Sunday, May 1, 2011

Bisikan Nafsu Dan Syaitan

Syaitan dan nafsu tipuannya sangat halus,
Selalu sahaja membisik-bisikkan di dalam hati, menyedapkan hati,
Di antara bisikan-bisikannya biasanya begini sungguh menghiburkan jiwa kita:
Engkau masih muda! Buatlah apa sahaja, tidak mengapa,
Kalau berdosa pun masa tua nanti bertaubatlah, taubat Tuhan terima,
Jika engkau buat dosa Tuhan itu bukankah Maha Pengasih bertaubatlah, habislah dosa,
Masa muda hanya sekali, di waktu muda enjoy-enjoylah dahulu,
setelah tua beribadahlah banyak-banyak,
Adakalanya dia bisikkan kita begini: Di dalam membuat dosa buatlah baik,
Satu kejahatan baru satu dosa, satu kebaikan diberi sepuluh kebaikan,
Kalau buat sepuluh kejahatan, satu kebaikan sudah sama,
Betapa pula kalau lebih dari satu kebaikan sudah mengatasinya,
Tidak kurang juga bisikannya:
Buat jahat tidak mengapa, yang penting hati baik,
Tuhan bukankah pandang hati, tidak pandang lahir,
Ada juga apabila lahirnya tidak membuat dosa-dosa besar, sudah tidak terasa berdosa lagi,
Tidak terfikir hati juga membuat dosa,
Dosa batin payah dikesan,
Maka hati pun terasa senang, bahawa dia merasakan dia tidak membuat dosa,
Padahal sombong, riya', ujub, ingin dipuji, tidak suka dikeji adalah dosa yang tersembunyi,
Ia berlaku begitu sahaja tanpa disedari,
Kalaupun ada terasa kerana ia bukan bersifat perbuatan, tidak terasa itu adalah dosa,
Dia tertipu di dalam sangkaannya,
Dia lupa hati juga turut berdosa,
Bahkan sebenarnya dosa batin lebih banyak daripada dosa lahir,
Biasanya dengan dosa batin jarang orang bertaubat, hingga dibawa mati.

Wal'iya zubillah

1 Doa dari 3 Doa Rasulullah.

`Amir bin Said dari bapanya berkata bahwa: "Satu hari Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam sampai di masjid Bani Mu`awiyah lalu beliau masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam.

Kemudian Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah subhanahu wa ta`ala:

Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud: "Aku telah bermohon kepada Allah subhanahu wa ta`ala tiga perkara, dalam tiga perkara itu cuma Dia memperkenankan dua perkara saja dan satu lagi ditolak.

1. Aku telah bermohon kepada Allah subhanahu wa ta`ala supaya Dia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan. Permohonanku ini diperkenankan oleh Allah subhanahu wa ta`ala.

2. Aku telah bermohon kepada Allah subhanahu wa ta`ala supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh `alaihi salaam). Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah subhanahu wa ta`ala. 

3. Aku telah bermohon kepada Allah subhanahu wa ta`ala supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam). Tetapi permohonanku telah tidak diperkenankan (telah ditolak).

Apa yang kita lihat hari ini ialah negara-negara Islam sendiri bergaduh antara satu sama lain, hari ini orang Islam bergaduh sesama sendiri, orang kafir menepuk tangan dari belakang, apakah ini cantik kita melihatnya?