Wednesday, May 18, 2011

Hukum sambut hari IBU


Pengorbanan ibu kekal ke akhir hayat
Ibu, mama, emak, mak, mummy, ummi, bonda, ibunda atau apa sahaja panggilan yang diberikan kepada insan mulia ini, ketahuilah bahawa kasih mereka tidak bertepi, kasih mereka membawa ke syurga dan kasih mereka juga tiada bandingannya.
Sebagai anak, kita tidak dapat mencari kasih lebih murni dan lebih sejati daripada kasih seorang ibu. Ibu sanggup berkorban nyawa untuk anak-anaknya. Itulah betapa kasihnya seorang ibu pada kita.
Pada yang bergelar anak, cuba anda bayangkan betapa susah payahnya ibu mengandungkan kita lebih dari sembilan bulan dan melahirkan dengan penuh kepedihan dan kesakitan. Bayangkan pula bagaimana seorang ayah keluar mencari rezeki untuk menanggung dan membesarkan anak-anak agar tidak terabai dan meminta-minta daripada orang lain. Jasa ayah ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit dan harta kekayaan. Kasih sayang keduanya begitu sejati lagi murni.
Namun, masih ada si anak yang sanggup membuang insan mulia ini. Ada yang menganggapnya sebagai ‘barangan yang menyusahkan’. Ada pula yang mencipta 1001 alasan untuk tidak bertanyakan khabar ibu di kampung dengan alasan terlalu sibuk dengan kerja. Jika difikirkan semula, susah sangatkah hendak menekan nombor telefon dan bertanyakan khabar mereka? Adakah terpaksa mengambil masa berjam-jam untuk mendengar suara insan yang telah banyak berkorban apa sahaja untuk kita? Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah.
Buat insan yang bergelar ibu, diucapkan selamat Hari Ibu. Buat bonda saya, Puan Siti Jawahir Hussin, anakanda ucapkan selamat Hari Ibu, kasih sayang yang dicurahkan bonda kepada anakanda akan dijadikan pembakar semangat untuk terus menjadi manusia berguna dalam meniti hidup ini sebagai khalifah Allah, sebagaimana yang bonda harapkan. Bonda, doakanlah anakanda di dunia dan akhirat.
Wajib hormati ibu
“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).
Pendakwah bebas, Ustaz Noor Hisham Ismail berkata, ibu wajib dihormati disebabkan keperitan, kesakitan dan susah payahnya mengandung dan melahirkan kita di dunia.
Katanya, anak yang menderhaka kepada ibunya dengan sebab-sebab yang tidak diizinkan syarak adalah anak yang sentiasa berada di bawah laknat Allah dan rasul sehinggalah ibunya memaafkannya. Firman Allah dalam Surah Al Isra’ayat 23: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “AH”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”

Setiap detik adalah Hari Ibu
Ustaz Noor Hisham berkata, Hari Ibu adalah setiap hari dan tidak hanya terhad pada hari-hari tertentu.
“Jika dinisbahkan pengorbanan ibu, realitinya pengorbanan insan ini amat besar dan tidak dapat dibalas dengan segala yang ada di dunia ini,” kata beliau.
Mengulas kepelbagaian sambutan di Malaysia, beliau berkata, sememangnya dalam Islam terdapat beberapa sambutan yang tidak digalakkan untuk diraikan umat Islam kerana jelas bertentangan dengan syariat, misalnya Hari Valentine dan April Fool.
Begitu juga sambutannya di negara-negara lain, pelbagai sambutan dilakukan untuk kemeriahan, misalnya Hari Ibu yang dilihat sambutannya lebih menjurus kepada sembahan dewa-dewa seperti pernah dilakukan oleh Greek Kuno – meraikan dan menyebutnya sebagai Hari Cybele. Juga Romam Kuno yang meraikan Hari Montranalia sebagai tanda memperingati Dewa Juno iaitu Ibu kepada Juventas, Vulcan & Mars.
“Sambutan Hari Ibu di Malaysia pula, lebih-lebih lagi untuk umat Islam, bagi saya ia telah jauh dari unsur-unsur syirik yang diamalkan orang-orang kafir.
“Ramai ulama di Malaysia menjelaskan dengan panjang lebar tentang sambutan Hari Ibu dan ia tidak menjerumuskan kepada haramnya sambutan sebegini selagi tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan agama,” katanya.
Beliau berkata, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga pada 15 Mei 2009 telah mengeluarkan khutbah Jumaat berkaitan Hari Ibu dan pada pandangannya, umat Islam perlu berhati-hati dan memastikan sebarang sambutan tidak melanggar hukum syariat.
“Kalau setakat membeli hadiah untuk ibu, membawa mereka makan di restoran terkenal, meraikan sambutan Hari Ibu bersama-sama ahli keluarga dan bermacam-macam sambutan lagi yang jelas tidak bertentangan dengan Islam adalah diharuskan.
“Tetapi demi menjaga kemaslahatan umat Islam khususnya pada mereka yang agak cetek agamanya, elakkanlah daripada menyambutnya kerana ada segelintir golongan ini yang menyambutnya sekadar ikut-ikutan dan diselang-selikan dengan perbuatan haram seperti meraikannya dengan meminum arak di kelab-kelab tertentu, pembaziran melampau, batasan aurat yang tidak dijaga bila bersama bukan muhrim, hiburan yang terlalu melalaikan dan sebagainya,” kata beliau.
Beliau berkata, ada ramai pihak bersetuju dan tidak bersetuju dengan sambutan ini, malah ada mengemukakan dalil dari hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesiapa sahaja yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia itu termasuk dalam golongan mereka.” (Hadis sahih – diriwayatkan oleh Imam Abu Daud RH dalam sunannya, Imam Ahmad Bin Hanbal di dalam musnadnya & Imam As-sayuti di dalam Al-jamie as shaghir, disahihkan oleh albani.
“Ini bermakna, pendapat-pendapat sesetengah ulama yang membenarkan sambutan Hari Ibu disebabkan mereka melihat dari sudut sambutan Hari Ibu pada zaman kini dan bukan zaman dahulu,” katanya.
Pendapat ulama tentang Hari Ibu
1) Dr Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti hafizahullah
Jika cara sambutan Hari Ibu sebagaimana diamalkan masyarakat barat iaitu mengetepikan ibu, tidak menunaikan hak-haknya, tidak berlaku baik kepadanya sepanjang tahun kemudian memberikan perhatian sepenuhnya, mengisytiharkan kasih sayang dan berbuat baik kepadanya hanya pada Hari Ibu sahaja, maka jika begitu ia adalah bidaah yang diharamkan. Jika sambutan itu ialah satu juzuk daripada bentuk mempamerkan kebaikan berterusan kepada ibu dan kasih sayang terhadapnya sepanjang tahun, maka tidak salah untuk turut serta bersama orang-orang lain dalam usaha menegaskan hakikat sebenar berbuat baik kepadanya serta menyayanginya bersempena tibanya Hari Ibu.
2) Dr Rajab Abu Malih
Ada dua kumpulan ulama dalam masalah ini:
Ulama yang berpendapat perayaan atau sambutan yang datang dari luar agama maka ia dikira keji dan kita tidak perlu mengikutnya. Dalam agama kita sudah cukup menjadikan kita yang memandu bukan dipandu, diikuti bukan mengikuti.
Ulama yang berpendapat perayaan atau sambutan ini termasuk dalam kategori adat-adat kebiasaan. Maka, hukum asalnya ialah harus. Selagi mana sambutan ini bertepatan dengan Islam dan garis panduannya serta mempunyai asal dalam syariat kita, maka tidak haram dan tidak makruh.
Walaupun kita hormati pendapat pertama dan hormati sesiapa yang berpendapat sedemikian, kita berpegang kepada pendapat kedua, iaitu harus tetapi mestilah mengikut garis-garis panduan.
3) Dr Muhammad Bakr Ismail
Sambutan ini dikira bidaah dari sudut adat kebiasaan bukan bidaah dari sudut ibadat. Bidaah adat tidak disuruh mahupun dilarang oleh Islam kecuali apabila berkait dengan agama sama ada secara dekat mahupun jauh. Maka apabila adat-adat ini menzahirkan kesetiaan dan mengiktiraf serta mengajak supaya berbuat baik kepada sesiapa yang layak menerima kebaikan itu seperti ibu bapa, nenek dan datuk, maka Islam menerima adat-adat sebegini. Tetapi jika adat-adat ini menzahirkan yang sebaliknya, berlaku pula perkara-perkara yang dilarang seperti pembaziran melampau, hiburan yang sia-sia, maka ia dilarang Islam.
4) Dr Abd Fatah Asyur
Sambutan hari-hari tertentu yang memuliakan manusia atau memperingati peristiwa yang baik tidak disebut oleh sesiapapun sebagai sambutan keagamaan tapi ia ialah peluang menzahirkan perasaan bagus terhadap orang yang melakukan kebaikan kepada kita antaranya apa yang disebut sebagai Hari Ibu.Ibu mempunyai kedudukan khusus dalam agama Allah bahkan dalam setiap agama.
5)   Syeikh Hamid Al-Attar
Sambutan Hari Ibu pada satu hari yang ditetapkan, di sisiku sekurang-kurangnya makruh hukumnya. Dan tidak jauh untuk jadi haram, bukan sebab bidaah tapi sebab taqlid orang bukan Islam dalam adat-adat dan perayaan-perayaan mereka. Dalilnya “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kalangannya.” Riwayat Abu Daud.
6) Dr Muhammad Abd Latif Banna
Beliau berpendapat tiada larangan untuk menyambut perayaan dengan syarat:
Dalam sambutan itu, tiada perkara yang ditegah syarak seperti ikhtilaf (pergaulan atau percampuran bebas)
Tidak bertujuan meniru/menyerupai orang barat.
Sambutan ini termasuk sambutan sepanjang tahun (tidak terhad pada hari tertentu sahaja bahkan sepanjang tahun tapi dikhususkan hari tertentu mungkin untuk lebih kerap meluangkan masa bersama atau memberi hadiah.
Memang ada pendapat sesetengah ulama mengharamkan sambutan hari Ibu kerana asal usul sejarahnya. Namun, di Malaysia, pada pengamatan Ustaz Noor Hisham, pendirian umum mengenainya di sisi asatizah ialah harus. Banyak masjid-masjid turut menganjurkan majlis dan program-program bagi menghargai ibu. Jika sambutan ini dikira sebagai kemungkaran serius, pastinya pihak Jakim dan badan ulama akan mengeluarkan kenyataan atau pun fatwa untuk menegur masyarakat Islam dari meraikannya atau menghukumkannya sebagai haram

No comments:

Post a Comment