Friday, December 3, 2010

Doa Para Anbiya Alaihisalam mu wassalam


Doa Nabi Adam AS
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ “
Ya Tuhan Kami, Kami telah Menganiaya diri Kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni Kami dan memberi rahmat kepada Kami, niscaya pastilah Kami Termasuk orang-orang yang merugi.” (Surah Al A’raaf :23)

Doa Nabi Nuh AS
 رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَسْأَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ ۖ وَإِلَّا تَغْفِرْ لِي وَتَرْحَمْنِي أَكُنْ مِنَ الْخَاسِرِينَ “
Ya Tuhanku, Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui (hakekat)nya. dan Sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaKu, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaKu, niscaya aku akan Termasuk orang-orang yang merugi.” (Surah Hud :47)

Doa Nabi Hud AS
إِنِّي تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ رَبِّي وَرَبِّكُمْ ۚ مَا مِنْ دَابَّةٍ إِلَّا هُوَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا ۚ إِنَّ رَبِّي عَلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ ”
Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. tidak ada suatu binatang melatapun melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus.” (Surah Hud :56)

Doa nabi Ibrahim AS
 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Wahai Tuhanku,jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orng yang tetap mendirikan sholat.Wahai Tuhan kami,kabulkanlah doaku.Wahai tuhan Kami ,berilah keampunan kepadaku dan dua ibu bapaku dan sekalian orang orang mukmin pada hari berlangsungnya hisab(nanti)”.(Surah Ibrahim :40-41)

Doa Nabi Yusuf AS
 رَبِّ قَدْ آتَيْتَنِي مِنَ الْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِي مِنْ تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ ۚ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ أَنْتَ وَلِيِّي فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ”
Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”. ( Surah Yusuf : 101 )

Doa Nabi Ayub AS
 أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ “
Wahai Tuhanku,sesunguhnya aku telah di timpa penyakit dan Engkau Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang”.(Surah Al-Anbiyaa’:83)

Doa nabi Yunus AS
 لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ “
 Bahwasanya tiada Tuhan yang patut di sembah melainkan hanya Engkau,Maha Suci Engkau,sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim(Surah Al-Anbiya’:87).

Doa Nabi Musa AS
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; “Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; “Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, “Supaya mereka faham perkataanku; ( Surah Taha : 25 -27 )

 Doa nabi Sulaiman AS
 رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ “
Wahai Tuhanku,berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatmu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal sholeh yang Engkau redhai dan masukkanlah aku dengan rahmatMu kedalam golongan hamba-hambaMu yang soleh”.( Surah,An-Namlu : 19 )

Doa Nabi Zakaria AS
 رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِنْ وَرَائِي وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنْ آلِ يَعْقُوبَ ۖ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا
Dia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu. Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai”. ( Surah Maryam : 4-6 )

Doa Nabi Isa AS
اللَّهُمَّ رَبَّنَا أَنْزِلْ عَلَيْنَا مَائِدَةً مِنَ السَّمَاءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِأَوَّلِنَا وَآخِرِنَا وَآيَةً مِنْكَ ۖ وَارْزُقْنَا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
 Nabi Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki”. ( Surah al-Maidah : 114 )

Doa Nabi Muhammad s.a.w
 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
” Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.( Surah al-Baqarah : 286 

Bila dahi telah mencecah sejadah


http://www.alwatannews.net/image.aspx?ID=8DhDIiLb2Qg0pXynSEzK4yYfX8u4t1Ul1u65ksun21/ddMYNBbmglqPcggXsx/x2
Bersihkan dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu’lah kamu sebelum kamu diwudhu’kan
Dan bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan
Tutuplah auratmu sebelum auratmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih
Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakan solat jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah , Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru ku menyeru sekalian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan ulat
Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke pusara
Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa’
Sucikanlan dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan Izrail yang menakutkan
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi
Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak di bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan
Justeru bila Dia menyeru , sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti
Ingatlah asal-usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patuk , itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat
Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat
Sambutlah seruan “Hayya ‘alas Solaah”
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan “Hayya ‘alal Falaah”
Jalan kemenangan akhirat dan dunia
Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan
Pada hari itu tiada berguna harta, takhta dan putera
Isteri , kad kredit dan kereta
Kondominium , saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia

Semoga Kita Tidak Dalam Golongan Orang Celaka



Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah saw. bersabda: "Tidak akan masuk neraka kecuali orang yang celaka". Beliau ditanya: "Ya Rasulullah! Siapakah orang yang celaka itu?" Beliau menjawab: "Barangsiapa yang tidak beramal untuk Allah dengan ketaatan, dan tidak meninggalkan bagi-Nya dari perbuatan maksiat". hadis ibnu majah

Tanda bala-bala akan berlaku

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " إِذَا اتُّخِذَ الْفَىْءُ دُوَلاً وَالأَمَانَةُ مَغْنَمًا وَالزَّكَاةُ مَغْرَمًا وَتُعُلِّمَ لِغَيْرِ الدِّينِ وَأَطَاعَ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ وَعَقَّ أُمَّهُ وَأَدْنَى صَدِيقَهُ وَأَقْصَى أَبَاهُ وَظَهَرَتِ الأَصْوَاتُ فِي الْمَسَاجِدِ وَسَادَ الْقَبِيلَةَ فَاسِقُهُمْ وَكَانَ زَعِيمُ الْقَوْمِ أَرْذَلَهُمْ وَأُكْرِمَ الرَّجُلُ مَخَافَةَ شَرِّهِ وَظَهَرَتِ الْقَيْنَاتُ وَالْمَعَازِفُ وَشُرِبَتِ الْخُمُورُ وَلَعَنَ آخِرُ هَذِهِ الأُمَّةِ أَوَّلَهَا فَلْيَرْتَقِبُوا عِنْدَ ذَلِكَ رِيحًا حَمْرَاءَ وَزَلْزَلَةً وَخَسْفًا وَمَسْخًا وَقَذْفًا وَآيَاتٍ تَتَابَعُ كَنِظَامٍ بَالٍ قُطِعَ سِلْكُهُ فَتَتَابَعَ " . قَالَ أَبُو عِيسَى وَفِي الْبَابِ عَنْ عَلِيٍّ . وَهَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ لاَ نَعْرِفُهُ إِلاَّ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ . 

Dari Abu Hurairah berkata: Rasulullah saw bersabda: "Apabila harta rampasan bergilir antara golongan dengan golongan lain, amanat menjadi harta rampasan, zakat dianggap denda, dipelajari ilmu selain agama, seorang laki-laki taat kepada isterinya, mendurhakai ibunya, mendekati semua karibnya, menjauhi ayahnya, suara-suara diteriakkannya kuat-kuat di masjid, orang jahat di antara golongan orang yang memimpin mereka, pemimpin kaum adalah orang yang paling rendah akhlaknya. Seseorang ditakuti kerana takut kejahatannya, wanita penyanyi dan muzik bermaharajalela, arak-arak diminum, akhir umat ini mengutuk umat yang terdahulu, maka ketika itu hendaklah mereka menunggu angin merah, gempa bumi, kebinasaan bumi, berubah bentuknya, dilempar batu dari langit dan tanda-tanda lain yang berurutan, seperti kalung mutiara yang rapuh yang putus benangnya lalu berturutan lepasnya." Dalam bab ini terdapat hadis Ali, Hadis ini Gharib, kami tidak mengetahuinya selain dari hadis ini. (hadis riwayat tirmizi)

Thursday, December 2, 2010

WUDHU'

PENGERTIAN WUDHU’,
Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu.
Dari segi syara‘, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.

HUKUM WUDHU’

Hukum wudhu’ adalah seperti berikut:
1. Wajib atau fardhu, iaitu ketika hendak menunaikan ibadah seperti sembahyang, sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, ketika hendak melakukan tawaf Ka‘bah sama ada tawaf fardhu atau sunat, ketika hendak menyentuh Al-Qur’an dan sebagainya.


2. Sunat. Banyak perkara yang disunatkan berwudhu’, antaranya ialah untuk membaca atau mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca atau mendengar bacaan hadith, membawa kitab tafsir, kitab hadith atau kitab fiqh, melakukan azan, duduk di dalam masjid, melakukan tawaf di ‘Arafah, melakukan sa‘i, menziarahi makam Rasulullah, ketika hendak tidur, mengusung jenazah, malah disunatkan sentiasa berada dalam keadaan berwudhu’ dan memperbaharui wudhu’.


HIKMAH WUDHU’
Hikmah berwudhu’ ialah kerana anggota-anggota tersebut terdedah kepada kekotoran yang zahir seperti habuk, debu dan lain-lain serta banyak terdedah dengan dosa dan maksiat sama ada zahir atau batin.


FARDHU WUDHU’
1. Berniat ketika meratakan air ke seluruh muka. Niat wudu’ adalah seperti berikut:

Maksudnya:
“Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta‘ala”.

atau

Maksudnya:
“Sahaja aku berwudhu’ kerana Allah Ta‘ala”.



2. Membasuh muka. Had atau batasan muka yang wajib dibasuh adalah dari tempat tumbuh rambut di sebelah atas sehingga sampai kedua tulang dagu sebelah bawah dan lintangannya adalah dari anak telinga hingga ke anak telinga.
3. Membasuh dua tangan hingga dua siku. Bagi orang yang tiada siku disunatkan membasuh hujung anggota yang ada.
4. Menyapu sedikit kepala. Boleh disapu di ubun-ubun atau lain-lain bahagian rambut yang ada di dalam had atau kawasan kepala, tetapi yang utamanya adalah menyapu seluruh kepala.
5. Membasuh dua kaki hingga dua buku lali.
6. Tertib, iaitu melakukan perbuatan itu daripada yang pertama hingga akhir dengan teratur.


SYARAT-SYARAT WUDHU’
Terdapat dua syarat dalam wudhu’ iaitu syarat wajib dan syarat sah.


Syarat Wajib Wudhu’
1. Islam.
2. Baligh.
3. Berakal.
4. Mampu menggunakan air yang suci dan mencukupi.
5. Berlakunya hadath.
6. Suci daripada haidh dan nifas.
7. Kesempitan waktu. Wudhu’ tidak diwajibkan ketika waktu yang panjang tetapi diwajibkan ketika kesempitan waktu.


Syarat Sah Wudhu’
1. Meratakan air yang suci ke atas kulit, iaitu perbuatan meratakan air pada seluruh anggota yang dibasuh hingga tiada bahagian yang tertinggal.
2. Menghilangkan apa sahaja yang menghalang sampainya air ke anggota wudhu’.
3. Tidak terdapat perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu’ seperti darah haidh, nifas, air kencing dan seumpamanya.
4. Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berterusan dalam keadaan hadath seperti orang yang menghidap kencing tidak lawas.


Selain itu, terdapat beberapa syarat wudhu’ mengikut ulama’ mazhab Syafi‘i, iaitu:
1. Islam.
2. Mumayyiz.
3. Suci daripada haidh dan nifas.
4. Bersih daripada apa sahaja yang boleh menghalang sampainya air ke kulit.
5. Mengetahui kefardhuan wudhu’.
6. Tidak menganggap sesuatu yang fardhu di dalam wudhu’ sebagai sunat.
7. Menghilangkan najis ‘aini yang terdapat pada badan dan pakaian orang yang berwudhu’.
8. Tidak terdapat pada anggota wudhu’ bahan yang mengubahkan air.
9. Tidak mengaitkan (ta‘liq) niat berwudhu’ dengan sesuatu.
10. Mengalirkan air ke atas anggota wudhu’.
11. Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berhadath berterusan.
12. Muwalat, iaitu berturutan.


SUNAT WUDHU’
Perkara sunat ketika berwudhu’ adalah sangat banyak, di antaranya ialah:
1. Membaca “basmalah” iaitu lafaz
2. Membasuh dua tapak tangan hingga pergelangan tangan.
3. Berkumur-kumur.

4. Memasukkan air ke dalam hidung.
5. Menyapu seluruh kepala.
6. Menyapu dua telinga.
7. Menyelati janggut yang tebal.
8. Mendahulukan anggota yang kanan daripada yang kiri.
9. Menyelati celah-celah anak jari tangan dan kaki.
10. Melebihkan basuhan tangan dan kaki dari had yang wajib.
11. Mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali.
12. Berturut-turut iaitu tidak berselang dengan perceraian yang lama di antara satu anggota dengan anggota yang lain yang menyebabkan anggota itu kering.
13. Menggosok anggota wudhu’ supaya lebih bersih.
14. Bersugi dengan sesuatu yang kesat.
15. Menghadap qiblat.
16. Membaca doa selepas berwudhu’, iaitu:
Maksudnya:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa dan tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hambaNya dan RasulNya. Wahai Tuhanku, jadikan aku dari golongan orang-orang yang bertaubat dan jadikan aku dari golongan orang-orang yang bersih.”


PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHU’


1. Keluar sesuatu daripada lubang dubur atau qubul sama ada tahi, kencing, darah, nanah, cacing, angin, air mazi atau air wadi dan sebagainya melainkan air mani sendiri kerana apabila keluar mani diwajibkan mandi.


2. Tidur yang tidak tetap punggungnya, kecuali tidur dalam keadaan rapat kedua-dua papan punggung ke tempat duduk.


3. Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, sakit, pengsan atau pitam kerana apabila hilang akal, seseorang itu tidak mengetahui keadaan dirinya.


4. Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang halal nikah atau ajnabiyyah (bukan mahram) walaupun telah mati.


5. Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur manusia) dengan perut tapak tangan walaupun kemaluan sendiri.


6. Murtad iaitu keluar dari agama Islam.

RAHSIA JUMAAT

Hari Jumaat ialah hari kebesaran Islam bagi orang mukmin. Hari yang mulia ditentukan buat umat Muhammad SAW. Pada hari itu kepada sesiapa yang berdoa Allah akan memakbulkan doanya. Setiap muslim dikehendaki mempersiapkan diri untuk hari Jumaat mulai dari hari Khamis dengan membersihkan pakaian dan memperbanyakkan tasbih serta memohon keampunan kepada Allah SWT pada malam Jumaat lagi. Kerana pada masa itu nilai mulianya sama dengan masa yang dirahsiakan oleh tuhan pada hari Jumaat

Amalan Sunat Hari Jumaat

Pada subuh hari Jumaat, maka setiap muslim digalakkan mandi, kemudian memakai pakaian yang berwarna putih kerana pakaian putih lebih disukai Allah. Pakailah minyak wangi yang diharuskan dan berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur kumis, memotong kuku dan menggosok gigi.

Sesudah itu bersegeralah ke masjid.. Sabda Rasulullah SAW: " Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan seekor kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat  maka seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telor. Maka apabila naik imam ke atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah"

Kemudian apabila seseorang memasuki masjid, maka ambillah saf pertama dan apabila saf itu sudah penuh ambillah tempat yang kosong dan jangan melangkahi bahu orang lain serta jangan lalu di hadapan orang sedang sembahyang.

Solat Sunat dan Bacaan Surah Pilihan

Kerjakanlah sembahyang tahiyatul masjid dan yang paling afdhal hendaklah menunaikan sembahyang itu empat rakaat dengan membaca setiap rakaat sesudah Fatihah dengan bacaan Surah Al-Ikhlas sebanyak 50 kali. Dalam sebuah hadis dinayatakan: "Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang itu tidak akan mati sebelum ia melihat tempat di syurga"

Jangan tingggalkan sembahyang tahiyatul masjid sekalipun imam sedang berkhutbah. Di Dalam sunnah dinyatakan bahawa sangat baik jika membaca dalam keempat-empat rakaat sembahyang itu dengan surah Al-Anaam, Al-Kahfi atau Yasin. Jika tidak mampu maka bacalah Surah Yasin atau Surah ad-Dukhan atau Alif Lam As-Sajdah atau surah Al-Mulk tetapi jangan sampai tidak membaca surah-surah itu pada malam Jumaat, kerana di dalamnya terdapat beberapa kelebihan.

Manakala pada hari Jumaat pula hendaklah ia memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan selawat ke atas Nabi. Apabila Imam naik ke mimbar hentikanlah sembahyang sunat dan juga berkata-kata, jawablah seruan muazzin kemudian perhatikan khutbahnya.. Apabila selesai dari sembahyang Jumaat, maka bacalah Al-Fatihah 7 kali sebelum berkata-kata dan  surah Al-Ikhlas, Surah Ma'uzatain (Surah Al-Falak dan An-Nas) amalan sebanyak 7 kali (Lihat Kitab Sirussalikin Jil 1 - 2. m.s 82).

Hal itu dapat memelihara diri seseorang muslim dari satu Jumaat hingga Jumaat akan datang dan memeliharanya dari syaitan.

Kemudian beradalah di masjid hingga waktu Asar atau sampai Maghrib dan hendaklah memperelokkan dalam beribadah pada waktu yang baik iaitu sepanjang hari Jumaat.

MANAKAH MASJID YANG LEBIH UTAMA?

Kelebihan bumi (tapak) bagi masjid-masjid itu adalah sama sahaja antara satu sama lain melainkan masjid-masjid yang disebutkan dalam Hadith Turmudzi:

Sumber Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sembahyang di masjidku ini lebih baik daripada seribu sembahyang di masjid-masjid lain, kecuali Masjid A1-Haraam (dengan 100,000 pahala P).
Kata Abu Isa At-Turmudzi, Hadith ini bertaraf Hasan Iagi Shahiih. Sungguhnya sumber Abu Hurairah ini banyak mempunyai salurannya yang diterima daripada Nabi s.a.w. Dalam bab ini terdapat lagi sumber daripada Ali B.Abu Taalib, Maimuunah, Abi Saiid, Abi Jubair B. Mutim, Ibnu Umar, Ibnu Az-Zubair dan Abi Dzarr. Al-Imaam Al-Bukhaari dan Muslim masing-masing mengeluarkannya dalam keduä Kitab Shahiihnya.

Masalah: Manakah masjid yang lebih utama: Masjid Makkah atau Masjid Madinah?
Kata Imam Nawawi dalam Syarah Muslim, Jumhuur Al-Ulamaa (Kebanyakan Para Ulamaa) dan Mazhab Syafii berpendapat Masjid Al-Haraam lebih utama daripada Masjid Nabi. Manakala Imam Maliki mengatakan Masjid Nabi lebih lagi utama. Demikian juga pendapat suatu kumpulan ulamaa.

Masalah: Dalil Masjid Al-Haraam lebih utama daripada Masjid Nabi.
Ya saudaraku, dalilnya yang lebih kuat ialah Hadith sumber Abdullah B. Az-Zubair yang disampaikan kepada Ataa di mana dia dikeluarkan oleh Imaam Ahmad dan dishahiihkan oleh Ibnu Hibbaan, katanya Nabi s.a.w. pernah bersabda:

Dan bersembahyang satu sembahyang di dalam Masjid Al-Haraam adalah lebih utama daripada seratus sembahyang dalam masjid (saya) ini (Masjid Nabi).

Juga berdasarkan sebuah Hadith:

Sembahyang di Masjid Al-Haraam itu akan memperoleh pahala seratus ribu sembahyang (di masjid lain); manakala bersembahyang di masjidku ini akan memperoleh pahala seribu sembahyang; dan sembahyang di Bait Al-Maqdis akan memperoleh pahala lima ratus sembahyang.
[Ruju Qaslallaani]

Masalah: Bumi manakah yang lebih utama?
Al-Qaadhi Iyaadh berkata: Telah  di ijma (sependapat ramai) bahawa tanah perkuburan Nabi s.a.w. di Madinah adalah seutama-utama bumi; dan sungguhnya Tanah Suci Makkah dan Madinah adalah juga seutama-utama permukaan bumi. Manakala Ibnu Uqail Al-Hanbali menegaskan tanah perkuburan Nabi itu lebih utama daripada Arasy. Imam Syafii mengatakan Tanah Makkah lebih utama daripada segala bumi; manakala Imam Malik mengatakan Tanah Madinah yang lebih utama.

Masalah: Dalil bumi Makkah lebih utama.
Ya saudaraku, kata Imam Nawawi, Mazhab Syafii mengatakan pendapat ini berdasarkan Hadith sumber Abdullah  B. Adiy B.Al-Hamraa ra. bahawa dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda semasa beliau berdiri di atas kenderaan beliau di Makkah:

Demi Allah, sungguhnya engkau (wahai bumi Makkah) adalah sebaik-baik bumi Allah kepada Allah; seandainya bukan aku dikeluarkan daripada perut engkau ini, nescaya tiadalah aku keluar.
[H.R.At-Turmudzi (Hasan lagi Shahiih ) dan An­Nasaa iy]

Juga berdasarkan Hadith sumber Abdullah B. Az­Zubair ra  bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

Pahala sembahyang dalam masjidku ini (di Madinah) adalah lebih utama daripada seribu sembahyang di masjid-masjid lain selain Masjid Al-Haraam; manakala pahala sembahyang di Masjid Al-Haraam adalah pula lebih utama daripada seratus sembahyang di masjidku.
[H.R.Ahmad dan Al-Baihaqi: Hasan]

Masalah: Sembahyang apakah yang dikatakan lebih utama bersembahyang di Masjid Al-Haraam?
Kata Imam Nawawi, dalam Mazhab Syafii sembahyang itu umum: meliputi yang Fardhu atau Sunat. Demikian juga dalam Mazhab Maliki.

Masalah: Maksud sembahyang di Masjid Nabi lebih utama daripada seribu sembahyang di masjid-masjid lain:
Kata Imam Nawawi, para ulamaa menjelaskan bahawa dia dimaksudkan dengan pahala atau ganjaran bersembahyang padanya melebihi seribu pahala sembahyang di tempat-tempat lain (1 x 1000).

Masalah: Bolehkah pahala bersembahyang di Masjid Nabi melepaskan sembahyang Qadhaa yang terluput?
Kata Qastallaani 1ttifaaq (Sepakat) para ulamaa bahawa sekalipun pahala bersembahyang di Masjid Nabi itu besar, maka dia tidaklah boleh melepaskan qaadhaa sembahyang yang terluput. Sembahyang itu suatu kewajipan yang perlu ditunai atau dibayar; sedangkan hutang Allah adalah amat wajar dan berhak dibayar (dalam kadar segera sebelum tiba ajal P).

Masalah: Adakah bahagian tambahan di Masjid Nabi s.a.w. termasuk Masjid yang utama?
Abdullah B. Umar ra  mengatakan dia termasuk juga ke dalam Masjid Nabi s.a.w. sekalipun dia diperluaskan seluas-luasnya (seperti yang ada di hari ini. Akan tetapi sebahagian Ilmuwan menganggap tidak termasuk ke dalam Masjid Nabi. (Gunakanlah konsep bahawa rahmat Allah itu adalah Maha Luas; dan dia berkembang selari dengan perkembangan masa P).

Masalah: Bolehkah keutamaan scmbahyang pada bahagian tambahan Masjid Nabi?
Kata Imam Nawawi dalam Syarah Muslim: Keutamaan atau fadhilah sembahyang yang berganda lebih daripada masjid-masjid lain itu cuma diperoleh dalam bahagian masjid yang ada di Zaman Hayat Nabi s.a.w.; kerana itu berhati-hatilah (rebutlah peluangnya).

(Masalah yang sama juga mengenai Masjid Al-Haraam kini yang telah diperluaskan,di mana terdapat banyak pendapat: ada yang mengiranya termasuk dalam Masjid Al-Haraam (serta pahalanya) dan ada pula yang mengiranya tidak termasuk; sedang rahmat Allah itu Maha Luas sebaik-baiknya kita serahkan kepada Allah serta memohon pergandaan pahala daripadaNya P).

Masalah: Manakah masjid yang utama sembahyang: masjid yang dekat atau jauh?
Ya saudaraku, masjid-masjid selain tiga buah masjid yang telah diterangkan keutamaannya itu, adalah bersamaan antara satu lain, sama ada besar atau kecilnya; kecuali jika imaamnya baik (shaalih) dan wara (amat bertaqwa kepada Allah). Seseorang perlu memakmurkan masjid yang lebih dekat kepadanya sekalipun dia memperoleh banyak pahala kerana banyak langkahannya bila masjid itu terletak jauh dan rumahnya. (Dalam suatu peristiwa, Nabi s.a.w. tidak membenarkan seorang Sahabat berpindah ke tempat yang dekat dengan masjid, bila dia mampu untuk pergi ke masjid dan tempat yang agak jauh; dan tiada pula masjid yang terdekat baginya-P).

Masalah: Kunjungilah Masjid AI-Haraam.
Ya saudaraku, syara menggalakkan mengunjungi Masjid Al-Haraam kerana bersembahyang atau kerana menuntut ilmu dan sebagainya berdasarkan Hadith Turmudzi:

Sumber Abu Saiid Al-Khudriy berkata, sabda Nabi: Tiadalah diikat kenderaan (dibuat perjalanan jauh) kecuali kerana mengunjungi tiga buah masjid, iaitu perjalanan ke Masjid Al-Haraam, ke masjidku ini (di Madinah,) dan ke Masjid Al-Aqsha (di Jerusalem).
Kata Abu Isa At-Turmudzi: Hadith ini bertaraf Hasan lagi Ghariib. Imaam Al­Bukhaari dan Muslim turut mengeluarkannya dalam Shahiih keduanya.


Masalah: Mengapa disuruh mengunjungi masjid yang tiga?
Ya saudaraku, Syara menyuruh mengunjungi tiga buah masjid iaitu Masjid Al-Haraam, Masjid Nabi s.a.w. dan Masjid Al-Aqsha,di mana buminya mulia (Tanah Suci) dan mempunyai kelebihan tertentu:

(1)        Masjid Al-Haraam: di dalamnya terdapat Kabah atau Baitullaah : rumah lambang Kebesaran Allah di mana asasnya telah dibinakan oleh para Malaikat sebelum Adam, Adam dan Nabi Ibrahim serta anaknya; terdapat juga Maqaam Ibrahim dan telaga Zamzam dan lain-lain kesan peribadatan para Nabi dan orang-orang Shaalih.

(2)        Masjid An-Nabawiy: masjid yang dibinakan Nabi s.a.w. serta para Sahabat sebagai pusat penyibaran wahyu (ilmu), pusat penyibaran Islam dan pusat pentadbiran Negara Islam Pertama; terdapat Raudhah, minbar serta beberapa kesan kehidupan Nabi dan para Sahabat;dan di tepinya terdapat kubur Nabi s.a.w. serta Abu Bakr Ash-Shiddiiq dan Umar B .Al-Khattaab.

(3)        Masjid Al-Aqsha. masjid di mana padanya terdapat Bait Al-Maqdis yang pernah menjadi kiblat bersama penganut Agama Samaawi dengan penganut Islam di awal permulaan Islam; dan di sekitarnya terdapat beberapa kesan sejarah para Nabi. Dia bukanlah Masjid Qubbah Ash-Shaghrah yang terkenal (dibina oleh Khalifah Abd Malik B.Marwan) dengan nama The Dome Of The Rock. Masjid inilah merupakan salah satu tempat persinggahan Nabi s.a.w. dan pertemuan beliau dengan para Nabi serta sembahyang jemaah antara para Nabi semasa dalam perjalanan Israa dan Mi raaj.

Adalah digalakkan mengunjungi dahulu Masjid Al-­Haraam; kemudian baru ke Masjid An-Nabawiy dan seterusnya ke Masjid Al-Aqsha; dan tidaklah digalakkan keluar bermusafir kerana semata-mata menziarahi perkuburan para Nabi. Sungguhnya dengan mengunjungi dan beribadat di masjid-masjid ini, seseorang akan memperoleh pahala lumayan di samping dapat memperbaharu iman dan menambahkan ilmu dan pengalaman. Tidaklah wajar seseorang Islam mendahulukan kunjungan ke tempat-tempat terkenal dan bersejarah di luar Dunia Islam dengan mengenepikan Tiga Masjid Suci di atas.

Masalah: Hukum bernadzar mengunjungi Masjid AI-Haraam atau Masjid An-Nabawiy:
Kata Qastallaani. Lazimlah bagi seseorang yang bernadzar demikian memperkotakan nadzarnya. Demikianlah pegangan Imam Maliki, Imam Syafii, Imam Ahmad b. Hanbal dan Abu Ishaq A/-Maruuzi. Imam Syafii mewajib menunaikannya bila bernadzar untuk mengunjungi Masjid Al-Haraam; sebab ada hubungannya dengan kefardhuan haji; berbeza dengan dua lagi masjid. Manakala Imam Abu Hanifah tidak mewajib menunaikannya.

Masalah: Hukum bernadzar mengunjungi selain tiga Masjid Suci:
Kata Imam Nawawi: Tiada perselisihan ulamaa tentang tidak lazim atau tidak dituntut rnengunjungi selain tiga Masjid Suci, bila bernadzar untuk pergi bersembahyang atau sebagainya sebab tiada suruhan dalam Syara dan tiada pula kelebihan bagi masjid-masjid selainnya; memadailah bersembahyang di masjid-masjid lain (dalam negeri).

Masalah: Hukum mengunjungi kubur orang-orang shaalih dan ke tempat-tempat mulia.
Kata Imam Nawawi dalam Syarah Muslim: Para ulamaa berselisih pendapat mengenainya: Al-Juwaini dan Al-Qaadhi Iyaadh mengharamkan. Pegangan Mazhab Syafii mengambil pendapat Imaam A1-Haramain dan para pentahqiq yang mengatakan harus (akan tetapi janganlah pula melakukan bidah padanya seperti bersembahyang dan bertawaf di tempat-tempat ini serta berdoa memohon pada ahli kubur , seperti apa yang berlaku di Kubur Kepala Sayyidina Husain di Masjid Al-Husain di Mesir dan lain-lain tempat

TIDUR DALAM MASJID

Dalam Mazhab Syafi harus tidur dalam masjid di mana Imam As-SyafiI dalam Al-Umm mendasarkan kepada hadith Turmudzi:

Sumber Abdullah bin Umar b. Al-Khattab ra berkata: Adalah kami tidur di dalam masjid di zaman hayat Nabi SAW, sedang kami orang muda-muda(belum berkahwin).
Kata Abu Isa At-Turmudzi, hadith ini bertaraf hasan lagi shahih.

Masalah: Hukum tidur dalam masjid.
Kata Abu Isa At-Turmudzi, sebahagian ilmuwan mengharuskan tidur dalam masjid manakala sebahagian lagi sebaliknya kerana mengikutkan Ibnu Abbas ra yang melarang tidur dalam masjid, baik di kala siang, mahupun di kala malam.

LARANGAN MELINTASI ORANG YANG SEDANG SEMBAHYANG.

Ketahuilah kiranya saudaraku, perbuatan ini terlarang bagaimana dalam Hadith Turmudzi

Sumber Busr B. Saiid bahawa Zaid B. Khaalid Al-Juhaniy pernah mengutus kepada Abu Juhaim Abdullah Al-Anshaari mengenai sikap yang didengamya daripada Rasulullah s.a.w. terhadap orang yang melintas di hadapan orang yang sedang sembahyang. Maka Abu Juhaim berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Seandainya orang yang melintas di hadapan orang yang sembahyang itu mengetahui padah yang akan menimpanya, tentulah lebih baik baginya dia berhenti 40.. .(hari? Bulan? Tahun?) daripada dia melintasinya.
Kata Abu Isa At-Turmudzi: Sumber-sumber lain ialah daripada Abu Saiid, Abu Hurairah, Ibnu Umar dan Abdullah B. Amr.  Imam Bukhari dan Muslim turut mengeluarkannya dalam Shahiih keduanya.

Sungguhnya diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda (bermaksud): Seandainya seseorang kamu berdiri seratus tahun adalah lebih baik baginya daripada dia melintas di hadapan saudaranya yang sedang sembahyang.

Masalah: Hukum melintas di hadapan orang yang sedang sembahyang.
Ya saudaraku, Abu Isa At-Turmudzi berkata: Para ulamaa mengharamkan seseorang melintas di hadapan seseorang yang sedang bersembahyang yang meletakkan sutrah, sekalipun sembahyang orang itu tidak batal sebabnya.

Masalah: Hukum berdiri hampir dengan sutrah.
Kata Imam An-Nawawi: Dalam Mazhab Syafii jarak seseorang dengan sutrah itu janganlah jauh melebihi tiga hasta; dan dalam jarak inilah seseorang dilarang melintas di hadapannya.

Masalah: Hukum melintas di hadapan orang yang bersembahyang tanpa sutrah.
Kata Imam An-Nawawi dalam Syarah Muslim: Adalah makruh melintas dalam keadaan demikian; demikian juga jika ada sutrah, tetapi letaknya jauh.

Masalah: Hukum melintas orang yang sedang bersembahyang kerana hendak memenuhkan shaf pertama.
Kata Imam An-Nawawi: Seandainya ada kekosongan di shaf pertama (yang kerap menjadi rebutan orang ramai), maka bolehlah seseorang melintas orang yang sedang bersembahyang di shaf kedua (atau lainnya P) dan masuk berdiri di tempat tersebut disebabkan kealpaan orang-orang di belakang tidak memenuhkan tempat yang perlu dipenuhkan.

Masalah: Bagaimana kedudukan berdiri di hadapan sutrah?
Kata Imam An-Nawawi: Sunat sutrah itu berada di sebelah kiri atau kanan; jangan membetuli (di mana Nabi didapati mengadap ke hujung pelana unta ; sedang pada umumnya dikehendaki mengadap kepada sutrah.)

HUKUM MENINGGALKAN SEMBAHYANG WALAUPUN DIQADHA'KAN

Fatwa al Imam Syaraf anNawawi rm (mewakili fiqh Syafi'iy) dalam al_Majmu' Juz 3): sesiapa yg meninggalkan solat tanpa disengajakan (spt tertidur, pingsan atau terlupa), maka ada kaffarat ke atasnya dgn cara mengganti secepat mungkin (tiada dosa atasnya). Tetapi yg sengaja meninggalkan solat dengan sebab cuai dan malas, maka hatinya telah berdosa besar dan tidak ada kaffarat atasnya (tidak boleh ditebus lagi). Begitu juga mereka yg meninggalkan solat Juma'at tanpa uzur, jika ia mengganti dgn solat Zuhur sekalipun, tidak dapat menggugurkan kewajipan solat Juma'at atasnya. Walaupun begitu orang yg meninggalkan solat fardhu dgn sengaja itu diwajibkan qadha', yg meninggalkan solat Juma'at dgns sengaja wajib mengganti dgn solat Zuhr dan selepasa itu ia hendaklah disusuli dgn taubat dan istighfar. Inilah pendapat jumhur. Pentahqeeq spt Imam dan Syaikhul Islam Ibn Taymiyah rm, menolak pendapat jumhur dan menafikan hukum solat qadha' bagi yg sengaja meninggalkan solat. Ia tidak sah dilakukan kerana tidak disyari'atkan dan batal. Hanya taubat, istighfar dan solat sunat yg boleh dilakukan. Ini juga pendapat Daud Zahiri (Fiqh Sunnah)

Sifat-sifat Mazmumah

1. Syarrut ta‘am (banyak makan)
  • Iaitu terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada lali daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.
2. Syarrul kalam (banyak bercakap)
  • Iaitu banyak berkata-kata atau banyak bercakap.
  • Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah itu membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.
3. Ghadhab (pemarah)
  • Ia bererti sifat pemarah, iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan atau menegah daripada kejahatan.
  • Sifat pemarah adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi hak-haknya.
  • Sifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu sebab yang benar.
4. Hasad (dengki)
  • Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
  • Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
  • Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.
5. Bakhil (kedekut)
  • Iaitu menahan haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agama.
  • Nikmat yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wata‘ala.
  • Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.
6. Hubbul jah (kasihkan kemegahan)
  • Iaitu kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat.
  • Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah.
  • Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.
7. Hubbud dunya (kasihkan dunia)
  • Ia bermaksud kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat.
  • Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat.
  • Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah.
  • Namun begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah bukanlah suatu kesalahan.
8. Takabbur (sombong)
  • Iaitu membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak.
  • Orang yang takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat.
  • Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.
9. ‘Ujub (bangga diri)
  • Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.
  • Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
  • Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.
10. Riya’ (menunjuk-nunjuk)
  • Iaitu memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain.
  • Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal untuk beribadah kepada Allah semata-mata.
  • Orang yang riya’ adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian daripada manusia.

Zikrulmawt

  • Iaitu sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersedia dengan amalan-amalan yang baik.
  • Oleh kerana seseorang itu akan mati, maka hendaklah ia bersedia dengan amalan-amalan yang baik dan hendaklah ia memenuhkan tiap-tiap saat daripada umurnya itu dengan perkara yang berfaedah bagi akhiratnya kerana tiap-tiap perkara yang telah lalu tidak akan kembali lagi.

Mahabbah

  • Iaitu kasihkan Allah subhanahu wata‘ala dengan mengingatiNya pada setiap masa dan keadaan.
  • Kasihkan Allah ialah dengan segera melakukan segala perintahNya dan berusaha mendampingkan diri kepada Allah dengan ibadah-ibadah sunat dan bersungguh-sungguh menghindari maksiat serta perkara-perkara yang membawa kemarahanNya.

Tawakkal

  • Iaitu menetapkan hati dan berserah kepada Allah pada segala perkara yang berlaku serta jazam (putus) pada i`tiqad bahawa Allah subhanahu wata‘ala yang mengadakan dan memerintahkan tiap-tiap sesuatu.

  • Berserah kepada Allah pada segala perkara itu hendaklah disertakan dengan ikhtiar dan usaha kerana Allah menjadikan sesuatu mengikut sebab-sebabnya, seperti dijadikan pandai kerana belajar, dijadikan kaya kerana rajin berusaha atau berjimat cermat dan sebagainya.
  • Syukur

  • Iaitu mengaku dan memuji Allah atas nikmat yang diberi dan menggunakan segala nikmat itu untuk berbuat taat kepada Allah subhanahu wata‘ala.

  • Tiap-tiap nikmat yang diberi oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada makhlukNya adalah dengan limpah kurniaNya semata-mata, seperti nikmat kesihatan, kekayaan, kepandaian dan sebagainya. Oleh yang demikian, bersyukur dan berterima kasih atas nikmat-nikmat tersebut merupakan suatu kewajipan kepada Allah subhanahu wata‘ala.

  • Setiap nikmat juga hendaklah disyukuri kerana orang yang tidak berterima kasih adalah orang yang tidak mengenang budi. Oleh itu, hendaklah digunakan nikmat-nikmat Allah itu untuk menambahkan ibadah kepada Allah dan sangatlah keji dan hina menggunakan nikmat-nikmat itu untuk menderhakai Tuhan yang memberi nikmat.
  • Syukur

  • Iaitu mengaku dan memuji Allah atas nikmat yang diberi dan menggunakan segala nikmat itu untuk berbuat taat kepada Allah subhanahu wata‘ala.

  • Tiap-tiap nikmat yang diberi oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada makhlukNya adalah dengan limpah kurniaNya semata-mata, seperti nikmat kesihatan, kekayaan, kepandaian dan sebagainya. Oleh yang demikian, bersyukur dan berterima kasih atas nikmat-nikmat tersebut merupakan suatu kewajipan kepada Allah subhanahu wata‘ala.

  • Setiap nikmat juga hendaklah disyukuri kerana orang yang tidak berterima kasih adalah orang yang tidak mengenang budi. Oleh itu, hendaklah digunakan nikmat-nikmat Allah itu untuk menambahkan ibadah kepada Allah dan sangatlah keji dan hina menggunakan nikmat-nikmat itu untuk menderhakai Tuhan yang memberi nikmat.
  • Sabar

    • Iaitu menahan diri daripada keluh kesah pada sesuatu yang tidak disukai.
    • Sifat sabar perlu ketika menghadapi tiga perkara berikut:
    1. Menahan diri daripada keluh kesah dan menahan diri daripada mengadu kepada yang lain daripada Allah subhanahu wata‘ala ketika berlaku sesuatu bala atau bencana.

    2. Menahan diri dalam mengerjakan segala perintah Allah.

    3. Menahan diri dalam meninggalkan segala larangan Allah.
    • Sifat sabar itu dipuji pada syara‘ kerana seseorang yang bersifat sabar menunjukkan ia beriman dengan sempurna kepada Allah, dan menunjukkan ia taat dan menjunjung segala perintah agama.
    • Orang yang beriman kepada Allah mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas drinya adalah kehendak Allah yang tidak dapat dielak lagi. Begitulah juga orang yang taat, tidak akan merasa susah dalam mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.