Balai Pameran. Judul kitab tersebut adalah Darul Hasan.
Kitab Darul Hasan yang ditulis oleh Tuan Guru Haji Ahmad tersebut adalah atas permintaan Raja Kelantan. Tahun yang tercatat adalah pada 30 Ramadan 1282 H (1865 M). Manuskrip yang tersimpan di Pusat Islam Malaysia tersebut diberi nombor kelas iaitu MI 725. Belum diketahui apakah kitab Darul Hasan tersebut pernah diterbitkan oleh mana-mana penerbit di Timur Tengah mahupun di Asia Tenggara.
Namun jelas bahawa kitab Darul Hasan tidak pernah ditemui di mana-mana kedai buku di seluruh Asia Tenggara. Adapun yang berupa manuskrip berkemungkinan hanya sebuah itu sahaja naskhah mengenainya yang ditulis dengan huruf yang sangat indah. Terdiri dari tulisan hitam dan merah yang memancar terang. Keadaan manuskrip masih baik, di samping halaman dari awal hingga akhir juga dalam keadaan lengkap.
Kandungan ringkas kitab Darul Hasan adalah sebagai berikut: Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan karangan beliau dengan puji-pujian dan selawat sebagaimana karangan-karangan tradisi Islam lainnya. Setelah itu menyebut dengan kalimat bahasa Arab bahawa 'Sultan Kelantan' meminta beliau menulis kitab ini. Tetapi pada terjemahan bahasa Melayu dari lafaz bahasa Arab itu tidak menyebut 'Sultan Kelantan' melainkan 'Raja Kelantan'. Tentang nama kitab pula terjadi salah titik sama ada lafaz Arab mahupun lafaz Melayu iaitu tertulis Darul Hasaat dengan huruf ta sebenarnya adalah Darul Hasan iaitu dengan huruf nun. Hal ini tertulis di halaman terakhir.
Sesudah itu dimulai dengan menceritakan pohon kayu yang bernama 'Syajaratul Yaqin' yang mempunyai empat cabang. Dari cerita itu diteruskan dengan kejadian 'Nur Muhammad' sehingga dijadikan sekalian kejadian sesudahnya. Kejadian sekelian manusia pula diceritakan berdasarkan kepada mereka yang pertama memandang kepada Nur Muhammad. Maka ada yang menjadi Sultan, menjadi alim, yang mati syahid dan lain-lain.
Kemudian diceritakan pula asal tanah kejadian Nabi Adam a.s yang diambil dari beberapa negeri di dunia, seperti kepala Nabi Adam a.s berasal dari Baitul Maqdis, muka Nabi Adam a.s berasal dari syurga, kaki Nabi Adam a.s berasal dari tanah Kalkauthar dan lain-lain.
Selanjutnya menceritakan tentang kejadian ketua-ketua para malaikat, iaitu kejadian dan keadaan malaikat Jibril, Mikail, Israfil, Izrail, dan dicantumkan beberapa hikayat malaikat Maut mencabut nyawa makhluk terutama manusia.
Cerita dilanjutkan dengan peristiwa yang menakutkan dan menakjubkan di alam kubur, di padang Mahsyar sekalian manusia memerlukan pertolongan dan syafaat yang dimulai dari menemui Saiyidul Basyar Nabi Adam a.s hingga ditutup dengan menemui Nabi Muhammad SAW. Seterusnya pula disambung dengan cerita neraka, syurga dan lain-lain.
Penutup sekali pengarangnya, Tuan Haji Ahmad Kelantan menyebut: "Telah selesai faqir ilallah Taala yang amat jahil al-Haji Ahmad bin al-Haji Yusuf bin Abdul Halim Kelantan menterjemahkan kitab Darul Hasan daripada bangsa Arab kepada bangsa Jawi supaya manfaat dengan dia sekelian mereka yang tiada tahu dengan bahasa Arab.....".
Bahasa yang digunakan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan dalam kitab tersebut agak banyak dalam bahasa negeri Kelantan. Beliau tidak terikat untuk mengikut tatacara bahasa kitab yang digunakan tradisi zamannya. Seperti kalimat 'bangsa' dalam kalimat dalam penutupnya, kitab-kitab lain selain kitab beliau pasti akan menggunakan istilah 'bahasa' pada tempat tersebut, bukan 'bangsa' seperti yang beliau tulis itu. Walau bagaimanapun kitab Darul Hasan dapat diklasifikasikan sebagai sastera Sufi Islam Melayu Klasik.
Pada hari penulis selesai menulis riwayat hidup beliau di bilik Balai Pameran Islam Malaysia, penulis menyerahkan kepada pihak majalah DAKWAH, dan seterusnya ke Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Tiba-tiba di atas meja Siti Mariani (seorang kakitangan di PNM) terletak dua manuskrip.
Satu di antaranya adalah karya Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan. Dengan terdapatnya perkara baru tersebut, maka penulis tambah saja makalah yang telah selesai tadi dengan sedikit kalimat yang menerangkan perkara ini. Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan menulis di akhir hayatnya pada manuskrip milik Pusat Manuskrip Melayu yang diberi nombor kelas dengan MS 780 itu, katanya: "Telah selesai Haji Ahmad ibnu Haji Yusuf menterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu dengan tolong Tuhan Rabbul Izzah bijahi Saiyidina Muhammad pada 10hb Safar pada hijrah al-Nubuah 1287 H (1870 M)".
Kandungan isi kitab nombor MS 780 Pusat Manuskrip Melayu tersebut ialah mengenai fikah. Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan perbicaraannya tentang kitab thaharah (bersuci) dan disudahi dengan kitab solat. Ditulis atas kertas warna biru muda, memakai dakwat warna hitam pada sebahagian besar isinya dan di beberapa tempat ditulis dengan warna merah. Semua huruf dalam keadaan jelas dan berwarna agak memancar.
Susunan bahasanya agak berbeza dengan karyanya yang pertama. Nampaknya pada MS 780 ini bahasanya sudah disesuaikan dengan bahasa-bahasa kitab jawi yang ditulis di zamannya. Sebagaimana karya yang pertama (Darul Hasan), maka kitab yang kedua ini juga tidak pernah diterbitkan. Selain itu judul kitab ini juga tidak dijelaskan oleh pengarangnya.
PengaruhnyaPengaruh beliau sangat besar di kalangan masyarakat luas di Kelantan. Melalui karangannya iaitu kitab Darul Hasan tersebut atas permintaan Sultan Kelantan adalah satu bukti bahawa Tuan Haji Ahmad ini mempunyai pengaruh yang besar dalam lingkungan istana kerajaan Kelantan.
Beliau ialah sebagai generasi penerus, yang menyambung pekerjaan datuknya, Sheikh Abdul Halim dan bapa saudaranya Haji Yaaqob bin Abdul Halim dalam mengajar ilmu-ilmu yang diperlukan oleh masyarakat Islam di Kelantan. Ilmu-ilmu yang wajib dipelajari ialah usuluddin, fikah dan tasauf.
Tiga ilmu tersebut berkembang di kalangan masyarakat dan diteruskan pula oleh murid-murid beliau yang boleh dikatakan sangat ramai. Antaranya Tok Kenali, diriwayatkan bahawa sebelum beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah, beliau pernah belajar dengan Tuan Guru Haji Ahmad ini. Pada zamannya, Tuan Guru Haji Ahmad dalam membina umat Islam kearah berilmu pengetahuan dan amal saling bekerjasama dengan sahabatnya Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Sulaiman, yang menjadi Perdana Menteri Kelantan (Menteri Besar menurut istilah sekarang) pada ketika itu.
Dari keterangan tersebut, kedua ulama Kelantan tersebut telah berhasil menyatupadukan kerjasama yang serasi antara umara (golongan pemerintah) dan ulama (golongan ahli ilmu pengetahuan dalam Islam).
Demikianlah riwayat ringkas Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Yusuf Kelantan. Sejarah asal-usulnya, pendidikannya, karyanya dan pengaruhnya di kalangan lingkungan istana dan masyarakat Kelantan. Namun sebagaimana tarikh lahirnya, tahun wafatnya juga masih belum diketahui dengan pasti, yang masih memerlukan penyelidikan lebih mendalam untuk melengkapkan sejarah ulama ini.

Tuan Guru Haji Sulong


Pernahkah ikhwah dengar nama Tuan Guru Haji Sulong bin Abdul Kadir? Nama yang tidak dapat dipisahkan dari perjuangan pembebasan Pattani yang mengasaskan Gerakan Rakyat Pattani(GRP). Ketika itu beliau adalah Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Pattani. Jika dilihat kepada susur galur keturunannya, jelas beliau memang berdarah ulama. Beliau adalah cicit kepada ulama Tuan Minal atau Haji Zainal Abidin Ahmad (pengarang kitab Kashful Litham dan Aqidatul Najin yang terkenal). 


Semasa masih menuntut di Mekah, beliau banyak menerima pengaruh dari gerakan Islam Timur Tengah seperti Ikhwanul Muslimin (Mesir) Gerakan Mahdi (Sudan) dan gerakan Syeikh Muhammad Abdul Wahhab di Arab Saudi, yang pada masa itu sedang melancarkan penentangan terhadap imperialis Barat. Jadi jiwanya telah diasuh untuk membebaskan tanah airnya Pattani dari belenggu penjajahan.

As-syahid Haji Sulong telah mengasaskan Madrasah al-Ma’arif al-Watoniyyah, yang merupakan sekolah agama pertama di Pattani yang mempunyai sukatan pelajaran dan sistem kelas. Para pelajarnya juga diperkenalkan dengan latihan berkawad. Pembaharuan yang dibawa oleh beliau ini diterima baik oleh masyarakat Pattani pada ketika itu yang menjadikan pondok sebagai institusi penting dalam penyebaran ilmu dan pusat aktiviti kemasyarakatan. Para pelajarnya diajar kitab-kitab seperti ‘Baidhowi’ dan ‘Jalalein’ dan banyak menjurus kepada konsep aqidah dan jihad. Namun sayang kerana madrasahnya itu hanya bertahan kira-kira 3 tahun apabila telah dibubarkan kerajaan Thai yang curiga dengan perkembangannya, malah hasil karyanya yang terakhir “Gugusan Cahaya Keselamatan” turut diharamkan. 

Haji Sulong bukan sahaja giat mengajar dan mengarang tetapi lebih masyhur kerana keberanian beliau memperjuangkan nasib Muslim Pattani pada era rejim Phibun Songkram.

Pada tahun 1947, GRP telah mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan Siam berhubung dengan dasar di Selatan Thai yang terdiri dari empat wilayah (Pattani, Narathiwat, Yala dan Satun). Antara tuntutannya ialah 4 wilayah tersebut mesti ditadbir oleh pemimpin Islam yang terpilih. Beberapa tuntutan itu dipersetujui oleh kerajaan pimpinan Pridi Panomyong tetapi peralihan kuasa kepada rejim Pibun Songkram telah menjadi episod memilukan bagi umat Islam Selatan Thai. 

Pada 16 Jun 1948, Haji Sulong telah ditahan dan didakwa sebagai pengkhianat. Penahanan beliau telah membawa kepada beberapa pemberontakan berdarah orang Melayu Pattani. Keputusan perbicaraan terhadap beliau menggugurkan tuduhan pengkhianat, tetapi beliau disabitkan menghina kerajaan dan dihukum penjara 7 tahun. Namun beliau dibebaskan selepas 3 tahun setengah. Selepas dibebaskan, lidah beliau menjadi kelu dan tidak dapat bertutur seperti biasa, dipercayai akibat didera dengan teruk semasa ditahan. Penentangan berterusannya terhadap dasar kerajaan Siam “Thai Rathnaniyun” telah membawa kepada ‘pembunuhan’ beliau yang penuh misteri, di mana beliau telah diminta hadir bertemu ketua penyiasat polis di Songkhla. Beliau telah memenuhi permintaan tersebut dengan hadir ke Songkhla, tetapi selepas itu beliau tidak lagi kembali. As-syahid dikatakan telah dibunuh oleh kerajaan pada Ogos 1954 dan mayatnya telah dibuang ke laut.

Friday, March 15, 2013

RATIB AL-HADDAD

Amalan peninggalan Imam al-Haddad rhm. yang terkenal dan banyak diamal orang kita di rantau sini, bahkan di seluruh pelusuk dunia Islam. Amalan yang berkat ini ialah ratib beliau yang terkenal dengan panggilan “Ratibusy Syahiir” atau “Ratibul Haddad“. Ratib ini telah banyak diamal oleh para ulama kita terdahulu dan posting aku kali ini hanya untuk mengkhabarkan beberapa nukilan ulama kita di Nusantara ini berhubung Ratibul Haddad. Aku mulakan dengan tulisan ulama terbilang yang paling produktif menulis iaitu Tok Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani. Di mana dalam “Kaifiyyah Khatm al-Quran” pada halaman 256 – 260, beliau memuatkan Ratibul Haddad sepenuhnya dan memberi pengenalan ratib ini dalam bahasa ‘Arab (maaflah aku masih tak dapat nak tulis dalam font Arabic, masih tak tahu apa penyakitnya) yang bererti: “Inilah ratib Tuanku Wali yang ‘arif billah, Imam ahlillah, asy-Syaikh al-Kabiir pada jalan Allah, Quthub rahaa-ddin, ‘Ayn a’yaanish Shiddiiqiin as-Sayyid ‘Abdillah bin ‘Alawi bin Muhammad bin Ahmad bin ‘Abdullah yang dikenali sebagai al-Haddad Ba ‘Alawi al-Husaini…..” Dan pada halaman 261, Tok Syaikh Daud menukilkan satu faedah bahawa Sayyidina al-Imam Ahmad bin Zain mendengar daripada sebahagian orang sholeh dan ahli ilmu menyatakan yang Imam al-Haddad berkata:-


Bahawasanya sesiapa yang membaca ratib ini teristimewa lafaz tahlilnya dengan adab, hudhur hati, yakin dan niat (ikhlas bertaqarrub kepada Allah) dan menyempurnakan tahlilnya 1,000 kali, nescaya akan terzahir baginya sesuatu daripada segala nur milik Allah ta`ala.

Syaikh Ahmad bin Muhammad Kasim ulama kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan pada tahun 1901M dan kembali ke rahmatullah pada tahun 1943. Menuntut ilmu ke Makkah al-Musyarrafah dan akhirnya membuka madrasah “al-Mubtadi` li Syari`ah al-Musthofa al-Hadi” atau madrasah “Nur ad-Diniyyah” di Melaka. Di madrasahnya Ratibul Haddad dijadikan wirid tetap dibaca setiap malam.
Tuan Guru Haji Muhammad Sulum @ Sulung al-Fathani (1895M – 1954M) pula menukilkan Ratibul Haddad dalam khatimahnya bagi karangannya “Gugusan Cahaya Keselamatan” di mana sebagai pengenalannya beliau menulis:-
“Kenyataan wirid yang sangat berkat dunia dan akhirat bagi waliyullah yang besar Habib ‘Abdullah al-Haddad dan ratib baginya.”
Bahkan ramai lagi ulama kita yang menjadikan Ratibul Haddad ini sebagai pakaian mereka seperti al-’Alim al-’Allaamah asy-Syaikh Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani yang dikenali sebagai Tok Kelaba al-Fathani dan juga ulama terbilang Acheh Darus Salam, asy-Syaikh Teungku Hasan Krueng Kalee yang empunya kitab berjodol “Risalah Lathifah fi adabi adz-dzikri wa at-tahlil wa kaifiyyati tilaawati ash-Shomadiyyah ‘ala thoriqati Quthubil Irsyad al-Habib ‘Abdullah al-Haddad“.
Sebagai penutup, aku nukilkan di sini artikel berjodol “Syarh Ratib al-Haddad – Dari Yaman ke Dunia Melayu” karangan Fadhilatul Ustaz Wan Mohd. Shoghir bin Wan Abdullah al-Fathani (mudah-mudahan Allah memanjangkan usia beliau serta memanfaatkannya bagi agama dan umat).
Syarh Ratib al-Haddad
Dari Yaman ke Dunia Melayu
SEKURANG-KURANGNYA ada dua jenis “wirid” atau disebut juga dengan “Ratib” yang sangat berpengaruh di kalangan orang-orang Arab, terutama golongan “Habaib” (Habib-Habib atau Saiyid/Syed) yang datang ke dunia Melayu. Yang pertama disebut “Ratib Al-Haddad” dan yang satu lagi dinamakan “Ratib Al-Attas”. Sebahagian besar yang diketahui oleh para pengamalnya, “Ratib Al-Haddad” ialah satu amalan yang dapat menenangkan jiwa, penuh berkat, terdapat beberapa fadhilat yang kadang-kadang menyalahi adat. Wirid atau ratib yang tersebut adalah disusun berdasarkan ayat-ayat al-Quran, doa, selawat, istighfar, dan sejenisnya. Yang pertama mengamalkannya ialah Al-Quthub al-Ghauts al-Habib as-Saiyid ‘Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad al-Haddad Ba’alawi al-Huseini al-Hadhrami asy-Syafi’ie. Ulama besar keturunan Nabi Muhammad S.A.W ini dilahirkan di Tarim, Yaman, pada 5 Safar 1044 H/30 Julai 1634 M dan wafat pada 7 Zulqa’idah 1132 H/10 September 1720 M.
Artikel ini bukan menceritakan riwayat hidup ulama yang tersebut tetapi adalah lebih memperkenalkan satu-satunya manuskrip bahasa Melayu yang membahas secara mendalam tentang “Ratib Al-Haddad”. Perlu saya sebutkan di sini bahawa hingga kini belum dijumpai “Ratib Al-Haddad” bahasan yang mendalam sepertinya dalam bentuk cetakan bahasa Melayu. Sungguh pun demikian, belum begitu lama, terdapat yang diusahakan oleh Syed Ahmad bin Muhammad bin Zain bin Semit cetakan yang ditulis dalam bahasa Arab, cetakan yang kedua Zulhijjah 1417 H/1997M, diterbitkan oleh Pustaka Nasional Singapura. Manuskrip yang dalam bahasa Melayu diselesaikan pada hari Ahad, jam 4.00 petang, bulan 24 Syawal 1224 H/2 Disember 1809 M. Disalin kembali tahun 1317 H/1899 M. Judul lengkap manuskrip dalam bahasa Arab “Sabil al-Hidayah wa ar-Rasyad fi Syarh ar-Ratib al-Haddad”. Judul terjemahan dalam bahasa Melayu “Jalan Pertunjuk dan Pengajaran Pada Menyatakan Faedah Kelebihan Quthub Bangsa Haddad”. Karangan asal dalam bahasa Arab dilakukan oleh keturunan ulama tersebut, beliau ialah Habib ‘Alawi bin Ahmad bin al-Hasan bin ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad. Nama penterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu tidak dinyatakan, kemungkinan adalah diterjemahkan oleh yang mengaku pemiliknya bernama Ahmad Salim ibnu al-Marhum Syeikh Mat Juban Pontianak, Kampung Melayu.
Selain yang diberi judul di atas terdapat lagi manuskrip dalam bahasa Melayu, tetapi bahasan kandungannya berbeza, ialah “Kaifiyat Qiraat ar-Ratib al-Haddad“. Judul ini diterjemah oleh Saiyid Ahmad bin Muhammad al-’Aidrus, tidak terdapat tarikh selesai penterjemahan. Manuskrip ini bekas dimiliki oleh Ahmad bin ‘Abdullah bin Qadhi. Manuskrip “Kaifiyat Qiraat ar-Ratib al-Haddad” lebih bercorak cara-cara mengamalkan ratib, tanpa mengemukakan dalil. Sedang “Sabil al-Hidayah wa ar-Rasyad” (manuskrip yang pertama) secara garis besar kandungannya ialah lebih mengutamakan dalil-dalil al-Quran dan hadis lebih lengkap untuk membuktikan bahawa amalan yang diajar oleh Quthub al-Ghauts al-Habib as-Saiyid ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad adalah tidak menyimpang dari ajaran Islam yang diajarkan oleh datuk nenek beliau, iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Jika kita membuat perbandingan kandungan yang terperinci antara manuskrip bahasa Melayu dengan yang bahasa Arab cetakan Pustaka Nasional Singapura ternyata ada beberapa perkara yang dibicarakan dalam manuskrip Melayu tidak terdapat dalam yang bahasa Arab. Demikian juga sebaliknya.
Dalam manuskrip yang bahasa Melayu dicatatkan tulisan Saiyid ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad dalam “Kitab Manaqib“, kata beliau, “Barangsiapa orang yang membiasakan atas ratib kami, nescaya dikurniai [oleh] Allah Ta’ala akan dia sebaik-baik kesudahan mati di dalam kalimah … “. Yang dimaksudkan di sini ialah mati dalam agama Islam dan beriman. Sebagaimana terdapat pada salah satu doa dalam ratib, yang terjemahannya “… matikan kami dalam agama Islam“. Doa ini pula ada hubungkait dengan doa dalam ratib juga, yang maksudnya, “Kami semata-mata ridha terhadap Allah, tuhan kami, kami suka agama Islam, adalah agama kami dan Nabi Muhammad S.A.W, Nabi kami. ” Terhadap Allah, Islam dan Nabi adalah sangat ditekankan dalam ilmu ‘aqidah supaya beri’tiqad dengan jazam dan betul. Perlulah diperhatikan, kerana sewaktu kita masuk kubur yang tersebut adalah pertama-tama perkara yang ditanya. Selain fadhilah untuk menghadapi sakarat al-maut, beliau sebut juga bahawa “Ratib al-Haddad” berfungsi “Dipeliharakan [oleh] Allah Ta’ala daripada terbakar, dan kecurian, dan tiada terbunuh orang akan dia … Ratib ini dibaca tiap-tiap ditimpa dukacita, nescaya diberi [oleh] Allah kesukaan“. Semua yang diriwayatkan bahawa bacaan-bacaan dalam ratib ada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dalam hadits shahih.
Sebagai bukti “Ratib al-Haddad” sangat berpengaruh, dalam rangka “Majlis Haul Habib as-Saiyid ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad”, telah diadakan perhimpunan acara membaca ratib tersebut di Masjid Baitul Aman, di Jalan Damai, Kuala Lumpur, pada malam Sabtu 1 Zulqa’idah 1426 H/3 Disember 2005 M. Yang hadir selain dari seluruh Malaysia, ramai pula yang datang dari Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, India, Yaman, dan negara-negara lainnya. Acara diteruskan ke Batu Pahat (Johor), Temerloh (Pahang) dan Singapura. Selain membaca “Ratib al-Haddad” juga diadakan ceramah yang khusus membicarakan kehebatan dan jasa-jasa besar Saiyid ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad dalam penyebaran Islam. Karya-karya beliau telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan tersebar di seluruh dunia.
Mudah-mudahan Allah mencucurkan hujan rahmat dan keredhaan atas Shohibur Ratib Imam al-Haddad serta para ulama kita terdahulu …… al-Fatihah.
**************************************************
Ikhwah, sebenarnya hujjah yang dikemukakan oleh Cik Anon kita ini, adalahatsar Sayyidina ‘Abdullah bin Mas`ud r.a. Anon kita dengan taksubnya menshohihkan atsar tersebut dengan bersandarkan kepada al-Albani dan bukunya (maap le, kalam al-Albani ngak ada nilai di sini, kamu juallah perkataannya tempat lain). Tanpa menjelaskan kepada kita status atsar tersebut di sisi para ahli hadits yang lain. Atsar ini diriwayatkan oleh Imam ad-Daarimi dalam sunannya, jilid 1 halaman 68, dengan sanad daripada al-Hakam bin al-Mubarak daripada ‘Amr bin Yahya daripada ayahnya daripadadatuknya (Amr bin Salamah). Menurut sebahagian muhadditsin, kecacatan atsar ini adalah pada rawinya yang bernama ‘Amr bin Yahya (yakni cucu Amr bin Salamah). Imam Yahya bin Ma`in memandang “riwayat daripadanya tidak mempunyai nilai”. Imam adz-Dzahabi menyenaraikannya dalam kalangan rawi yang lemah dan tidak diterima riwayatnya, dan Imam al-Haithami menyatakan bahawa dia adalah rawi yang dhoif. Jadi sanad atsar ini mempunyai pertikaian di kalangan muhadditsin, sekalipun dinyatakan shohih oleh panutan Cik Anon kita, al-Albani.
Jika pun atsar tersebut dianggap shohih, maka Cik Anon sepatutnya merujuk kepada tafsiran dan penjelasan para ulama yang muktabar mengenainya. Anon juga tidak berlaku amanah bila tidak memaklumkan bahawa berhubung zikir bersama-sama atau berjemaah dalam satu majlis mempunyai sandaran yang banyak lagi shohih daripada hadits-hadits Junjungan Nabi s.a.w. dan atsar – atsar. Cik Anon juga gagal memahami bahawa puak yang ditegur oleh Sayyidina Ibnu Mas`ud adalah golongan KHAWARIJ. Maka atsar Sayyidina Ibnu Mas`ud lebih kepada kritikan beliau kepada para pelaku yang tergolong dalam firqah Khawarij. Di mana golongan Khawarij memang terkenal dengan kuat beribadah, kuat sholat, kuat berpuasa, kuat membaca al-Quran, banyak berzikir sehingga mereka merasakan diri mereka lebih baik daripada para sahabat Junjungan s.a.w. Maka kritikan Sayyidina Ibnu Mas`ud ini ditujukan kepada kelompok Khawarij yang mereka itu mengabaikan bahkan mengkafirkan para sahabat kerana beranggapan ibadah mereka lebih hebat daripada para sahabat.
Oleh itu, janganlah digunakan atsar yang ditujukan kepada kaum Khawarij untuk kamu gunakan terhadap saudara kamu yang sangat memuliakan para sahabat Junjungan Nabi s.a.w. Sungguh sikap kamu ini jelas sikap Wahhabi yang menggunakan ayat-ayat yang ditujukan kepada orang kafir dan musyrikin untuk dijadikan peluru menghentam, membid`ah, mensyirik, mengkafirkan sesama Islam. Jangan kamu ingat para ulama kami tidak tahu mengenai atsar Sayyidina Ibnu Mas`ud ini. Takutlah kamu kepada Allah, kerana seperti yang kamu katakan bahawa agama ini milik Allah bukannya hakmilik kamu dan bukan milik ikutan kamu golongan serpihan umat itu. Jangan kamu merobek perkara yang telah dipandang baik dan elok, kalau tidak dengan ijma’ umat ini, setidak-tidaknya baik dan elok di sisi jumhur. Jangan kamu taksub dan fanatik kepada seorang imam kamu untuk menuding jari bahawa para Imam kami dan ulama kami membuat-buat bid`ah. Insaflah wahai Cik Anon, khazanah ilmu Islam itu luas, seluas lautan lepas tidak bertepi, bukan hanya dalam karangan-karangan al-Albani sahaja.
Akhir sekali, aku nukilkan di sini kalam Imam as-Sayuthi rhm. berhubung atsar Sayyidina Ibnu Mas`ud ini. Ikhwah dan Cik Anon boleh rujuk tulisan Imam Besar ini yang dengan jodol “Natiijatul Fikri fil Jahri fidz Dzikri” dalam “al-Hawi lil Fatawi” juz 1. Di situ Imam asy-Sayuthi menyenaraikan 25 hadits dan atsar yang diriwayatkan oleh asy-Syaikhan hinggalah yang diriwayatkan oleh al-Mirwazi berhubung berzikir secara jahar dan majlis zikir berjemaah. Berhubung atsar Ibnu Mas`ud, Imam asy-Sayuthi pada halaman 394 menyatakan, antara lain:
(Jika engkau kata) Telah dinukilkan yang Sayyidina Ibnu Mas`ud telah melihat satu kaum bertahlil dengan mengangkat suara dalam masjid, lalu beliau berkata: “Tidak aku melihat kamu melainkan (sebagai) pembuat bid`ah”, sehingga dikeluarkannya mereka dari masjid tersebut. (Kataku – yakni jawapan Imam as-Sayuthi) Atsar daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud r.a. ini memerlukan penjelasan lanjut berhubung sanadnya dan siapa yang telah mengeluarkannya daripada kalangan para hafidz dalam kitab-kitab mereka. Jika dikatakan ianya memang tsabit, maka atsar ini bercanggah dengan hadits-hadits yang banyak lagi tsabit yang telah dikemukakan yang semestinya didahulukan (sebagai pegangan) berbanding atsar Ibnu Mas`ud apabila berlaku percanggahan. Kemudian, aku lihat apa yang dianggap sebagai keingkaran Sayyidina Ibnu Mas`ud itu (yakni keingkarannya terhadap majlis-majlis zikir bersama-sama tadi) akan penjelasan Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitab “az-Zuhd” yang menyatakan:- Telah memberitahu kami Husain bin Muhammad daripada al-Mas`udi daripada ‘Aamir bin Syaqiiq daripada Abu Waail berkata:- “Mereka-mereka mendakwa ‘Abdullah (yakni Ibnu Mas`ud) menegah daripada berzikir (dalam majlis-majlis zikir), sedangkan ‘Abdullah tidak duduk dalam sesuatu majlis melainkan dia berzikirUllah dalam majlis tersebut.” Dalam kitab yang sama, Imam Ahmad juga meriwayatkan bahawa Tsabit al-Bunani berkata:-“Bahawasanya ahli dzikrUllah yang duduk mereka itu dalam sesuatu majlis untuk berdzikrUllah, jika ada bagi mereka dosa-dosa seumpama gunung, nescaya mereka bangkit dari (majlis) dzikrUllah tersebut dalam keadaan tidak tersisa sesuatupun dosa-dosa tadi pada mereka”, (yakni setelah berzikir, mereka memperolehi keampunan Allah ta`ala).
Ikhwah, sekali lagi aku ingatkan bahawa para ulama kita bukan orang jahil dan bukanlah orang tidak takutkan Allah. Sungguh mereka lebih takutkan Allah, daripada kita semua, termasuklah Cik Anon kita. Oleh itu, berhati-hatilah bila mengkritik fatwa dan pandangan mereka. Aku sekadar membawa kalam mereka.
Allahu a’laam.