Wednesday, May 18, 2011

Dosa dosa besar dalam islam


Mengikut imam Azzahabiyy dalam kitabnya "Al-Kabaair" beliau menghimpunkan jenis dosa-dosa besar sebanyak 70 perkara seperti berikut:

01- Belajar ilmu dan sembunyi pengetahuan
02- Bersaksi palsu
03- Berjudi
04- Bersumpah palsu dan bohong
05- Berbohong
06- Bergambar di baju (bila sembahyang)
07- Perempuan pelacur
08- Berbuat buruk terhadap yang lemah
09- Berdebat dan memusuhi
10- Bersifat dayus
11- Bercakap kasar dengan orang tua
12- Dusta nama Allah dan rasulnya
13- Derhaka pada suami
14- Derhaka pada hamba Allah, anggap baik dirinya
15- Hakim derhaka
16- Homosek (seagama/sejenis)
17- Mengurangi timbangan
18- Lari seorang hamba dari tuannya
19- Lelaki menyerupai wanita
20- Lari dari medan perang di jalan Allah
21- Membunuh manusia
22- Membunuh diri sendiri
23- Mengamalkan sihir
24- Meninggalkan sembahyang lima waktu
25- Meninggalkan sembahyang jumaat
26- Menderhaka kepada kedua ibu bapa
27- Memutuskan hubungan silaturrahim
28- Melakukan zina
29- Makan harta anak yatim secara tidak betul
30- Makan dari kekayaan haram
31- Memberi dan menerima rasuah
32- Melabuhkan pakaian kerana berlagak sombong
33- Makan riba
34- Minum arak
35- Mencuri
36- Merompak
37- Melakukan kezaliman
38- Melakukan pengkhianatan
39- Menyebut-nyebut pemberian
40- Mengingkari janji
41- Memfitnah
42- Mengutuk orang islam
43- Merasa aman dari kemurkaan Allah
44- Menipu harta rampasan
45- Melampaui batas
46- Menuduh zina terhadap orang baik
47- Memakai emas dan sutera (bagi lelaki)
48- Mempercayai nujum dan sihir
49- Menjadi bapa sanggup
50- Mencari kesalahan orang lain
51- Menganggu orang lain
52- Menganggu tetangga
53- Menyakiti dan memaki orang islam
54- Mengintip dan membuka rahsia orang
55- Mencaci sahabat Nabi
56- Mengurangi wasiat
57- Mengingkari takdir
58- Putus asa dari rahmat Allah
59- Penipuan dan kezaliman terhadap rakyat
60- Riak dan mempamerkan diri
61- Syirikkan Allah dengan sesuatu yang lain
62- Sombong serta angkuh
63- Sembelih untuk selain Allah
64- Tidak mengeluarkan zakat
65- Tidak berpuasa di bulan ramadhan
66- Tidak mengerjakan haji jikalau mampu
67- Tidak istinjak selepas kencing
68- Tidak mendengar cakap ibu bapa
69- Tipu daya
70- Wanita menyerupai lelaki

Hukum sambut hari IBU


Pengorbanan ibu kekal ke akhir hayat
Ibu, mama, emak, mak, mummy, ummi, bonda, ibunda atau apa sahaja panggilan yang diberikan kepada insan mulia ini, ketahuilah bahawa kasih mereka tidak bertepi, kasih mereka membawa ke syurga dan kasih mereka juga tiada bandingannya.
Sebagai anak, kita tidak dapat mencari kasih lebih murni dan lebih sejati daripada kasih seorang ibu. Ibu sanggup berkorban nyawa untuk anak-anaknya. Itulah betapa kasihnya seorang ibu pada kita.
Pada yang bergelar anak, cuba anda bayangkan betapa susah payahnya ibu mengandungkan kita lebih dari sembilan bulan dan melahirkan dengan penuh kepedihan dan kesakitan. Bayangkan pula bagaimana seorang ayah keluar mencari rezeki untuk menanggung dan membesarkan anak-anak agar tidak terabai dan meminta-minta daripada orang lain. Jasa ayah ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit dan harta kekayaan. Kasih sayang keduanya begitu sejati lagi murni.
Namun, masih ada si anak yang sanggup membuang insan mulia ini. Ada yang menganggapnya sebagai ‘barangan yang menyusahkan’. Ada pula yang mencipta 1001 alasan untuk tidak bertanyakan khabar ibu di kampung dengan alasan terlalu sibuk dengan kerja. Jika difikirkan semula, susah sangatkah hendak menekan nombor telefon dan bertanyakan khabar mereka? Adakah terpaksa mengambil masa berjam-jam untuk mendengar suara insan yang telah banyak berkorban apa sahaja untuk kita? Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah.
Buat insan yang bergelar ibu, diucapkan selamat Hari Ibu. Buat bonda saya, Puan Siti Jawahir Hussin, anakanda ucapkan selamat Hari Ibu, kasih sayang yang dicurahkan bonda kepada anakanda akan dijadikan pembakar semangat untuk terus menjadi manusia berguna dalam meniti hidup ini sebagai khalifah Allah, sebagaimana yang bonda harapkan. Bonda, doakanlah anakanda di dunia dan akhirat.
Wajib hormati ibu
“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).
Pendakwah bebas, Ustaz Noor Hisham Ismail berkata, ibu wajib dihormati disebabkan keperitan, kesakitan dan susah payahnya mengandung dan melahirkan kita di dunia.
Katanya, anak yang menderhaka kepada ibunya dengan sebab-sebab yang tidak diizinkan syarak adalah anak yang sentiasa berada di bawah laknat Allah dan rasul sehinggalah ibunya memaafkannya. Firman Allah dalam Surah Al Isra’ayat 23: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “AH”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”

Setiap detik adalah Hari Ibu
Ustaz Noor Hisham berkata, Hari Ibu adalah setiap hari dan tidak hanya terhad pada hari-hari tertentu.
“Jika dinisbahkan pengorbanan ibu, realitinya pengorbanan insan ini amat besar dan tidak dapat dibalas dengan segala yang ada di dunia ini,” kata beliau.
Mengulas kepelbagaian sambutan di Malaysia, beliau berkata, sememangnya dalam Islam terdapat beberapa sambutan yang tidak digalakkan untuk diraikan umat Islam kerana jelas bertentangan dengan syariat, misalnya Hari Valentine dan April Fool.
Begitu juga sambutannya di negara-negara lain, pelbagai sambutan dilakukan untuk kemeriahan, misalnya Hari Ibu yang dilihat sambutannya lebih menjurus kepada sembahan dewa-dewa seperti pernah dilakukan oleh Greek Kuno – meraikan dan menyebutnya sebagai Hari Cybele. Juga Romam Kuno yang meraikan Hari Montranalia sebagai tanda memperingati Dewa Juno iaitu Ibu kepada Juventas, Vulcan & Mars.
“Sambutan Hari Ibu di Malaysia pula, lebih-lebih lagi untuk umat Islam, bagi saya ia telah jauh dari unsur-unsur syirik yang diamalkan orang-orang kafir.
“Ramai ulama di Malaysia menjelaskan dengan panjang lebar tentang sambutan Hari Ibu dan ia tidak menjerumuskan kepada haramnya sambutan sebegini selagi tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan agama,” katanya.
Beliau berkata, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga pada 15 Mei 2009 telah mengeluarkan khutbah Jumaat berkaitan Hari Ibu dan pada pandangannya, umat Islam perlu berhati-hati dan memastikan sebarang sambutan tidak melanggar hukum syariat.
“Kalau setakat membeli hadiah untuk ibu, membawa mereka makan di restoran terkenal, meraikan sambutan Hari Ibu bersama-sama ahli keluarga dan bermacam-macam sambutan lagi yang jelas tidak bertentangan dengan Islam adalah diharuskan.
“Tetapi demi menjaga kemaslahatan umat Islam khususnya pada mereka yang agak cetek agamanya, elakkanlah daripada menyambutnya kerana ada segelintir golongan ini yang menyambutnya sekadar ikut-ikutan dan diselang-selikan dengan perbuatan haram seperti meraikannya dengan meminum arak di kelab-kelab tertentu, pembaziran melampau, batasan aurat yang tidak dijaga bila bersama bukan muhrim, hiburan yang terlalu melalaikan dan sebagainya,” kata beliau.
Beliau berkata, ada ramai pihak bersetuju dan tidak bersetuju dengan sambutan ini, malah ada mengemukakan dalil dari hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesiapa sahaja yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia itu termasuk dalam golongan mereka.” (Hadis sahih – diriwayatkan oleh Imam Abu Daud RH dalam sunannya, Imam Ahmad Bin Hanbal di dalam musnadnya & Imam As-sayuti di dalam Al-jamie as shaghir, disahihkan oleh albani.
“Ini bermakna, pendapat-pendapat sesetengah ulama yang membenarkan sambutan Hari Ibu disebabkan mereka melihat dari sudut sambutan Hari Ibu pada zaman kini dan bukan zaman dahulu,” katanya.
Pendapat ulama tentang Hari Ibu
1) Dr Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti hafizahullah
Jika cara sambutan Hari Ibu sebagaimana diamalkan masyarakat barat iaitu mengetepikan ibu, tidak menunaikan hak-haknya, tidak berlaku baik kepadanya sepanjang tahun kemudian memberikan perhatian sepenuhnya, mengisytiharkan kasih sayang dan berbuat baik kepadanya hanya pada Hari Ibu sahaja, maka jika begitu ia adalah bidaah yang diharamkan. Jika sambutan itu ialah satu juzuk daripada bentuk mempamerkan kebaikan berterusan kepada ibu dan kasih sayang terhadapnya sepanjang tahun, maka tidak salah untuk turut serta bersama orang-orang lain dalam usaha menegaskan hakikat sebenar berbuat baik kepadanya serta menyayanginya bersempena tibanya Hari Ibu.
2) Dr Rajab Abu Malih
Ada dua kumpulan ulama dalam masalah ini:
Ulama yang berpendapat perayaan atau sambutan yang datang dari luar agama maka ia dikira keji dan kita tidak perlu mengikutnya. Dalam agama kita sudah cukup menjadikan kita yang memandu bukan dipandu, diikuti bukan mengikuti.
Ulama yang berpendapat perayaan atau sambutan ini termasuk dalam kategori adat-adat kebiasaan. Maka, hukum asalnya ialah harus. Selagi mana sambutan ini bertepatan dengan Islam dan garis panduannya serta mempunyai asal dalam syariat kita, maka tidak haram dan tidak makruh.
Walaupun kita hormati pendapat pertama dan hormati sesiapa yang berpendapat sedemikian, kita berpegang kepada pendapat kedua, iaitu harus tetapi mestilah mengikut garis-garis panduan.
3) Dr Muhammad Bakr Ismail
Sambutan ini dikira bidaah dari sudut adat kebiasaan bukan bidaah dari sudut ibadat. Bidaah adat tidak disuruh mahupun dilarang oleh Islam kecuali apabila berkait dengan agama sama ada secara dekat mahupun jauh. Maka apabila adat-adat ini menzahirkan kesetiaan dan mengiktiraf serta mengajak supaya berbuat baik kepada sesiapa yang layak menerima kebaikan itu seperti ibu bapa, nenek dan datuk, maka Islam menerima adat-adat sebegini. Tetapi jika adat-adat ini menzahirkan yang sebaliknya, berlaku pula perkara-perkara yang dilarang seperti pembaziran melampau, hiburan yang sia-sia, maka ia dilarang Islam.
4) Dr Abd Fatah Asyur
Sambutan hari-hari tertentu yang memuliakan manusia atau memperingati peristiwa yang baik tidak disebut oleh sesiapapun sebagai sambutan keagamaan tapi ia ialah peluang menzahirkan perasaan bagus terhadap orang yang melakukan kebaikan kepada kita antaranya apa yang disebut sebagai Hari Ibu.Ibu mempunyai kedudukan khusus dalam agama Allah bahkan dalam setiap agama.
5)   Syeikh Hamid Al-Attar
Sambutan Hari Ibu pada satu hari yang ditetapkan, di sisiku sekurang-kurangnya makruh hukumnya. Dan tidak jauh untuk jadi haram, bukan sebab bidaah tapi sebab taqlid orang bukan Islam dalam adat-adat dan perayaan-perayaan mereka. Dalilnya “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kalangannya.” Riwayat Abu Daud.
6) Dr Muhammad Abd Latif Banna
Beliau berpendapat tiada larangan untuk menyambut perayaan dengan syarat:
Dalam sambutan itu, tiada perkara yang ditegah syarak seperti ikhtilaf (pergaulan atau percampuran bebas)
Tidak bertujuan meniru/menyerupai orang barat.
Sambutan ini termasuk sambutan sepanjang tahun (tidak terhad pada hari tertentu sahaja bahkan sepanjang tahun tapi dikhususkan hari tertentu mungkin untuk lebih kerap meluangkan masa bersama atau memberi hadiah.
Memang ada pendapat sesetengah ulama mengharamkan sambutan hari Ibu kerana asal usul sejarahnya. Namun, di Malaysia, pada pengamatan Ustaz Noor Hisham, pendirian umum mengenainya di sisi asatizah ialah harus. Banyak masjid-masjid turut menganjurkan majlis dan program-program bagi menghargai ibu. Jika sambutan ini dikira sebagai kemungkaran serius, pastinya pihak Jakim dan badan ulama akan mengeluarkan kenyataan atau pun fatwa untuk menegur masyarakat Islam dari meraikannya atau menghukumkannya sebagai haram

Islamkan cara Sambut hari lahir



SOALAN:
APAKAH hukum sambutan hari lahir dengan menyediakan kek serta lilin dan diiringi laguhappy birthday to you. Ada yang mengatakan kek yang diletakkan lilin itu sebagai simbolik orang kafir memecahbelahkan Islam ketika zaman dahulu.
Bagaimana pula sambutan yang dibenarkan oleh Islam?
JAWAPAN:
Kita sering diingatkan supaya tidak menyerupai sesuatu kaum, seperti mana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia dikira dari kaum tersebut”. (riwayat Abu Daud, no: 4031, Ibn Hibban, no: 437, Al-Haithamiy, Majma’ al-Zawaid, jld: 10, hlm: 274).
Maksudnya kita ditegah supaya tidak menyerupai mana-mana kaum yang jelas ingkar kepada Allah SWT.
Kalau dilihat sepintas acara sambutan hari jadi tidaklah menggambarkan apa-apa. Namun banyak yang diceritakan bahawa memotong kek dengan meniup lilin adalah sambutan golongan bangsa yahudi atas kemenangan mereka ke atas umat Islam.
Apa yang dikhabarkan ialah kek itu umpama dunia Islam dan lilin itu cahaya Islam. Lalu ditiup lilin menandakan mematikan cahaya Islam dan memotong kek maksudnya membahagi-bahagikan taklukan yahudi atas negara-negara Islam.
Saya kira semacam ada dongengnya. Alasan saya, cahaya lilin tiada kena mengena dengan cahaya Islam, cahaya Islam adalah Nur yang tidak boleh dipadam oleh sesiapa pun, kerana ia bukan cahaya hakiki (cahaya sebenar seperti cahaya lampu) tetapi cahaya maknawi (yang diumpamakan tetapi tidak sama).
Umat yang beragama Islam tahu bahawa bangsa Yahudi tidak pernah rasa tenang dan reda atas orang Islam, kerena mereka benar-benar inginkan umat Islam terpedaya atas segala ajakan mereka dalam segenap kehidupan manusia. Ini termasuklah mempengaruhi umat Islam supaya meniru mereka.
Allah SWT yang mengutus Rasul-Nya Muhammad saw telah berfirman yang bermaksud:Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (al-Baqarah: 120)
Allah SWT memaklumkan dan memberi peringatan agar umat Islam berhati-hati atas segala tindak tanduk kaum Yahudi yang sentiasa merancang jahat atas kemusnahan agama Islam. Adapun cahaya Islam tiada kaitannya dengan cahaya lilin, kalau dipadamkan cahaya lilin dengan meniup tidak bermaksud terpadam cahaya Islam.
Allah berjanji akan menjaga cahaya Islam, biarpun golongan yang memusuhi Islam cuba memadamnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang kafir tidak suka (akan yang demikian).(al-Saf: 8)
Cahaya Allah dalam ayat ini bermakna Islam yang sedang berkembang dan akan terus berkembang biarpun ada usaha untuk memadamnya (menghentikan).
Menerusi kedua-dua ayat yang di atas dapat disimpulkan bahawa meniup lilin dan memotong kek tidak seperti yang dimomok-momokkan oleh segelintir penulis.
Mungkin cara berfikir sesetengah dari kita yang tidak analis sesuatu cerita dari sudut latar belakangnya, lalu mudah menerima perkhabaran yang belum tentu kesahannya. Apa-apa pun setiap amalan kita bergantung kepada niat.
Budaya potong kek diterima dan diislamisasi dengan tujahan nilai-nilai Islam. Justeru, bagi mereka yang ingin menyambut hari jadi setelah dia memotong kek adalah lebih baik kalau disertai dengan bacaan doa selamat.
Adapun nyanyian iringan happy birthday to you ditukar kepada “Allah selamatkan kamu”. Seperkara yang perlu diingat ialah tiada acara melalaikan.
Oleh yang demikian, iringan doa adalah lebih utama kerana majlis itu disambut dengan kegembiraan dengan peningkatan usia yang dikekalkan kesihatan dan keafiatan.
Walaupun demikian, tokoh dan sarjana Islam, Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi, menganggap bahawa menyambut hari lahir adalah suatu yang kurang tepat kerana kenapa harus disambut usia yang kian meningkat tua.
Sambutan yang dibenarkan oleh Islam adalah, dengan mengadakan majlis kesyukuran, dengan mengajak orang makan dan lain-lain amalan kebajikan yang lain, dan tiada aktiviti-aktiviti maksiat dalamnya