Friday, February 11, 2011

FADHILAH WUDHU

Setiap kali kita berwudhu akan gugur dosa-dosa kecil. Jadi, sama-samalah kita fikirkan. Tidakkah kita mahu dosa kita di hapuskan dengan hanya mengambil wudhu yang sempurna. Sesungguhnya wudhu yang sempurna bukan hanya menjamin solat diterima tetapi juga boleh menghapuskan doa-dosa selagi tidak melakukan syirik.

Rasulullah saw bersabda :

“Dari Abu Hurairah berkata: telah bersabda Rasulullah saw: Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwuduk maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya bersama air atau titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwuduk ia bersih dari dosa-dosanya. (hadis riwayat muslim)”

Selain daripada itu, antara fadhilat lain wuduk ialah mengangkat darjat manusia.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:

“Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: Sukakah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Maka Baginda saw pun bersabda: Iaitu (antaranya) menyempurnakan wudhu walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya) (Hadis riwayat Muslim)”

Seterusnya, wudhu dapat memberi cahaya di akhirat.

”Sesungguhnya umatku dipanggil pada Hari Kiamat dalam keadaan bercahaya wajah-wajah, tangan-tangan & kaki-kaki mereka kerana bekas wudhu (Riwayat Bukhori & Muslim)”

Pernahkah kita dengar bahawa wudhu dapat membuka ikatan syaitan? Ya, Rasulullah ada bersabda bahawa ikatan syaitan pada manusia akan terlerai dengan wudhu.

“Dari Abu Hurairah, beliau meriwayatkan dari Rasulullah saw, bahawa syaitan mengikut manusia ketika tidur di malam hari, dengan tiga ikatan. Kemudian Rasulullah saw memberitahu cara untuk merungkai ikatan tersebut, dalam sabda Baginda saw: Sekiranya dia (manusia) bangun (dari tidurnya), dan mengingati Allah, bebaslah satu ikatan. Sekiranya dia berwudhu pula, bebaslah satu ikatan lagi, dan sekiranya dia bersolat, bebaslah satu ikatan lagi. Maka dia akan menjadi segar dan baik dirinya. Sekiranya dia tidak melakukannya (berzikir, wudhu, dan bersolat), maka dia akan menjadi buruk dan pemalas. (hadis riwayat. al-Bukhari)”

Subhanallah, betapa besar dan istimewanya ganjaran berwudhu. Tak susahkan?? Sesungguhnya islam itu sangat mudah. Jadi, saya ingin menyeru kepada semua dan diri sendiri juga untuk rajin-rajinkalah diri kita untuk berwudhu. Basahkanlah anggota badan kita dengan wudhu. InsyaAllah segala usaha kita untuk berwudhu dan menyucikan diri mendapat ganjaran yg besar daripada Allah.

Firman Allah: “…Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang bersih (Al-baqarah : 222)”

                                
                                      DOA KETIKA MEMBASUH ANGGOTA WUDHUK
1. Ketika berkumur, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini”. Penjelasan nombor 1 : Kita hari-hari bercakap benda-benda yang tak berfaedah.

2. Ketika membasuh muka, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, putihkanlah muka ku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini”. Penjelasan nombor 2 : Ahli syurga mukanya putih berseri-seri.

3. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, berikanlah hisab-hisab ku ditangan kanan ku ini”. Penjelasan nombor 3 : Ahli syurga diberikanhisab-hisabnya di tangan kanan .

4. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab-hisab ku di tangan kiri ku ini”. Penjelasan nombor 4 : Ahli neraka diberikan hisab-hisabnya di tangan kiri .

5. Ketika membasuh kepala, berniatlah kamu dengan,”Ya Allah, lindunganlah daku dari terik matahari di padang Masyar dengan Arasy Mu”. Penjelasan nombor 5 : Panas di Padang Masyar macam matahari sejengkal di atas kepala.

6. Ketika membasuh telinga, berniatlah kamu dengan,”Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini” Penjelasan nombor 6 : Hari-hari mendengar orang mengumpat, memfitnah dll.

7. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah kamu dengan.”Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqqim”. Penjelasan nombor 7 : Ahli syurga melintasi titian dengan pantas sekali.

8. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah kamu dengan,”Ya, Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat” Penjelasan nombor 8 : Qada’ dan Qadar kita di tangan Allah.

Ramai di antara kita yang tidak sedar akan hakikat bahawa setiap yang dituntut dalam Islam mempunyai hikmah nya yang tersendiri.

Pernahkah kita terfikir mengapa kita mengambil wuduk sedemikian rupa? Pernah kita terfikir segala hikmah yang kita perolehi dalam menghayati Islam?

Pernah kita terfikir mengapa Allah lahirkan kita sebagai umat Islam?

Bersyukur dan bertaubatlah selalu.

wassalam.

Faedah Penggunaan DINAR

  1.  Emas dan perak merupakan wang yang paling stabil pernah digunakan manusia.
  2.  Daripada awal tamadun Islam sehingga hari ini, nilai emas dan perak sangat stabil serta sangat menarik perhatian. Seekor ayam berharga 1 dirham ketika zaman Nabi Muhammad SAW, zaman perkembangan Islam negeri Arab serta zaman ketamadunan khalifah Islam; hari ini seekor ayam masih berharga 1 dirham dikebanyakan tempat diseluruh dunia apabila dibandingkan dengan nilai harga ayam runcit semasa.
  3.   Sekaligus, ini menunjukkan inflasi sifar dalam jangka masa 1400 tahun.
  4.   Ia membuktikan bahawa di dalam jangka masa panjang emas dan perak merupakan penyimpan nilai yang unggul. Kuasa beli emas dan perak masih dikekalkan. Inilah kelebihan emas dan perak. Selain itu, emas dan perak tidak boleh dicetak sesuka hati oleh kerajaan menyebabkan nilainya tidak mungkin jatuh seperti wang kertas.
  5.   Oleh yang demikian, menyimpan kekayaan di dalam bentuk emas adalah kaedah terbaik dan terunggul.
  6.  Nilai emas dan perak tidak perlu disandarkan kepada mana-mana kerajaan. Ianya bukanlah liabiliti mana-mana pihak.
  7.  Semua bentuk aset kertas, contohnya bonsaham termasuk deposit bank adalah merupakan 'janji untuk membayar hutang'. Nilainya tertakluk kepada andaian pelabur bahawa janji pembayaran akan dilakukan. Sejarah menunjukkan bahawa aset-aset kertas ini boleh gagal sepertimana yang berlaku kepada bon dan wang kertas peso Mexico.
  8.  Emas pula tidak tertakluk kepada mana-mana sistem kewangan dunia. Apa pun yang berlaku, emas tetap mengekalkan nilainya. Ini dapat dilihat daripada pengalaman manusia selama 5000 tahun di samping logam ini.
  9. Tujuannya bagi mengurangkan penipuan dan manipulasi mata wang. Mata wang sedia ada seperti dolar Amerika, bath Thailand mahupun ringgit mudah dimanipulasi dan mudah disalahgunakan.
  10. Dinar emas pernah digunakan sebagai piawai bagi mata wang dunia ribuan tahun lamanya.
  11. Wang kertas dolar pada mulanya disandarkan kepada nilai emas. Tetapi kemudian sandaran emas ini tidak lagi digunakan.
  12. Akibatnya wang kertas dan syiling asyik turun dan naik dan sukar untuk memantapkannya...

ADAB MAKAN DAN MINUM CARA NABI SAW

Dalam makan, ada perkara yang wajib di jaga, dan wujud juga perkara yang sunat di jaga. Perkara yang wajib di jaga adalah, mengelak memakan makanan yang haram, seperti arak, babi, binatang yang tidak disembelih dan sebagainya.







Adapun perkara sunat dijaga ketika makan adalah, makan tersebut dilakukan dengan beradab. Bermakna, apabila makan tidak beradab, ia tidak mendatangkan dosa.






Ada sebilangan manusia, yang makan makanan yang haram, tetapi dalam masa yang sama mereka amat mementingkan adab. Ekoran itu, mereka membaca “bismillah” apabila makan daging babi. Sudah pasti, tindakan ini amat bercanggah dengan konsep Islam.






Ia sama seperti, orang yang mementingkan adab menegur, tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak mementingkan usaha melarang daripada berlaku penipuan, melakukan tindakan yang merugikan islam dan sebagainya. Walhal, menipu adalah perkara yang haram, dan menegur adalah perkara yang wajib, tetapi adab menegur adalah perkara yang sunat.






Walaubagaimana pun, di sini, di paparkan beberapa hadis-hadis yang sempat dihimpun berkenaan dengan makan dan minum Nabi SAW. ia adalah seperti berikut;






MULAKAN DENGAN ”BISMILLAH”






Nabi SAW apabila makan dan minum, pasti memulakan dengan menyebut nama Allah. perbuatan itu, bukan sekadar dilakukan oleh baginda SAW sendiri, malahan dipesan agar dilakukan oleh orang lain.






Bahkan, ia merupakan pesanan yang sering dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada kanak-kanak, yang menunjukkan ia merupakan didikan Nabi terhadap mereka.






Dalam satu hadis, daripada Umar bin Abi Salamah R.a berkata, “semasa aku kanak-kanak, aku makan di dalam bilik bersama Rasulullah SAW. tanganku melintasi segala piring-piring, lalu disebut oleh Rasulullah SAW;






يا غلام سم الله ، وكل بيمينك ، وكل مما يليك






Maksudnya;


“Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah dan makanlah dengan tangan kananmu dan makan makanan yang paling hampir denganmu[1]”






Dari hadis ini, kita dapat pelajari beberapa perkara berikut;






Pertama :






Nabi SAW, apabila menegur, baginda SAw akan berfikir kesan disebalik teguran. Justeru, apabila kesilapan itu dilakukan oleh seorang kanak-kanak yang bernama Umar bin Abi Salamah, nabi SAW tidak menggunakan namanya, sebaliknya nabi Muhammad SAW menggunakan panggilan manja.






Dalam bahasa arab, penggunaan kalimah ”ghulam”, ia merujuk kepada panggilan manja kepada kanak-kanak. Panggilan itu, amat diminati di kalangan kanak-kanak arab.






Ekoran itu, panggilan manja itu digunakan oleh Nabi SAW, dalam memberi teguran.






Kedua:






Nabi SAW berpesan agar makan itu dimulakan dengan membaca ”bismillah”. Ia merupakan penentu dalam keberkatan pada makanan itu sendiri.






Disamping itu juga, ketika sedang makan, ada adabnya tersendiri. Antara adab yang ditekankan dalam hadis ini adalah, tidak mengjangkaui tangan ketika mengambil lauk melainkan mengambil yang paling hampir terlebih dahulu.






Tindakan mengambil lauk yang jauh sehingga menjangkaui pinggan dan piring, bukanlah satu perkara yang ditegah oleh syarak. Pun begitu, tindakan digalakan agar tidak dibuat.






KETIKA LUPA BERDOA






Kadangkala, ada manusia itu makan terlupa untuk memulakan makan dengan membaca “Bismillah”. Mungkin kerana terlalu lapar, atau sememangnya tidak teringat langsung.






Dalam hadis, daripada Abdullah bin Mas’ud berkata, bersabda Nabi SAW;






من نسي أن يذكر الله في أول طعامه فليقل حين يذكر : باسم الله في أوله وآخره






Maksudnya;


“barangsiapa lupa bahawa menyebut nama Allah pada awal makannya, maka hendaklah dia berkata ketika ingat “dengan Nama Allah pada awalnya dan akhirnya[2]”






TANGAN KANAN






Ketika makan, disunatkan makan dilakukan menggunakan tangan kanan. Kekanan dalam semua perkara merupakan amalan terpuji, bahkan ia merupakan amalan orang-orang yang soleh; bertaqwa kepada Allah SWT.






Dalam hadis, daripada Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah SAW ada bersabda;






إذا كان أحدكم فليأكل بيمينه ، فإن الشيطان يأكل بشماله ويشرب بشماله






Maksudnya;


“Apabila seseorang kamu makan, maka hendaklah dia menggunakan tangan kanannya. Ini kerana, Syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya[3]”






Dari hadis ini, di nyatakan bahawa makan dengan tangan kanan merupakan satu suruhan dari Nabi SAW. di nyatakan juga, bahawa tindakan makan dengan menggunakan tangan kiri adalah amalan syaitan.






TIDAK MINUM BERDIRI






Berdiri ketika minum, menandakan kurang adab ketika minum. Lantaran itu, ada satu hadis daripada Abi Said Al-Khudri berkata;






أن النبي صلى الله عليه وسلم زجر عن الشرب قائماً






Maksudnya;


“sesungguhnya Nabi SAW mencegah minum air dalam keadaan berdiri[4]”






TIDAK GUNA BEKAS EMAS DAN PERAK






Bukan sekadar kurang adab, malahan merupakan satu dosa, apabila seseorang itu minum dan makan dengan menggunakan bekas daripada emas dan perak.






Tindakan menggunakan emas dan perak ketika makan dan minum, merupakan kesombongan, walhal sifat sombong ini tidak layak wujud pada manusia.






Daripada satu hadis, daripada Huzaifah bin Al-Yaman berkata, “aku dengar Nabi SAW bersabda;






ولا تشربوا في آنية الذهب والفضة ، و لا تأكلوا في صحافها فإنها لهم في الدنيا ولنا في الآخرة






Maksudnya;


“Jangan kamu minum dengan menggunakan bekas-bekas yang diperbuat daripada emas dan perak. Juga, jangan makan dengan menggunakan pinggan-pinggannya. Ini kerana, bagi mereka di dunia, tetapi ia bagi kita di akhirat[5]”






CARA MAKAN DAN MINUM






Nabi SAW mempunyai cara-caranya tersendiri ketika makan dan minum. Nabi SAW apabila makan, baginda pasti akan menggunakan tiga jarinya.






Daripada Kaab bin Malik berkata;






كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يأكل بثلاث أصابع ، ويلعق يده قبل أن يمسحها






Maksudnya;


“Rasulullah SAW makan dengan tiga jarinya, lalu menjilat tangannya sebelum membersihkannya[6]”






TIDAK CELA MAKANAN






Kadang-kadang, ketika kita makan, ada makanan yang kita tidak selera. Ataupun, mungkin faktor makanan tersebut tidak sedap dan sebagainya.






Perasaan sebegitu, tidak sekadar berlaku pada diri kita sahaja, malahan berlaku juga pada diri Nabi Muhammad SAW. justeru, apakah tindakan Nabi SAW ketika berlaku sedemikian.






Dalam hadis, daripada Abu Hurairah berkata;






ما عاب النبي صلى الله عليه وسلم طعاماً قط ، ان اشتهاه أكله وإن كرهه تركه






Maksudnya;


“Nabi SAW tidak pernah mencela makanan sedikitpun. Sekiranya nabi berminat, pasti baginda akan memakannya. Dan jika baginda tidak menyukainya, baginda akan meninggalkannya[7]”






TIDAK MAKAN BANYAK






Nabi SAW tidak pernah makan banyak seperti kita. Jika kita makan, kadangkala mengjangkaui kekenyangan teramat sangat, sehingga bersedawa 3 hingga 5 kali. Perbuatan tersebut tidak disukai oleh Nabi SAW.






Justeru, daripada satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, daripada Nabi SAW bersabda;






الكافر يأكل في سبعة أمعاء والمؤمن يأكل في معىً واحد






Maksudnya;


“Orang kafir makan dengan tujuh perut, walhal orang mukmin itu makan dengan satu perut sahaja[8]”






MAKAN BERJEMAAH






Berjemaah merupakan tuntutan. Ia kerana, berjemaah mewujudkan saling bantu membantu. Apabila wujud seorang yang susah, pasti dengan berjemaah, seorang kawan yang lain pasti akan membantu. Apabila keadaan ini berlaku, sebarang kesulitan dapat diselesaikan dengan baik.






Disebalik kebaikkan berjemaah ini, wujud juga keberkatan disebalik kita berjemaah. Berkat diterjemah sebagai “zat” jika dinisbahkan kepada makanan.






Ada manusia yang makan banyak, tetapi muka mereka pucat. Apabila ditanya, mengapa muka pucat, walhal makan banyak? Jawapan yang kita akan kedengari adalah, makanan tersebut makanan yang tidak mempunyai zat.






Dalam menjalani kehidupan, perkara ’zat’ amat penting. Sepertimana perlunya zat pada makanan untuk mencapai kesihatan tubuh badan, maka begitujuga dalam perkara selain daripada makanan.






Ada manusia yang mempunyai harta yang banyak, tetapi hartanya mudah habis. Tetapi, ada manusia yang mempunyai harta yang sedikit, tetapi hartanya susah habis.






Ada orang yang mempunyai kekayaan yang mengkagumkan. Apabila dilihat di dalam bank, wang simpanan mereka menjangkaui jutaan ringgit. Namun begitu, kehidupan si kaya tersebut tidak pernah tenang; masalah dalam keluarga sering terjadi, seperti kecurian, kena tipu, masalah anak-anak dan sebagainya. segala kekalutan dalam kehidupan itu berpunca daripada ketiadaan berkat.






Dalam mencapai keberkatan, Nabi SAW amat meminta agar umat mencarinya. Sehingga sampai satu tahap, dalam perkara yang melibatkan makan pun dituntut.






Dalam satu hadis, daripada Wahsyi bin Harb, daripada bapanya dan daripada atuknya berkata;






أن أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم قالوا : يا رسول الله إنا نأكل ولا نشبع قال : فلعلكم تفترقون قالوا : نعم ، قال : فاجتمعوا على طعامكم ، واذكروا اسم الله عليه ، يبارك لكم فيه






Maksudnya;


“Sesungguhnya para sahabat nabi SAW bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya kami makan, tetapi kami tidak pernah merasa kenyang”. Berkata Nabi SAW, “mungkin kamu makan bersendiri-sendirian?”. Jawab sahabat, “benar”. Bersabda Nabi SAW, “berhimpunlah atau berjemaahlah pada makanan kamu, dan sebutlah nama Allah atasnya, mudah-mudahan Allah memberi keberkatan kepada kamu pada makanan tersebut[9]”






KEADAAN DUDUK KETIKA MAKAN






Ketika makan, Nabi SAW amat menjaga cara dan kaedah duduk. Nabi SAW tidak pernah makan dalam keadaan bersandar, seperti hadis yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah, bahawa Rasulullah SAW bersabda;






إني لا آكل متكئاً






Maksudnya;


“Sesungguhnya aku tidak akan makan dalam keadaan bersandar[10]”






Begitujuga hadis daripada Anas bin Malik berkata;






رأيت النبي صلى الله عليه وسلم مقعياً يأكل تمراً






Maksudnya;


“Aku nampak Nabi SAW dalam keadaan duduk ketika makan buah kurma[11]”






Bahkan, makan dalam keadaan merupakan tanda manusia itu sebagai manusia yang merendah diri, tidak manusia yang sombong dan samseng.






Dalam hadis, daripada Abdullh bin basar berkata, “Aku telah menghadiahkan kepada Nabi SAW seekor kambing. Nabi SAW makan kambing tersebut sambil duduk, menyebabkan seorang badwi bertanya, “mengapa duduk?”






Mendengar kata badwi itu, Nabi SAW terus bersabda;






إن الله جعلني عبداً كريماً ، ولم يجعلني جباراً عنيداً






Maksudnya;


“Sesungguhnya Allah menjadikan aku hamba yang mulia, dan tidak menjadikan aku orang yang sombong dan degil[12]”






MINUM SUSU






Dalam banyak-banyak minuman yang wujud di atas muka bumi, susu merupakan minuman yang cukup disukai oleh Nabi SAW.






Ekoran itu, jika dilihat pada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, bahawa dia berkata, apabila Nabi SAW makan makanan yang biasa, Nabi SAW akan berdoa seperti berikut;






اللهم بارك لنا فيه ، وأطعمنا خيراً منه






Maksudnya;


‘Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada makanan ini. dan berilah makanan kepada kami yang lebih baik daripada ini”






Pun begitu, ketika baginda SAW minum susu, baginda akan berdoa seperti berikut;






اللهم بارك لنا فيه ، وزدنا منه ، فإنه ليس شيء يجزئ من الطعام والشراب إلا اللبن.






Maksudnya;


“Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada susu ini, dan tambahilah susu ini untuk kami. ini kerana, tidak ada yang dapat mengatasi makan dan minuman melainkan susu[13]”






Sekian






Wallahu ‘Alam

Ðosa Iblis hanya sombong

Bismillah. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 34 yang bermaksud, “Ðan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah (tunduklah beri penghormatan) kamu kepada Adam,” maka sujudlah (memberi hormat) mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.”







Menurut Qatadah, ketaatan itu untuk Allah, sedangkan sujud ditujukan kepada Adam. Allah memuliakan Adam dengan memerintahkan para malaikat untuk sujud kepadanya.






Tidak tahan ujian






Para ulama mengesahkan bahawa pada awalnya iblis yang diciptakan daripada api yang termasuk golongan jin itu sangat taat beribadat, hinggakan tidak kurang daripada ketaatan para malaikat. Bukan itu saja, malah ia digelar Tawus al-Mala‘ikah (Burung Meraknya Para Malaikat). Rasa kehebatan diri membawa kepada permohonan agar ia dimasukkan ke dalam golongan malaikat. Sudah tentulah golongan malaikat ini patuh pada setiap perintah Tuhan yang ditujukan kepada para malaikat.






Untuk melihat kemampuan iblis untuk bersama malaikat, Allah meguji mereka dengan memerintahkan agar para malaikat sujud menghormati dan memuliakan Adam. Allah SWT menyebut mengenai sikap para malaikat apabila diperintahkan-Nya dengan firman dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”






Akan tetapi, ternyata iblis tidak tahan dengan ujian tersebut. Ia enggan dan terserlah sifat takburnya, sehingga selayaknya Allah SWT murka kepadanya.






Adakah Iblis itu malaikat?






Persoalannya, terdapat sebahagian yang memahami perintah tersebut (untuk sujud kepada Adam) hanya ditujukan kepada para malaikat, tetapi mengapa iblis dikatakan derhaka? Bukankah iblis dan malaikat dua jenis makhluk yang berbeza?






Sebenarnya terjemahan yang sepatutnya kita faham ialah: “Renungkanlah ketika Kami berfirman kepada malaikat, “Sujudlah kepada Adam,” maka mereka pun sujud. Tetapi iblis enggan dan takbur, malah ia termasuk dalam golongan makhluk yang kafir.” Maksud ayat tersebut, iblis atas keengganannya itu bukanlah ia termasuk dalam makhluk yang taat sebagaimana malaikat yang ia inginkan dahulu, sebaliknya ia adalah makhluk yang kafir.






Ðalam Tafsir Ibn Kathir menyebut dalam mengambil pandangan Ibn Abbas r.a., beliau berkata : “Sebelum iblis melakukan perbuatan maksiat, ia termasuk dalam golongan malaikat yang paling bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadat dan paling banyak memiliki ilmu. Hal itulah yang mendorongnya sehingga menyombongkan diri dan ia berasal dari negeri yang disebut Jin.”






Akibat sombong






Mengenai firman Allah SWT tadi yang bermaksud, “Maka sujudlah mereka kecuali iblis, ia enggan dan takbur (sombong) dan ia termasuk golongan kafir.” Qatadah berkata bagi menjelaskan potongan ayat tersebut : “Musuh Allah, iblis berasa hasad (dengki) kepada Adam a.s. kerana kemuliaan yang diberikan kepada Adam. Alasannya : ‘Aku diciptakan daripada api dan ia (Adam) diciptakan daripada tanah.’”






Akibat kesombongannya itu, iblis dihalau keluar dari syurga sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 13 yang bermaksud, “Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina.”






Maksud turunlah kamu wahai iblis dari syurga disebabkan kederhakaanmu terhadap perintah-Ku dan kerana kebangkanganmu daripada ketaatan kepada-Ku. Padahal kamu tidak berhak untuk angkuh di dalam syurga. Inilah dosa pertama kali yang terjadi dalam kalangan makhluk Allah. Itulah dosa kesombongan musuh Allah, iblis yang terang-terang menolak sujud kepada Adam a.s.






Imam Ibn Kathir menyebut lagi bagi menjelaskan ayat tersebut dengan berkata : “Saya katakan, dalam sebuah hadis sahih ditegaskan yang bermaksud : ‘Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan, meskipun hanya sebesar biji sawi.’”






Tegasnya, dalam hati iblis terdapat kesombongan, kekufuran dan keingkaran yang menyebabkan ia terusir malah jauh daripada rahmat Allah SWT. Wallahu‘alam

HUKUM MENYAMBUT HARI VALENTINE

Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya. Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu penulis melihat begitu pentingnya untuk mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.







SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE






Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine maka kita akan dapati bahawa terdapat 4 pendapat berkaitan dengannya.






Ø Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.






Ø Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.






Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.






Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.






Ø Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.






Ø Pendapat keempat. menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.






Disini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.










Hukum Menyambut Hari Valentine






Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:






Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. – al-Hajj : 67






Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.






Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi. Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.






Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.. Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”






Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32






Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari 2007, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”






Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredhai Allah S.W.T.. Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)". –Al-Baqarah (2) : 120






Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik". – al-Hijr (15) : 39-40






Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.






Justeru itu hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya golongan yang ingkar kepada Allah ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari memasyhurkan sambutan Hari Valentine ini kepada umat Islam. Sebagai gantian media massa perlu digunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine