Monday, December 6, 2010

5 Hak Muslim Terhadap Saudaranya

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ada lima hak bagi seorang muslim terhadap saudaranya sesama muslim iaitu: Menjawab salam, mendoakan kepada orang yang bersin, menyahut undangan, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah.



1) Menjawab salam. An-Nisaa [86] Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu






Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Muslim tentang salam. “Kamu tidak akan masuk syurga, sehingga kamu beriman. Kamu tidak akan beriman, sehingga kamu saling menyayangi. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu semua, sesuatu yang dengan melakukannya, maka akan wujud rasa sayang-menyayangi? Tebarkan salam”










2) Mendoakan kepada orang yang bersin. Selepas seseorang bersin hendaklah dia mengucapkan “alhamdulillah (segala puji bagi Allah) ” dan orang yang mendengarnya hendaklah mengucapkan “yarhamukallah”(semoga Allah merahmati kamu) sebagai mendoakan kesejahteraan orang yang bersin itu, serta dibalas pula oleh orang yang bersin dengan mengucapkan “Yahdiinaa wayahdiikumullah”.(Semoga allah rahmati kita semua dan diberi hidayah olehnya)










3) Menyahut undangan, iaitu menghadiri undangan misalnya majlis perkahwinan adalah sunat (bukannya wajib) dengan syarat majlis itu tidak mengandungi perkara haram seperti pergaulan bebas lelaki-perempuan dan tidak diselingi muzik.






Mengikut para ulama terdahulu, misalnya Abdullah Bin Masud adalah berdosa sekiranya seseorang itu makan sambil diringi muzik atau di tempat yang didendangkan muzik.






4) Menziarahi orang sakit. Sunnah dalam menziarahi orang yang sakit ialah tidak terlalu lama melawatnya agar pesakit itu tidak terbeban melayan pelawatnya. Berilah harapan agar dia cepat sembuh, misalnya dengan berdoa “mudah-mudahan Allah cepat sembuhkan kamu, InsyaAllah, jangan bimbanglah”






5) Mengiringi jenazah. Dalam mazhab Hanafi, jenazah dihantar terlebih dahulu sebelum orang ramai pergi ke kubur. Dalam mazhab Syafie pula orang ramai pergi dahulu ke kubur sebelum jenazah mengikuti dari belakang. Kedua-duanya adalah sunnah Nabi dari hadith-hadith

4 Jenis Manusia Tidak Masuk Syurga (Secara Terus)

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Empat (macam manusia) tidak Allah s.w.t. masukkan mereka ke syurga dan tidak akan merasai kenikmatannya, peminum arak, pemakan riba, menzalimi (memakan) harta anak-anak yatim dengan tiada hak dan derhaka pada ibu bapanya” (Riwayat Al-Hakim)



4 jenis manusia ini tidak masuk syurga melainkan mereka bertaubat, jika tidak mereka akan dimasukkan ke dalam neraka untuk dibersihkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan kedalam syurga (orang yang mempunyai iman tetap masuk syurga).






1) Peminum arak


Dari Malik Al-Asy’ari berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ Suatu masa nanti, orang-orang dari umatku akan minum arak yang mereka beri nama lain……” (Hadith riwayat Ibnu Majjah). Minum arak menyebabkan pintu langit ditutup bagi peminumnya, kerana semua amal baiknya dan doa-doanya tidak diterima selama 40 hari (amalannya tergantung dan tidak diberi pahala). Saintis juga mengatakan bahawa kesan dari arak dalam tubuh manusia hanya hilang setelah 40 hari.






Dalam mazhab Syafie, tiap yang memabukkan adalah haram. Manakala dalam mazhab Hanafi, arak atau khamar yang haram adalah arak yang berasal dari anggur atau tamar, misalnya wain (wine) dan jika terkena pakaian hendaklah dibersihkan kerana ia adalah najis. Mazhab Hanafi tidak mengharamkan arak yang diperbuat daripada selain tamar, misalnya “stout” yang diperbuat daripada barli, tetapi sekiranya memabukkan ia menjadi haram. Apapun jauhi minuman yang was-was, Rasulullah s.a.w kata jauhi yang mendatangkan kesangsian kepada yang tidak ada syak.










2) Pemakan riba






Allah istihar perang terhadap orang yang makan riba dengan sengaja:






Al-Baqarah [279]Maka jika kamu tidak melakukan (perintah tinggalkan riba itu) maka ketahuilah Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. Kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.






Riba itu melibatkan dosa dengan Allah dan makhluk, terutama orang miskin kerana menganiayai mereka. Mengambil kesempatan ke atas orang miskin hukumnya haram. Bahkan dosa riba lebih besar dari dosa meniduri ibu dan 36 kali zina bagi setiap dirham riba.






Nabi SAW bersabda : Ertinya : ” Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.” (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)






Nabi SAW bersabda :Ertinya : “Satu dirham Riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali” (Musnad Ahmad)






Bukan saja pemakan, bahkan mereka yang terlibat dengannya, Nabi SAW telah bersabda : “Dilaknati pemakan riba, penulis riba dan yang menjadi saksinya” (Riwayat al-Bukhari dan Ibn Majah)






Dalam mazhab Hanafi dibolehkan mengambil riba daripada golongan kafir di negeri kafir, berdasarkan sebuah hadith “tidak dikira riba yang diambil daripada orang kafir di negeri kafir” (suka sama suka dan secara sukarela di antara mereka). Mazhab-mazhab lain tetap mengharamkannya.










3) Menzalimi (memakan) harta anak-anak yatim dengan tiada hak






An-Nisaa [6] Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah dia menahan diri (dari memakannya) dan sesiapa yang miskin maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).






An-Nisaa [10] Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api Neraka yang menyala-nyala.






Sebaliknya jika mereka menguruskannya secara baik:






Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak.” Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan).” (Bukhari)






4) Penderhaka pada ibu bapanya






Dari Mu’awiyah bin Jahimah yang datang kepada Nabi S.A.W. dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi perperang, aku datang untuk meminta pandangan-mu. Nabi S.A.W. bertanya: Apakah kamu mempunyai ibu? Jawabnya: “Ya”. Sabda Nabi S.A.W.: Peliharalah (berbuat baiklah kepada) dia, sesungguhnya syurga berada di bawah dua kakinya.






Luqman [14] Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya)..






Dalam sebuah riwayat diceritakan ketika Nabi S.A.W. sedang berehat di atas pelamin di syurga, datang Malaikat Jibril memberitahu “umatmu masih ada dalam neraka” Lalu Baginda terperanjat dan terus menaiki ke buraq untuk ke neraka dan bertanya “Apakah kesalahannya?” “Dia seorang anak yang derhaka”. “Kalau begitu aku membuat syafaat ke atasnya”. Namun syafaat itu dinafikan Allah kerana ini adalah kes di antara anak dan ibubapanya. Kemudian Baginda menaiki kuda yang bersayap delima merah untuk ke syurga bagi menemui ibubapanya untuk mengampunkan dosanya. Namun ibubapanya itu enggan mengampunkannya kerana kesalahannya di dunia dahulu. Lalu Baginda berdoa meminta agar Allah membuka hijab dan menunjukkan seksaan ke atas anaknya itu kepada ibunya. Apabila melihat anaknya yang terseksa itu, kembalilah naluri keibuaannya dan dimaafkan anaknya itu.






Jagalah hati kedua ibubapa dan bantulah mereka khasnya semasa mereka amat memerlukan pertolongan anaknya.

Bila Neraka Melihat Mangsanya

Furqan [12] Apabila Neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang menggelegak dan mengeluh.







Allah juga memperlihatkan neraka kepada mangsanya:






Al-Kahfi [100] Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata.






An-Naziat [36] Dan neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya;






As-Shuara [91] Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat






Neraka Bertempik










Di Padang Mahsyar, ketika neraka bertempik sebanyak tiga kali, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa memohon agar Allah menyelamatkan mereka. Masing-masing berkata “Selamatkan aku, Selamatkan aku. Pada hari ini aku tidak meminta selain darinya“. (Nabi Musa tidak memohon agar saudaranya Nabi Harun diselamatkan. Nabi Isa juga tidak memohon agar ibunya Maryam diselamatakan.) Sedangkan Rasulullah saw memohon “Umatku, umatku, Ya Tuhanku selamatkan mereka dan bebaskan mereka”






Di Padang Mahsyar orang yang mula-mula berusaha ialah nabi Ibrahim as. Baginda bergantung dengan asap Arasy yang naik lalu menyeru: “TuhanKu dan Penguasaku! Aku adalah khalilMu Ibrahim. Kasihanilah kedudukanku pada hari ini! Aku tidak meminta kejayaan Ishak dan anakku pada hari ini.”Allah Taala berfirman: “Wahai Ibrahim! Adakah kamu melihat Kekasih mengazab kekasihnya.”






Nabi Musa as datang. Baginda bergantung dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: “KalamMu. Aku tidak meminta kepadaMu melainkan diriku. Aku tidak meminta untuk saudaraku Harun. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!”






Nabi Isa as datang di dalam keadaan menangis. Baginda bergantung dengan Arsy lalu menyeru: “Tuhanku… Penguasaku.. Penciptaku! Isa roh Allah. Aku tidak meminta melainkan diriku. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!”






Neraka Makhluk Allah










Neraka juga mempunyai suara dan ia adalah makhluk Allah. Ia juga mempunyai leher, mata, lidah dan telinga.






Dari Abu Hurairah, r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan keluar satu batang leher dari Neraka pada hari qiamat dengan dua mata yang melihat dan dua telinga yang mendengar serta lidah yang bercakap…






Neraka sendiri mengeluh kepanasan, lalu ia meminta izin kepada Allah untuk menghembuskan satu nafasnya ke dunia. Satu nafas yang dihembuskan ini diambil oleh matahari dan cukup untuk kegunaan selama setahun.










Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Neraka mengadu kepada Tuhannya. Kata neraka: Ya Tuhanku, sebahagianku memakan sebahagian yang lain. Allah lalu mengizinkan neraka untuk menghembuskan dua nafas, nafas pada musim dingin dan nafas pada musim panas. Nafas yang kedua adalah hawa paling panas yang biasa yang engkau rasakan. Nafas yang pertama adalah hawa paling dingin yang engkau rasakan.






Kepanasan api neraka itu adalah 69 kali kepanasan api di dunia. Para sahabat pernah mengatakan bahawa cukuplah kalau api neraka itu sepanas api dunia. Jawab Rasulullah “Kalau api neraka itu sepanas api dunia, ahli neraka masih boleh tidur di dalamnya“..






Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:“Kepanasan api kamu yang digunakan oleh anak Adam di dunia ini hanyalah sepertujuh puluh kepanasan api Neraka Jahanam.” Sahabat-sahabat Baginda berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya sekadar itu pun cukuplah untuk menyeksa. ”Baginda s.a.w., bersabda: “Meskipun demikian, kepanasan Neraka jahanam ditambah melebihi kepanasan api dunia sebanyak enam puluh sembilan bahagian yang tiap-tiap satunya seperti kepanasan api dunia ini. “










Nereka itu umpama lubang perigi yang panas, ada 70 gunung berapi dan asapnya pula berwarna hitam. Neraka juga adalah satu tempat yang gelap walaupun ia adalah daripada api.






Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Api neraka dinyalakan selama seribu tahun sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian dilanjutkan seribu tahun lagi sehingga hitam gelap, bagaikan malam yang kelam.”










Neraka diikat dengan 70 ribu rantai, setiap rantai ditarik oleh 70 ribu malaikat.






Dari Abdullah bin Mas’ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:“Di bawa Neraka jahanam pada hari itu dengan tujuh puluh ribu tali penarik, pada tiap-tiap satu tali penarik ada tujuh puluh ribu Malaikat menariknya. (Bukhari)






Perjalanan ke Neraka










Kita semua akan melalui perjalanan meniti Sirat, titian yang diletakkan untuk menyeberangi lautan api Neraka, titian yang di kiri kanannya terdapat banyak pengait-pengait untuk mengait kaki sesiapa yang berhak dikait.










Maryam [71] Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.






Maryam [72] Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertakwa dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam Neraka itu.










Titian itu lebih halus dari rambut, dikatakan ia adalah misai Malaikat Malik Zabaniyah (penjaga neraka). Malaikat sendiri ialah jisim halus, apalagi misainya. Jauh perjalanan meniti Titian ini ialah 3,000 tahun perjalanan. Namun ada juga yang menitinya sepantas kilat dan ada juga dalam masa beberapa minit. Diceritakan juga ada yang tidak sedar yang mereka telah meniti titian itu. Mereka bertanya sesama mereka bilakah mereka akan melalui titian itu. Sebenarnya mereka telah melalui satu kawasan yang terasa panas seolah-olah hendak demam dan itulah panas neraka di bawah titian






Daripada setiap 1000 manusia yang meniti Sirat di Hari Kiamat hanya 1 sahaja yang akan terus berada di titian sirat (iaitu mereka yang beriman dan beramal soleh) untuk meneruskan perjalanan ke syurga (sepantas kilat bagi mereka yang beriman). 999 manusia akan jatuh ke bawah dari sirat dan akan tiba di dasar neraka setelah 70 tahun. Mereka yang cukup modal dan pelaburannya untuk ke neraka akan sampai ke sana.










Kata Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, maksudnya:Kami bersama-sama Rasulullah Saw, maka kami mendengar suara yang sangat hebat lagi dahsyat. Beliau bersabda: “Tahukah kamu sekalian suara apakah ini”.Kami menjawab: “Allah dan Rasulnya yang lebih mengetahui”.Beliau bersabda: “Ini adalah suara batu yang dilontarkan ke dalam neraka Jahannam sejak 70 tahun dan sekarang baru sampai ke dasarnya.






Terdapat juga golongan pelawak yang terjunam sehingga 70 tahun ke dalam neraka. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang telah menghumbankan muka mereka ke dalam neraka?” (Hadis Riwayat At-Tarmizi, An-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad)






Berilah Peringatan Tentang Neraka






Dalam sebuah hadith disebut Rasulullah memberi amaran tentang neraka dan diulangnya sebanyak tiga kali “Aku memberi peringatan kepada kamu tentang neraka” Semoga Allah selamatkan mereka yang minta diselamatkan daripada api neraka. Neraka itu adalah tempat kembali yang sangat hodoh.






Ar-Ra’d [18]….dan amatlah buruknya tempat tinggal itu.

Kelebihan Al-Quran

Setiap Huruf Diberi 10 Pahala











Abdullah bin Mas’ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab ALLAH TAALA maka untuknya diberi satu ‘hasanah’ (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (’Alif, lam, mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.”






Sama sahaja pahala orang yang membaca itu samada dia faham makna atau tidak, cuma orang yang faham makna akan lebih tersentuh hatinya dan lebih merasai keinsafan.










Tengok Saja Pun Dapat Pahala






Tengok (melihat atau memandang) ayat-ayat Quran yang mulia. Apalagi kalau dibaca dan diamalkan dalam kehidupan.










Bacalah Al-Quran






Jadikan amalan membaca quran sebagai satu rutin harian samada 1 helai, 1 muka atau sekurang-kurangnya 3 ayat sehari. Membacanya dengan mulut dan memandang al-Quran dengan mata lebih banyak markahnya dari orang yang sekadar mendengarnya sahaja.






Ajarlah Anak-Anak Al-Quran










Daripada Usman bin Affan r.a., Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam ia bersabda; “Sebaik-baik orang di antara kamu adalah yang belajar Al-quran dan mengajarkannya kepada orang lain”. (Riwayat Bukhari ).






Sekurang-kurangnya ajarlah asas seperti huruf-huruf al-Quran supaya anak-anak mengenalnya daripada ibubapa mereka sendiri. Tambahan pula, ia menjadi ilmu yang mengalir pahalanya apabila anak itu menjadi ibubapa dan mengajarkannya kepada anak-anak mereka pula.










Syafaat






Quran adalah pemberi syafaat yang paling besar kerana ia adalah kalam Allah. Syafaatnya lebih tinggi dari syafaat Nabi Muhammad s.a.w. kerana ia adalah Kalam Allah sendiri. Ia umpama ahli kabinet yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”






Dalam hadith yang lain pula “Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt , bukan Nabi,bukan malaikat dan sebagainya“.tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quran.






Para Hafiz iaitu orang yang menghafal al-quran dan yang beramal dengan ilmunya boleh memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya. Disebut dalam hadith daripada Anas r.a. :






“Sesiapa yang membaca al-Quran dan menghafalnya, dia menghalalkan apa yang dihalalkan di dalam al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkan di dalam al-Quran, Allah akan memasukkan ke dalam syurga dan dia akan dapat memberi syafaat 10 orang ahli keluarganya yang semuanya adalah ahli neraka.

4 Tanda Kebahagian Seseorang

Rasulullah S.A.W. bersabda : “Empat dari tanda-tanda kebahagiaan seseorang: Isterinya solehah, anak-anaknya abrar (soleh), teman-temannya orang soleh dan sumber rezekinya di negerinya sendiri.” (Hadis Riwayat ad-Dailami dari Ali r.a.)







Empat perkara ini sekiranya dimiliki adalah suatu rahmat daripada Allah S.W.T., kata orang Melayu bertuah, beruntung atau “nasib baik”.






Isteri yang solehah adalah satu rahmat kepada seorang lelaki yang menjadi suami kerana dia adalah tanggungan suaminya. Setiap perbuatannya dikira ke dalam akaun suaminya, melainkan perbuatan yang dilakukan secara “sembunyi-sembunyi”.






Anak yang abrar (baik) adalah satu rahmat kepada ibubapanya. Anak-anak juga adalah tanggungan seorang lelaki yang menjadi bapa.






Lelaki yang menjadi suami dan bapa akan bahagia sekiranya mereka mempunyai isteri dan anak yang baik kerana kedua-duanya adalah tanggungannya.










Seorang yang bergaul dengan orang-orang yang soleh (baik) biasanya baiklah kehidupannya.










Seorang yang sumber rezekinya (pendapatan) berada di negeri sendiri adalah lebih bahagia, walaupun pendapatannya tidak sebanyak bekerja di luar negara. Misalnya, dia tidak perlu berpisah dengan keluarganya atau hanya bertemu mereka sekali-sekala, dan terpaksa menyesuaikan diri dengan budaya yang asing.

Sembahyang Pakai Niat?

Ada sesetengah ajaran sesat mengatakan cukup dengan berniat sahaja untuk sembahyang tanpa perlu melakukannya. Padahal Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya juga bertarekat, namun mereka tidak pernah meninggalkan sembahyang walaupun dalam kesakitan.







Walaupun pengsan beberapa kali, Baginda tetap juga berwuduk dan mengulanginya setelah sedar. Akhirnya Baginda meminta Sayyidina Abu Bakar menjadi Imam.










Hadith Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan daripada Ubaidillah bin Utbah r.a katanya: Aku bertanya Saidatina Aisyah r.a dengan berkata: Bagaimana dengan penyakit yang dihidapi oleh Rasulullah s.a.w? Beliau menjawab: Nabi s.a.w sakit sehingga tidak dapat berjalan. Baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum dan mereka sedang menunggumu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya, lalu baginda berwuduk. Setelah selesai baginda cuba berdiri. Tapi malang baginda terjatuh dan pengsan.






Setelah pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Baginda bersabda lagi: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya lalu baginda berwuduk. Setelah itu baginda cuba berdiri, tetapi pengsan lagi.






Sebaik sahaja pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya dan baginda berwuduk lagi. Setelah itu baginda cuba berdiri, tetapi pengsan lagi.






Setelah pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Sementara itu orang ramai masih berkumpul di masjid menunggu Rasulullah s.a.w untuk mendirikan sembahyang Isyak yang sudah terlewat. Akhirnya baginda mengutuskan seseorang menemui Abu Bakar agar beliau mengimami sembahyang…(Riwayat Muslim)






Hadis daripda Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w sakit dan semakin lama bertambah tenat. Baginda bersabda: Suruhlah Abu Bakar r.a agar sembahyang bersama orang ramai. Aisyah berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Bakar itu merasakan tidak layak kalau menduduki di tempatmu. Beliau tidak akan mampu sembahyang dengan orang ramai. Baginda bersabda lagi: Suruhlah Abu Bakar supaya sembahyang bersama orang ramai, kamu adalah seperti teman Nabi Yusuf di dalam menyusun kata-kata. Abu Musa berkata: Kemudian Abu Bakar sembahyang bersama-sama mereka selama Rasulullah s.a.w masih hidup. (Riwayat Muslim

Adam dan Hawa

Allah SWT mencipta manusia daripada satu manusia asalnya iaitu Nabi Adam. Adam bermaksud tanah. Kemudian Allah mencipta kembarnya Siti Hawa daripada tulang rusuk Adam yang paling atas sebagai temannya. Hawa bermaksud keinginan. Lalu mereka dikahwinkan Allah SWT pada hari Jumaat sebelum mereka bersama di syurga.







Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam a.s. diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.






Nabi Adam akhirnya tertipu dengan syaitan dan terpengaruh dengan pujukan isterinya Hawa. Syaitan telah bersumpah dengan menggunakan nama Allah bahawa Allah melarang mereka makan buah itu kerana tidak mahu mereka kekal dan menjadi malaikat.






Al-A’raf [20] Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) dia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil dia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga).






[21] Dan dia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.






[22] Dengan sebab itu dapatlah dia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?






Setelah Nabi Adam a.s. dikeluarkan dari syurga, dan beliau sampai ke dunia, iaitu di pulau Serindik (Sarandib), yang dikenali dengan Sri Lanka sekarang ini, waktu pada ketika itu sudah malam. Apabila melihat kegelapan tersebut yang merupakan kali pertama baginya, beliau merasa amat takut. Ini kerana tiada kegelapan di dalam Syurga tempat tinggalnya sebelum ini.






Beliau menangis sepanjang malam dan sedikit pun beliau tidak dapat tidur, sehingga ternampak di kaki langit tanda-tanda kegelapan tersebut akan beransur-ansur hilang, makin ia dipandang ia semakin cerah. Bila suasana sekeliling pun mula dapat dilihat, lalu beliau yakin kegelapan tersebut akan tamat dan berakhir. Ketika itu beliau amat gembira, dan bersembahyang syukur 2 rakaat. Sembahyang sunat syukur tersebut diterima dan diperkenankan oleh Allah s.w.t, dan dinaik tarafkan sembahyang tersebut menjadi sembahyang fardhu iatu fardhu Subuh, ke atas Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya.






Nabi Adam juga berpuasa selepas baginda memakan buah larangan semasa berada di syurga (samada buah khuldi, zaitun, tin atau gandum). Sebahagian ulama berpendapat ia adalah gandum kerana gandum adalah makanan dunia yang susah dihadamkan berbanding buah-buahan syurga.






Siti Hawa pula diturunkan di Jeddah. Akhirnya mereka bertemu di Jabal Rahmah. Setelah bertemu mereka memperkenalkan diri masing-masing. Namun kedua-duanya bertanya-tanya di antara satu sama lain apakah benar itu Adam dan itu Hawa sedangkan pada masa itu tiada manusia lain.










Ada hikmah mengapa mereka dikeluarkan dari Syurga. Jika tidak Firaun pun akan mengatakan dia juga lahir di syurga. Dari 1 menjadi 2 dan seterusnya tersebarlah zuriat Nabi Adam. Nabi Adam hidup 1000 tahun dan mempunyai 40 anak (20 kembar iaitu 20 kali bersalin).






An-Nisa [1] Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Gempa Hari Kiamat

Al-Hajj [1] Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.











Al-Hajj [2] Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.






Pada hari kiamat, bumi bergoncang dengan amat kuat dan mengeluarkan apa yang dikandungkan di dalamnya.






Al-Zalzalah[1] Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,[2] Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,






Pada hari itu juga bumi menjadi saksi kepada setiap manusia.






Al-Zalzalah[3] Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): Apa yang sudah terjadi kepada bumi?[4] Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya:[5] Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian)






Di hari itu juga kalau ada kanak-kanak yang lahir, mereka akan terus menjadi tua.










Al-Muzammil [17] (Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu kalau kamu kufur ingkar (dari azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?






Hari Kiamat “hari yang susah” juga dikenali sebagai hari orang bermuka masam:






Al-Insan [10] Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Dia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: Masam berkerut-kerut..






Hari tersebut adalah hari Jumaat, huru-hara di padang tersebut sukar hendak diceritakan. Ketika itu matahari berada seolah-olah sebatu (di atas kepala), panas yang tidak terperinya seperti diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang dikeluarkan oleh Imam Muslim (sanad hadith tersebut sahih).






Namun ramai juga orang yang senang dan senyum, iaitu orang yang ada hubungan dengan Allah, ingatkan Allah dan mematuhi disiplinnya. Sabda Nabi: “Orang Mukmin susahnya di padang mahsyar tidak lebih dari susahnya menunggu sembahyang jemaah”






Pada hari itu semua manusia dari zaman Nabi Adam AS, sampai ke zaman Nabi besar junjungan kekasih Allah SWT, termasuk semua jin biasa, jin yang terlalu jahat yang telah menjadi syaitan, dan semua jenis binatang akan dikumpulkan dengan qudrat (kuasa Allah SWT) yang telah mencipta mereka disatu Padang yang dikenali dengan Mahsyar (Padang yang dikumpulkan). Sudah tentu amat ramai bilangannya, lelaki dan perempuan. Kebanyakan mereka bertelanjang bulat (hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Siti Aisyah RA dan Abdullah Bin Masud) Tiada lagi perasaan malu diantara mereka. Kemudian diberi pakaian kepada mereka yang telah berjaya mentaati Allah SWT.

Soalan tentang hukum mengundi dan cara memilih pemimpin Menurut Islam

Apakah hukum mengundi?







Pada asalnya hukum mengundi adalah fardhu kifayah.






Bolehkah mengundi dihukum sebagai wajib?






Jika perlu ia boleh menjadi fardhu ‘ain atau wajib. Seperti adanya arahan dari pihak Pemerintah sendiri.






Adakah dalil-dalil atau nas yang mewajibkan semua orang untuk mengundi?






Tiada dalil yang jelas secara hitam putih. Ia hanya satu keperluan bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.






Bagaimanakah ciri-ciri pemimpin yang patut dipilih sebagai umat Islam?






Patuh kepada agama, amanah dan bertanggungjawab kepada rakyat.






Sekiranya ada 2 pemimpin muslim yang bertanding di atas parti politik yang berbeza, bagaimanakah untuk menentukan pemilihan pemimpin, berdasarkan akhlak individu atau prinsip parti?






Pilihlah pemimpin yang cenderung kepada agama dan dapat memberi faedah kepada masyarakat.






Sekiranya di tempat kita terdapat 2 pemimpin kafir.. Bagaimanakah untuk kita sebagai pengundi untuk memilih pemimpin?






Pilihlah pemimpin kafir yang lebih prihatin dan lebih memberi manfaat kepada masyarakat Islam.






Sekiranya seorang lelaki kafir bertanding dgn wanita Islam… Siapakah yg sepatutnya kita undi sebagai pemimpin?






Wanita Islam

Politik, pemimpin dan jawatan

Agama Islam juga berkait rapat dengan politik iaitu kuasa pemerintahan. Kuasa politik perlu untuk menjalankan usaha dakwah kerana bila ada kuasa mudahlah kita nak menyebarkan Islam. Politik hukumnya fardhu kifayah, mesti ada sebahagian orang Islam (tidak kira apa bangsa) menyertainya.







Pemerintahan dan Pemimpin yang baik itu kurniaan dan hadiah dari Allah yang kita tidak nampak.






Dalam satu hadith disebut, kalau kamu betul dengan Allah, kamu akan diberi pemimpin yang baik untuk kamu. Kalau kamu tak betul dengan Allah, kamu akan diberi pemimpin yang menindas kamu. Oleh itu betulkan diri kamu dengan kehendak Allah untuk mendapat hadiah pemimpin yang betul.






Hukum mengundi






Pada asalnya hukum mengundi adalah fardhu kifayah.Jika perlu ia boleh menjadi fardhu ‘ain atau wajib. Seperti adanya arahan dari pihak Pemerintah sendiri. Namun tiada dalil yang jelas yang mewajibkan mengundi, ia hanya satu keperluan bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.






Undi Siapa?






Undilah calon yang patuh kepada agama, amanah dan bertanggungjawab kepada rakyat. Sekiranya ada 2 calon pemimpin muslim yang bertanding di atas parti politik yang berbeza, pilihlah pemimpin yang cenderung kepada agama dan dapat memberi faedah kepada masyarakat.






Sekiranya di tempat kita terdapat 2 pemimpin kafir.. pilihlah pemimpin kafir yang lebih prihatin dan lebih memberi manfaat kepada masyarakat Islam.






Taat kepada pemimpin bersyarat






An-Nisaa [59] Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.






Taat kepada Allah dan Rasul tidak bersyarat. Tiada alasan disisi Allah, apabila Allah dan Rasul perintah, tiada pilihan lain.Taat kepada makhluk bersyarat dan tidak perlu taat dalam perkara maksiat.






Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:“Mendengar dan mematuhi itu wajib ke atas setiap orang Islam sama ada dalam perkara yang ia suka atau tidak suka, selagi ia tidak disuruh melakukan maksiat. Apabila disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi didengar dan dipatuhi” (Riwayat Ahmad Dan Muslim)










Larangan melantik kafir sebagai pemimpin tertinggi






“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman….”Ayat ini melarang orang Islam dari melantik orang kafir sebagai pemimpin tertinggi dan apa-apa jawatan penting dalam sesebuah kerajaan Islam. Ini kerana apabila mereka (orang kafir) berkuasa, mereka boleh memusnahkan amalan orang Islam, juga askar dan polis terletak di bawah kekuasaan mereka. Dalam ayat yang lain, dilarang menjadikan orang kafir sebagai penyimpan rahsia:






Ali-Imran [118] Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi orang dalam (yang dipercayai)…….






Dalam mazhab Syafie, orang kafir tidak boleh memegang jawatan dalam kerajaan Islam dan menjadi tentera. Dalam mazhab Hanafi, orang kafir boleh memegang jawatan dalam kerajaan Islam dan boleh menjadi tentera selagi jawatan tertinggi dipegang oleh orang Islam. Sekiranya dilantik juga, Allah tidak rugi apa-apa, sebaliknya orang Islam yang rugi, berdosa dengan Allah dan Islam juga akan musnah : dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun,






Dilarang melantik orang yang mempersendakan agama samada dari golongan kafir atau Islam sebagai pemimpin. Orang Islam yang mempersendakan agama misalnya dengan mengatakan hukum Islam tidak sesuai diguna pada zaman ini juga tidak boleh dilantik menjadi pemimpin. Mereka yang condong kepada cara hidup kafir juga tidak boleh dilantik sebagai pemimpin kerana pemimpin hendaklah menjaga agama Islam, umat Islam dan negeri/negara. Begitu juga mereka yang mengutamakan kehidupan dunia berbanding akhirat.






Janganlah merebut jawatan atau menawarkan diri untuk sesuatu jawatan.










Daripada Abu Musa r.a. (Allah telah meredhainya) katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.a.w.. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya“. (Riwayat Bukhari Muslim)






Allah tidak akan memberi pertolongan kepada orang yang meminta untuk menjadi pemimpin. Sebaliknya sesiapa yang diberi jawatan tanpa diminta, dia akan dibantu oleh Allah.










Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan pemintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa pemintaan maka engkau dibantu (Riwayat Bukhari Muslim)










Setiap pemimpin akan disoal










Dalam sebuah hadith disebut “Kamu suka sangat hendak menjadi pemimpin padahal ia boleh menyebabkan dukacita dan rugi besar di akhirat”. Dua orang yang dibelenggu diakhirat (sekiranya tidak menjalankan tugas dengan adil) ialah pemimpin (yang mempunyai 10 orang dibawahnya – apa jua pimpinan) dan hakim. Hanya kebaikan yang dilakukannya mampu membebaskan ia dari belenggu itu.






Tidak ada satu pun penguasa yang menanggung keperluan umat, melainkan di hari kiamat nanti, ia akan dibelenggu tangannya (sendiri) di atas lehernya, lalu (apakah ia mampu) dilepaskan oleh keadilan atau dilarikan oleh kezaliman..(HR. Ahmad dan Ibnu Hibban)






Tugas pemimpin ialah menyediakan keperluan rakyat iaitu tempat tinggal dan makanan yang mencukupi.






Begitu juga Sayyidina Umar yang dikenali dengan Amirul Mukminin, (ketua orang mukmin). Beliau juga didakwka oleh seorang perempuan tua kerana tidak membaiki titian yang reput. Namun dalam kes yang lain, Sayyidina Umar tidak tidur malam kerana ingin melakukan rondaan untuk melihat samada rakyatnya boleh tidur. Satu malam beliau mendapati sebuah khemah yang masih terang dan terdapat seorang lelaki yang sedang menangis kerana isterinya hendak bersalin dan tidak ada bidan. Lalu Sayyidina Umar balik mendapatkan isterinya dan menyuruhnya menyiapkan peralatan untuk membantu menjadi bidan. Setelah perempuan itu berjaya melahirkan anaknya, berkatalah isteri Sayyidina Umar “Tahniah Amirul Mukminin, kamu telah mendapat seorang anak saudara”. Lelaki yang menangis tadi terkejut kerana Amirul Mukminin sendiri yang membantunya.






Bolehkah kerjasama politik dengan kafir?










Orang kafir tidak boleh dilantik menjadi ketua negara. Namun boleh membantu mereka jika ada persefahaman dan mereka berjanji taat setia dengan Islam sepertimana pada akhir Surah Al-Anfal, dimana Rasulullah ke Mekah untuk tolong orang kafir yang janji setia dengan Islam dan akhirnya Mekah jatuh ketangan Islam.










Anfal [72]…….Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.

Dajjal

Siapakah Dajjal?







Dajjal ialah seorang pemuda, berambut kerinting dan sebelah matanya tersembul. (buta sebelah). Dajjal itu dari bangsa Yahudi dan pengikutnya juga terdiri dari 70,000 bangsa Yahudi.






Di mana keluarnya Dajjal?






Dia akan muncul (dikenali) di antara Sham dan Iraq dan melakukan kemusnahan di serata tempat yang ia sampai.






Dakwaan Dajjal sebagai tuhan






Dajjal akan mendakwa dialah tuhan dengan menunjukkan bukti-bukti seperti dihidupkan orang mati setelah dipotong dua badannya. Dajjal akan menjadikan kampung orang yang menerima dakwaannya sebagai tuhan menjadi mewah dan makmur. Dan kampung orang yang enggan menerima dakwaanya menjadi susah meleset. Namun orang yang kuat imannya akan berkata “kamulah Dajjal”.






Makanan Mukmin di zaman Dajjal






Pada masa itu orang mukmin yang enggan mengakui dakwaan Dajjal sebagai tuhan disekat bekalan makanan (tanah mereka terbiar, kering kongtang dan tiada tumbuhan untuk dimakan). Namun mereka tetap kenyang dengan bertasbih iaitu berzikir dengan mengucapkan “Subhanallah“. Seperti dalam hadith Nabi s.a.w:






Makanan orang Mukmin pada zaman Dajjal adalah makanan para malaikat, yakni memuliakan dan mensucikan Allah. Barangsiapa di zaman itu memuliakan dan mensucikan Allah, maka baginya, Allah akan menghilangkan kelaparan.






Berapa lama Dajjal bermaharajalela?






Dalam hadis diceritakan:






Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, berapa lama ia bermaharajalela di bumi?






Baginda s.a.w. menjawab “Empat puluh hari – Hari yang pertama: panjangnya seperti setahun. Hari yang kedua: panjangnya seperti sebulan. Hari yang ke tiga : panjangnya seperti seminggu, manakala hari-hari yang lain: seperti hari-hari kamu yang biasa”






Kami bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, bagi satu hari yang seperti satu tahun, adakah sembahyang sehari semalam memadai?”






Baginda s.a.w. bersabda, : “Tidak, tetapi kirakanlah masa untuk mengerjakan sembahyang itu mengikut kadar masa yang biasa kamu lakukan.”






Gelaran Al Masih






Semasa Dajjal bermaharajalela, Allah akan menghantar Nabi Isa Al-Masih turun di menara putih di timur Damsyik (Syria). Dajjal juga dikenali dengan Al Masih, yang bermaksud banyak berjalan, Dajjal banyak berjalan untuk menyesatkan manusia. Dajjal dan pengikutnya tidak boleh memasuki Mekah dan Madinah kerana kedua bandar suci ini dikawal oleh malaikat setiap kali mereka menuju ke sana, dipusingkan badan mereka ke arah lain.






Pada masa itu juga berlaku “zalzalah” (gempa bumi) sehingga ada penduduk Madinah yang tidak tahan lalu keluar dari situ. Akhirnya mereka menjadi mangsa Dajjal.






Seperti ditulis sebelum ini, Dajjal dibunuh oleh Nabi Isa yang akan turun selepas Imam Mahdi

Keistimewaan Bulan Muharram

Masa berlari begitu pantas. Kini kita berada di ambang bulan Muharram (1432H) iaitu permulaan bagi Kalendar Hijriah. Bulan yang dimuliakan ini menyimpan begitu banyak peristiwa penting bagi umat Islam terutamanya sirah penghijrahan Rasulullah (saw) dan para Sahabat (ra) dari kota Makkah al-Mukarramah ke kota Madinah al-Munawwarah yang akhirnya telah membawa kepada kecemerlangan umat Islam.



Di samping peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam bulan ini, bulan Muharram juga mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri. Bulan ini adalah salah satu dari empat bulan yang dimuliakan dan diberkati seperti yang termaktub dalam al-Quran yang maksudnya:-






“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati (arba’atun hurum). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)…” (at-Taubah, 36)






Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah (ra), Rasululah (saw) telah bersabda yang maksudnya;










“(Ketahuilah) Sesungguhnya, zaman beredar sebagaimana keadaannya pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada 12 bulan. Empat daripadanya adalah bulan haram, iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan Rejab diapit oleh Jamadilakhir dan Sya’ban.” (HR Bukhari & Muslim)






Muharram dikenali dengan namanya itu kerana ia adalah bulan yang dimuliakan. Allah azza wajalla menyebut, ( فلا تظلموا فيهنّ انفسكم ) iaitu “maka janganlah kamu menganiayai diri kamu” di mana ia bermaksud jangan menganiayai diri kamu di dalam bulan-bulan yang mulia ini kerana dosa-dosa yang dilakukan dalam bulan ini lebih besar berbanding dalam bulan-bulan yang lain.






Ibn Abbas (ra) berkata bahawa ayat “maka janganlah kamu menganiayai diri kamu” merujuk kepada semua bulan, kemudian empat bulan ini diasingkan dan dimuliakan. Justeru, dosa yang dilakukan dalam bulan ini lebih serius dan amalan baik yang dilakukan akan diberikan ganjaran pahala yang besar.






Kelebihan Berpuasa Sunat Dalam Bulan Muharram






Terdapat beberapa hadis Nabi (saw) yang menganjurkan berpuasa sunat dalam bulan Muharram. Di antaranya seperti dibawah.






Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah pada bulan-bulan haram, lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).






Perkataan “berpuasalah pada bulan-bulan haram” itu adalah merujuk kepada bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.






Dari Abu Hurairah (ra) berkata, Rasulullah (saw) bersabda yang maksudnya;






“Puasa yang lebih utama selepas puasa Ramadan ialah puasa di bulan Allah al-Muharram, manakala solat yang lebih utama selepas solat fardhu adalah solat malam.” (HR Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’i dan Ibn Maajah)






Ayat “bulan Allah” menghubungkan nama bulan kepada nama Allah dalam struktur tatabahasa kepunyaan / keakraban bagi membuktikan kepentingan bulan tersebut. Al-Qari (rh) berkata; “Zahir maksud bagi hadis di atas adalah berpuasa pada keseluruhan bulan Muharram”. Namun, telah dibuktikan bahawa Rasulullah (saw) tidak pernah berpuasa sepenuh bulan selain dari Ramadhan. Oleh itu, hadis ini mungkin bertujuan untuk mengalakkan memperbanyakkan puasa dalam bulan Muharram dan bukannya berpuasa pada keseluruhan bulan.






Hal ini diperkuatkan oleh satu hadis Rasulullah (saw) yang bermaksud;






“Berpuasalah sebahagian dari bulan Muharram dan tinggalkanlah dari sebahagian yang lain (diucapkan tiga kali)” (HR Abu Daud dan Nailul Authar)






Selain itu, dalam bulan ini kita disunatkan juga berpuasa pada 9 dan 10 Muharram yang dikenali dengan puasa hari Asyura.






Akhir sekali, dalam keghairahan beramal dan meningkatkan ibadah, kita perlu memastikan setiap amalan yang kita lakukan hendaklah bersandarkan dari sumber yang jelas dan pasti dari as-sunnah semoga amalan kita diterima oleh Allah (swt) dan beroleh ganjaran pahala dari sisiNya.






Wallahua’lam

BOIKOT BARANGAN ISRAEL & U.S.A

Palestin Dan Orientalisma

“Barangsiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya. Andai tiada keupayaan, maka lakukan dengan lisannya. Andai tiada juga keupayaan, maka lakukan ia dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman” “ Muttafaq ‘alayh










Apabila kita berdepan dengan kemungkaran, dalam apa bentuk sekali pun, kita boleh bertindak dan memberikan reaksi dalam tiga bentuk. Sama ada kita bertindak mengecam dan mengutuk kemungkaran itu, bertindak mencegah, atau mengubah kemungkaran yang berlaku.



MENGECAM



Kaedah mengecam adalah kaedah yang paling mudah. Dunia tanpa sempadan hari ini memberikan banyak ruang kepada kita untuk menyalurkan kecaman, sebanyak mungkin. Kecaman tidak memerlukan banyak modal. Sama ada modal fikir, modal idea, modal dakwah, jauh sekali modal material yang menuntut pengorbanan.



Kecam tidak perlu kepada analisis. Melaporkan apa yang berlaku, dan mengharapkan massa memahaminya, tanpa sebarang analisis adalah apa yang saya maksudkan sebagai pendekatan mengecam. Kecaman mempunyai peranan yang tersendiri, iaitu untuk membangkitkan rasa memberontak dan menyatakan penentangan. Namun ia kurang bermanfaat bagi mereka yang mahu mengambilnya sebagai suatu kepedulian.



Mungkin inilah masalah yang membelenggu halaman-halaman web pro Palestin yang banyak kedapatan di internet. Anda akan bertemu dengan salinan berita yang di’cut and paste‘ tanpa membekalkan analisa dan statistik yang berguna. Ini harus menjadi satu titik muhasabah mengapa lambakan berita itu tidak memberikan impak yang diharapkan. Ia hanya sebuah kecaman.



Apatah lagi media Malaysia yang bulat-bulat menterjemahkan sahaja apa yang dilaporkan oleh New York Times, Reuters, CNN dan yang seangkatan dengannya.



MENCEGAH



Kita juga boleh memberikan reaksi dalam bentuk mencegah secara defensif. Berusaha untuk menyelamatkan diri dan mereka yang berada di dalam tanggungan kita daripada terjebak ke dalam kemungkaran itu.



Kaedah ini mempunyai fungsi dan peranan yang tersendiri. Menjauhkan diri dari anasir-anasir Zionis yang turut membabitkan pemboikotan produk mereka, adalah sebahagian daripada teknik mencegah. Ia boleh menyelamatkan diri, menghalang diri dari terlibat dan menyumbang kepada kekuatan musuh dan melepaskan diri dari kewajipan peribadi.



Akan tetapi ia tidak akan menghalau pergi kemungkaran berkenaan, apatah lagi pada kekuatan Zionis yang mencengkam bumi Palestin. Ia akan terus duduk di situ dan menelan mereka yang gagal mencegah diri. Pemboikotan mendatangkan kejemuan apabila tindakan kita tidak setanding dengan keupayaan Amerika Syarikat menyumbang jutaan Dollar sehari kepada regim Zionis.



Lama kelamaan perbuatan kita mencegah kemungkaran hanya sekadar dalam format menyelamatkan diri sendiri, akan menjadi seperti seorang yang melindungi anaknya di dalam kandang harimau. Setelah penat, akhirnya kita kalah dan mati dibaham harimau, semata-mata kerana PUNCA masalah dibiarkan berleluasa.



Saya tidak bermaksud untuk memperkecilkan tindakan boikot, tetapi apa yang ingin ditegaskan adalah pada memaksimakan bantahan melalui strategi-strategi yang pelbagai. Ia harus lebih dari sekadar protes dan boikot.



MENGUBAH



Akan tetapi, hadith di atas meletakkan kerangka bertindak yang paling optimum sebagai reaksi kita kepada kemungkaran. Baginda SAW menggunakan perkataan (falyughayyirhu) dengan maksud mengubah. Kemungkaran bukan hanya perlu dikecam dan kita tidak hanya dituntut untuk menyelamatkan diri, namun agenda berdepan dengan kemungkaran mestilah berpaksikan kepada maksud MENGUBAH. Itu standard yang ditetapkan oleh Baginda SAW terhadap isu ini.



Apabila kemungkaran itu mahu diubah, pendekatan kita mestilah tepat dengan sasaran perubahan. Ia memerlukan kepada analisa yang tepat, dan mensasarkan penentangan kepada punca sebenar permasalahan yang ingin diperkatakan.



Di sinilah saya cuba mengajak hadirin untuk melihat semula bentuk usaha perjuangan tentang Isu Palestin yang ada di dalam masyarakat hari ini.



KELOMPOK SASAR



Isu Palestin mencakupi dua kelompok terpenting iaitu kelompok MANGSA dan kelompok PUNCA.



Kelompok mangsa yang saya maksudkan di sini adalah mereka yang menerima kesan langsung daripada kekejaman Zionis di bumi Palestin, iaitu penduduk Palestin yang terdiri daripada kaum Muslimin dan minoriti Kristian yang turut terkesan. Maka seruan untuk membela golongan ini, dilakukan dalam bentuk yang membangkit dan meniupkan semangat mereka untuk tidak mengaku kalah dan terus berusaha untuk keluar daripada belenggu kekejaman rejim Zionis.



Pendekatan mengecam dan mencegah jika dilakukan dengan baik, cukup memberikan impak untuk mengukuhkan barisan penentang, sama ada dari kalangan mangsa langsung, atau umat Islam sedunia yang turut menanggung kepedihan jenayah Zionis itu.



Manakala kelompok kedua adalah kelompok punca.



Pihak manakah sebenarnya yang menjadi punca kepada segala krisis yang membelenggu penduduk Palestin? Apakah rejim Zionis mampu bertindak sendirian berterusan menekan dan menindas? Kita semua tahu bahawa Zionis tidak mampu berdikari melainkan ada sokongan besar yang datang dari luar, tidak lain dan tidak bukan Amerika Syarikat.





“Kemudian, Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami PERPANJANGKAN kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.”� (Al-Israa’ 17: 6)







Keterangan al-Quran bahawa keupayaan Zionis untuk melakukan kerosakan kedua di muka bumi, datang dari sumber yang diperpanjangkan, seharusnya menjadikan kita amat sedar tentang implikasi sokongan luar yang diberikan kepada Zionis.



Laporan http://www.ifamericansknew.org menjelaskan bahawa Israel menerima bantuan di antara 10 ke 15 juta US Dollar sehari daripada Amerika Syarikat. Jumlah ini mengatasi jumlah keseluruhan bantuan Amerika Syarikat kepada negara-negara Amerika Latin, Sub Sahara Afrika dan Carribean.



Kekuatan utama rejim Zionis di Palestin adalah sokongan Amerika Syarikat. Negara kuasa besar dunia itu berupaya memanipulasi kewangannya sendiri untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada rejim Zionis hasil kombinasi beberapa pihak, khususnya media di Amerika Syarikat yang tidak melapor, melapor secara simplistik, atau memberikan laporan yang salah, untuk mengawal kefahaman penduduk Amerika Syarikat tentang isu Palestin.



Penduduk Amerika Syarikat adalah PUNCA UTAMA kepada keupayaan rejim Zionis di Palestin. Merekalah yang membayar cukai pendapatan sebagai sumber kewangan negara, merekalah yang memilih anggota Kongress dan Senat, dan seterusnya merekalah yang menentukan siapakah bakal Presiden Amerika Syarikat yang seterusnya, selaku pemain utama yang menentukan polisi luar Amerika Syarikat.



Oleh itu, segala usaha dilakukan untuk mengawal saluran maklumat kepada penduduk Amerika Syarikat, dan usaha ini dilakukan dengan teliti hasil kajian beberapa tangan pakar, iaitulah Orientalis yang berdiri di sebalik kabinet pemerintah Amerika Syarikat.



Orientalis inilah think tank yang mengajar media dan pemerintah, teknik-teknik memberikan impression kepada penduduk Amerika Syarikat tentang laporan isu Palestin dari semasa ke semasa.



Apabila reaksi kita terhadap kemungkaran ini diletakkan atas maksud MENGUBAH, maka perubahan itu tidak mungkin boleh berlaku, jika kita memprotes dengan bahasa yang tidak difahami oleh penduduk Amerika Syarikat. Bukan soal Bahasa Inggeris atau Arab, tetapi bahasa yang saya maksudkan di sini adalah pendekatan kita dalam menyuarakan bantahan.





Seandainya kita cuba mengubah pandangan penduduk Amerika Syarikat dengan bahasa yang menjadikan mereka sebagai musuh kita, setaraf dengan rejim Zionis itu sendiri, maka tindakan kita akan menjadi seperti menarik kucing di atas tikar. Makin kuat kucing ditarik, makin kuat kukunya mencengkam.



Mereka akan terus takut dengan suara kita yang memukul rata bahawa semua Yahudi dan Nasrani adalah musuh dan mereka harus diperangi. Akhirnya, mereka akan terus menyanggupkan diri membiarkan kerajaan menghabiskan duit negara sehingga lebih USD10 juta sehari demi untuk mengekang kebangkitan manusia Palestin, Arab dan Muslim yang dipaparkan sebagai ganas, barbarik dan sentiasa mencari peluang untuk mengancam mereka.



Penat lelah kita hanya berkeupayaan mengekalkan kemarahan umat Islam terhadap kezaliman rejim Zionis, tetapi jauh sekali untuk mempengaruhi dan mengubah pandangan penduduk Amerika Syarikat terhadap keadaan sebenar di Palestin. Hal ini terjadi kerana protes kita tersalah sasar.



Maka umat Islam perlu bangkit menyatakan bantahan, bukan hanya pada menyatakan kemarahan dan berdemonstrasi, tetapi turut mendedahkan strategi media Barat memanipulasi sebaran maklumat. Ia juga harus dikritik dengan tajam, dan kehebatan golongan Orientalis yang menjadi penasihat kerajaan dan media, mesti dipatahkan dengan keilmuan yang setanding.



Teknik yang digunakan oleh media Amerika Syarikat dalam melaporkan isu Palestin, mesti diteliti. Peranan golongan pemegang saham media Amerika Syarikat mesti dikenal pasti. Dan keupayaan mereka untuk menjayakan gagasan ini berakar umbi pada tradisi Orientalisma kerana Orientalisma adalah falsafah Barat mempersembahkan Timur.



“They cannot represent themselves, they must be represented” – Karl Marx, The Eighteenth Brumaire of Louis Bonaparte



“The East is a career” – Benjamin Disraeli, Tancred



Kita mesti buktikan kepada mereka bahawa kita TAHU apa yang mereka lakukan dan BAGAIMANA mereka melakukannya.



Kerana itulah, saya memilih tajuk Palestin dan Orientalisma, sebagai subjek yang dibentangkan di Darul Fuqaha pada 13 Mei 2007 untuk menyuluh hal ini. Perjuangan kita membantu Palestin hendaklah memanfaatkan usaha yang dilakukan oleh tokoh seperti Edward Said yang Kristian tetapi amat besar impaknya kepada polisi Amerika Syarikat terhadap Palestin. Perjuangan mendedah dan melaporkan kejahatan Zionis juga hendaklah mengambil manfaat dari contoh halaman web pro Palestin IFAMERICANSKNEW.ORG milik Yahudi di Amerika Syarikat yang pro Palestin (mereka digelar self-hated Jews!), dalam usaha mereka untuk mendedahkan konspirasi gergasi Barat membodohkan dunia, demi survival rejim Zionis.



Kita juga mesti mencari formula untuk memperkatakan tentang isu Palestin dalam bahasa global yang boleh mengajak mereka yang bukan mangsa dan bukan punca, untuk terbabit sama.



Golongan bukan Muslim di mana-mana, harus disedarkan dengan menggunakan pendekatan ini, bahawa isu Palestin bukan hanya isu Islam dan Arab, tetapi ia adalah isu kezaliman terhadap kemanusiaan yang terbesar, dalam sejarah kemanusiaan itu sendiri.



Konspirasi ini tidak boleh dijatuhkan dalam kerangka “Menjahilkan Diri Terhadap Musuh“. Jauh sekali retorik dan slogan semata-mata. Jauh sekali dari laporan media yang hanya berupaya melapor, tetapi tiada analisa yang boleh memberikan impak yang cukup untuk menangkis media Amerika Syarikat yang mainstream.



Kenali musuh untuk melemahkan mereka, jahilkan diri terhadap musuh untuk mensesiakan keletihan kita