Sunday, March 17, 2013

USTAZ ABDUL SAMAD NOH: Ulama, Ahli Politik dan Penulis (1917-1984)



Merenung kembali sejarah kebangkitan ulama di Negeri Perak, kita pasti berhadapan dengan rentetan perjuangan yang tidak kunjung padam oleh beberapa orang ulama silam dalam mendaulat dan mengembangkan syiar Islam di tanah airnya sendiri terutama sewaktu sebelum kemerdekaan negara. Mereka sanggup berkorban semata-mata untuk menunaikan tuntutan Allah s.w.t kerana sesungguhnya, sebaik-baik umat disisi-Nya ialah orang yang sanggup berjihad ke jalan Allah.Kebangkitan ulama warasatul anbia’ di Perak melalui tiga peringkat iaitu:-
  1. Zaman Pertama   (1528-1918) – zaman pengajian pondok
  2. Zaman Kedua      (1919-1950) – zaman pengajian madrasah
  3. Zaman Ketiga      (1951-1957) – zaman pengajian sekolah agama rakyat
Justeru itu, kemunculan Haji Abdul Samad Noh sebagai ulama yang terkenal dan disegani di Negeri Perak bermula penghujung Zaman Pengajian Madrasah. Kemunculan beliau seangkatan dengan ulama-ulama lain seperti Tuan Haji Sheikh Idris al-Marbawi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Junid Tola, Ustaz Abu Bakar Bakir, Tuan Sheikh Mohd. Salleh Haji Mohd. Taib, Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Zubir Haji Ahmad, Prof. Zulkifli Muhammad, Dr Burhanudin al-Helmi dan Tuan Haji Muhammad Arshad Haji Muhammad Salleh.
Mereka inilah suatu masa dahulu telah berjaya melakarkan era kebangkitan ulama di Perak dengan memenuhi setiap kegiatan dakwah dan penyampaian ilmu Islam sebagai ad-din di serata pelusuk negeri terutama memfokuskan kegiatan di madrasah, surau, masjid serta istana selain sekolah-sekolah agama rakyat.

SEMANGAT CINTAKAN ISLAM
Kebangkitan mereka bukan sahaja kerana dorongan semangat cintakan Islam semata-mata tetapi ada unsur galakan yang tinggi daripada Sultan Iskandar Shah - Sultan Perak ke-30 yang dikenali oleh rakyat jelata dengan nama mesra baginda Raja Alang Iskandar.
Bertolak dari keadaan semasa, Haji Abdul Samad Noh menjuruskan kegiatannya dengan mengajar serta bersyarah di majlis-majlis ilmu terutama apabila menerima undangan. Dia mencurahkan segala ilmu yang dipelajari di Kota Suci Makkah kepada setiap mukmin dan mukminat yang bersedia mendengarnya.
Haji Abdul Samad Noh dikenali sebagai ustaz. Dia dilahirkan pada tahun 1917. Anak kelahiran Padang Rengas, Perak ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dan di Madrasah Yahyawiyah, Kampung Lalang, Padang Rengas dan di Madrasah Masriyah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Setelah berusia 18 tahun iaitu pada tahun 1935, Ustaz Abdul Samad berpeluang melanjutkan pelajaran di Madrasatul Saulatiyah, Makkah, Arab Saudi. Semasa menuntut di situ, dia mula terbabit dalam gerakan kebangsaan bersama-sama pelajar Indonesia yang giat berjuang menuntut kemerdekaan negara mereka.
Justeru, semangat kebangsaan yang kian menebal itu telah menyeret Ustaz Abdul Samad Noh dalam penubuhan Persatuan Tenaga Makatul Musyarrafah. Pertubuhan berbau politik ini berjaya mengabungkan pelajar-pelajar Tanah Melayu dan Indonesia di Makkah. Matlamat penubuhannya hanyalah untuk memerdekakan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah Inggeris.

JURUBICARA PERJUANGAN ANAK MELAYU NUSANTARA
Kemudiannya persatuan ini menjadi bertambah kukuh apabila ia bergading bahu dengan Parti Indonesia Merdeka dan Persatuan Anak-anak Patani dengan bertindak sebagai jurubicara perjuangan anak Melayu Nusantara yang menuntut di Makkah bagi menentang penjajahan.
Dalam pergerakan dan perjuangan pelajar-pelajar Melayu di Makkah, Abdul Samad Noh dinobatkan sebagai tokoh dari Tanah Melayu yang paling tersohor. Dia berjaya menempatkan dirinya di kalangan pelajar “Jawi” (panggilan Arab terhadap orang Melayu) di Makkah yang amat bengkeng dan baran terhadap penjajah yang sedang bermaharajalela di tanah air sendiri.
Hal ini jelas diperlihatkan apabila Abdul Samad Noh menerusi Persatuan Tenaga Melayu bertindak “ menyuntik semangat” Dato Onn Ja’afar dengan mengutus telegram menyatakan sokongan padu terhadap orang Melayu yang bangkit menentang Malayan Union pada tahun 1946.
Sekembalinya ke Tanah Melayu, dia bergiat cergas dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) melalui pelawaan Dato’ Panglima Gantang Wahab manakala beberapa rakan seperjuangan semasa di Makkah memilih Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebagai wasilah untuk meneruskan perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan.
Tetapi malangnya, apabila dia menyertai UMNO dengan sendiri dia tersisih daripada rakan-rakan seperjuangannya yang berada di PKMM. Justeru, dia lantas membawa diri dan bermastautin di Kampung Sungai Bayor dan mengajar di Madrasah Iskandariah, Sungai Bayor, Selama, Perak.
Namun begitu, pada tahun 1949 dia pulang ke Padang Rengas. Dia membulatkan tekad untuk meneruskan pembinaan Madrasah Yahyawiyah di Kampung Pondok, Padang Rengas yang terbengkalai akibat Perang Dunia Kedua. Madrasah terbengkalai itu terletak di suatu kawasan bawah Gunung Pondok. Kelihatan hanya tiang-tiang rusuk dan halang-halang yang terpasang dipanjat dan dibeliti tumbuhan menjalar serta sekitarnya penuh semak samun.
Berbekalkan semangat serta sokongan padu penduduk kampungnya, Ustaz Abdul Samad Noh berjaya membaik-pulih dan membangunkan madrasah itu. Madrasah Yahyawiah sebetulnya dinamakan mengambil sempena nama Orang Besar Perak, Dato’ Yahya yang telah menderma wang untuk pembinaaan rangka bangunan serta mewakafkan tanahnya untuk tapak sekolah berkenaan.
Ustaz Abdul Samad Noh berjaya meletakkan Madrasah Yahyawiyah sebagai sebuah sekolah agama yang terbilang semasa zaman keemasannya. Di bawah kepimpinan beliau, sekolah ini berjaya menggamit pelajar dari Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam selain negeri-negeri di Semenanjung belajar dan pernah menerima sehingga 500 pelajar perempuan dan lelaki setiap tahun.

DEWAN ULAMA UMNO
Pada sekitar tahun 1951, ketika UMNO menubuhkan Dewan Ulama, Ustaz Abdul Samad Noh dilantik sebagai wakil kawasan Padang Rengas. Namun setelah dewan tersebut dibubarkan dan membuka jalan ke arah penubuhan Parti Islam SeTanah Melayu (PAS), Ustaz Abdul Samad Noh meyertai parti itu.
Sepanjang bersama PAS, dia pernah dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Perak dan Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Pada tahun 1954, Ustaz Abdul Samad Noh bersama-sama Allahyarham Dato’ Haji Hassan Adil berjaya menubuhkan Persatuan Guru-guru Madrasah Agama Rakyat (PEGMA) dan beliau dilantik sebagai presiden pertama pertubuhan tersebut. Apabila PAS berada dalam Barisan Nadional (BN), Ustaz Abdul Samad Noh dilantik sebagai Penasihat Perkembangan Pelajaran Agama Sekolah-sekolah Malaysia selama dua tahun.
Kerjayanya dalam bidang pendidikan Islam tidak hanya menjadi Mudir Madrasah Yahyawiyah Padang Rengas tetapi juga pernah menyumbangkan jasa-baktinya sebagai Ahli Jawatankuasa Zakat Fitrah Negeri Perak (1953-1982) dan sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah serta Ahli Majlis Agama Islam Perak. Beliau juga pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Ulama Perak di samping menjadi Guru Agama Dakwah, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Perak serta anggota Adat istiadat Melayu Perak .
Dalam perkembangan syiar Islam serta pembanguan ummah, Ustaz Abdul Samad Noh dikenali sebagai seorang pensyarah yang terkemuka. Dia kerap menerima undangan berceramah sempena majlis-majlis kebesaran Islam terutama di kawasan Utara Perak.

PENGARANG MAPAN
Di samping tersohor sebagai ulama dan tokoh politik, Ustaz Abdul Samad Noh memiliki kepakaran mengarang dan layak digelar sebagai pengarang mapan. Dia berjaya menggunakan kelebihan dan keistimewaan anugerah Allah s.w.t kepadanya dengan menghasilkan beberapa buah karya dalam bentuk buku. Bagaimanapun, tidak diketahui dari manakah dia belajar seni kepengarangan itu.
Namun begitu, menurut seorang bekas muridnya bernama Noor Iskandar, Ustaz Abdul Samad Noh pernah berkata bahawa untuk menjadi seorang pendakwah yang berkesan, alim ulama perlu menguasai pelbagai kepakaran termasuklah menulis selain mengajar dan bersyarah.
Lantaran itu, di Madrasah Yahyawiyah, Ustaz Abdul Samad Noh pernah menganjurkan kursus penulisan dan kewartawanan bagi menyalurkan ilmu persuratan kepada murid-muridnya supaya dapat dimanfaatkan sebagai wasilah penyampaian dakwah yang berkesan menerusi penulisan .
Pandangan ini sebenarnya telah diamalkan oleh Ustaz Abdul Samad Noh sendiri. Buktinya, dia telah berjaya menghasilkan beberapa buah buku yang khususnya bersangkutan Islam. Antaranya ialah Isu Kafir Mengkafir, Fadhilat Ayat Kursi, Gurindam Syair Rasulullah, Bekal Tua Dan Sejarah Khalid Ibn Walid, Sahabat Rasulullah.( karya-karya ini adalah khazanah Negeri Perak yang cukup tinggi nilainya. Semoga ada pihak yang berminat untuk mengumpul dan memelihara karya tersebut supaya tidak pupus ditelan zaman ).

ULAMA PELOPOR BOLA SEPAK
Selain berdakwah dan menulis, Ustaz Abdul Samad Noh memiliki kegemaran yang paling dibenci oleh sebilangan besar alim ulama yang setaraf beliau iaitu permainan bola sepak. Dia amat meminati sukan itu. Setiap ada kelapangan sesudah menunaikan solat Asar dia pasti pergi sama ada Kuala Kangsar atau Pekan Padang Rengas semata-mata untuk menonton bola sepak di padang bandaran.
Barangkali dia ingin mengembalikan nostalgia di peranatauan. Sewaktu dia belajar di Makkah dahulu, dia pernah memperkenalkan sukan bola sepak kepada pemuda-pemuda Arab. Dia membentuk sebuah pasukan bergelar Al-Asadul Jawi (Singa Jawi) yang dianggotai pelajar-pelajar Tanah Melayu dan Indonesia. Dan Al Asadul Jawi kerap mengadakan perlawanan persahabatan dengan pemuda Arab sekaligus menerbitkan tali persahabatan di antara berlainan bangsa tetapi seagama itu.
Berikutan itu, tidak menghairankan dialah ulama pelopor bola sepak di kalangan sekolah agama rakyat di negara ini kerana memperkenalkan sukan tersebut dimainkan di Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas terutama sewaktu zaman pra-merdeka.
Sesungguhnya pada tanggal 1 Oktober 1984, Ustaz Abdul Samad Noh berpulang ke alam baqa kerana menunaikan panggilan Ilahi dengan meninggalkan selaut jasa dan budi yang boleh dipelajari dan diteladani oleh generasi kini. Al-Fatihah untuk Allahyarham – Zabidin Hj Ismail.

Tuan Guru Hj Mohd Shafie Losong



Ahmad Shafie bin Haji Muhammad Amin 1862-1945 atau nama penuhnya Haji Ahmad Shafie bin Haji Muhammad Amin merupakan salah seorang daripada ulamak Melayu yang bertanggung jawab mengembangkan syiar Islam di nusantara. Di Terengganu didikan Pondok yang terkenal sebagai Pondok Losong Haji Mohd Shafie (Hj Mohd Shafie Losong adalah cucu kepada Tok Subuh Abdul Rahman) dia berhijrah ke Terengganu untuk belajar dari Tokku Paloh (Syed Abdul Rahman Al-Idrus) dan terus berumahtangga dan membuka pengajian pondok di Losong, Kuala Terengganu. Kampung tersebut dikenali sebagai Losong Haji Mohd Shafie sehingga sekarang.

Hj Mohd Shafie hidup sezaman dengan Tok Kenali Kelantan. Tok Kenali pernah berkata: "Tidak ada orang lain (di zaman itu) yang lebih dalam ilmu tasawwufnya dari Hj Mohd Shafie Losong"

Ketokohan Hj Mohd Shafie

Hj Mohd Shafie Losong terkenal sebagai ulama yang sangat warak dan penuh dengan kekeramatan. Sewaktu Terengganu dilanda kemarau pada awal kurun ke-20, pemerintah Terengganu akan bertanya kepada  beliau di mana tempat yang perlu digali perigi kerana tempat yang ditunjukinya biasanya akan mempunyai air.


Antara muridnya

Tuan Guru Haji Bidin atau nama sebenarnya, Zainal Abidin bin Aman bin Mat Ali ialah seorang ulama yang terkenal di Terengganu. Beliau dilahirkan pada 1893 di Kampung Tasik, Wau, Ulu Dungun. Ibunya, Saadiah Jaafar ialah seorang ibu tunggal setelah suaminya meninggal dunia, tetapi kemudian berkahwin dengan Hamzah, iaitu datuk kepada bekas Bendahari Agung PAS, Ustaz Abdul Wahab Yunus. 

Haji Bidin menjadi anak yatim semenjak kecil, tetapi mendapat didikan agama daripada ibunya. Ketika berusia 11 tahun, belia dihantar belajar dengan Haji Taib Hassan dan Ustaz Baki Awang di Kampung Sindol. Pada 1906, beliau memasuki Pondok Pulau Serai dan berguru dengan Tuan Guru Haji Yusof bin Lebai Isa selama enam tahun. 

Setelah itu beliau berhijah pula ke Pondok Losong untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong yang terkenal itu 1914.

Haji Wan Ibrahim Bin Wan Abdul Kadir


Haji Wan Ibrahim lahir pada tahun 1894 di Bendang Daya, Patani. Beliau adalah adik kepada Pak Da Ail Patani, guru di Mekah yang termasyhur. Oleh kerana abangnya digelar Pak Da, maka beliau diberi gelaran Pak Cu Him. Sejak kecil, beliau dididik oleh ayahnya mengikut cara Islam yang dipelajarinya. Kemudian, beliau dihantar belajar agama di Bermin, Patani.
Pada tahun 1912, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Mekah. Di Mekah, beliau belajar dengan Pak Chik Wan Daud, bapa saudaranya. Beliau begitu fasih berbahasa Arab disebabkan sejak kecil lagi tinggal di Mekah. Kebolehannya yang istimewa ialah mengarang syair Arab di mana beliau berjaya mengarang sebuah buku Qawaid al-Fiqhiah dalam bentuk syair dengan tulisan tangan. Kebolehan Pak Cu Him telah mendapat pengiktirafan dan diberi tauliah untuk mengajar agama di Masjidil Haram selama beberapa tahun. Pak Cu Him tinggal di Mekah selama 12 tahun dan menemui guru-guru termasyhur di sana yang di antaranya ialah Sahibul Fadzilah Sheikh Yahaya Patani, Sahibul Fadzilah Tok Ramli, Sahibul Fadzilah Sheikh Muhammad 'Ali Maliki dan Sahibul Fadzilah Sheikh Muhammad Mukhtar al-Jawi.
Setelah pulang ke tanahair, Pak Cu Him telah mengambil alih pondok mertuanya, Haji Ismail Che' Dol di Gajah Mati setelah berkahwin dengan anak gadisnya yang bernama Hajah Zainab pada tahun 1926.
Pada 14 November 1931, Syeikhul Islam Negeri Kedah iaitu Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek mengeluarkan tauliah kepada Pak Cu Him untuk mengajar agama dalam negeri Kedah Darul Aman. Pondok Gajah Mati di bawah pimpinan beliau mendapat sambutan ramai dan didatangi penuntut-penuntut dari Jambi, Mendiling, Patani, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan penuntut dari Kedah sendiri. Pada zaman puncaknya, pondoknya pernah mencapai angka 500 orang penuntut.

Di dalam pengajarannya, Pak Cu Him meneruskan cara-cara yang ditetapkan oleh Tok Ayah Che' Dol di Pondok Gajah Mati iaitu mengajar bahasa Arab dengan mengutamakan nahu, saraf, loghat, syair dan mantiq. Ilmu-ilmu agama seperti fiqah, tauhid dan sebagainya turut diajar di samping mata pelajaran Quran dan Hadis. Beliau gemar mengajar syair Arab seperti Syair Ibnu 'Uqail dan beliau sendiri sentiasa menukil syair-syair Arab apabila bersembang dan mengajar. Beliau yang amat tertarik dengan ilmu Tauhid dan Usuluddin turut menjadikan pengajarannya amat menarik bila disulam dengan syair-syair yang berkaitan. Kitab-kitab nahu yang beliau gunakan dengan baik sekali ialah karangan Sheikh Jamaluddin Ibni Hisham seperti Syarah Al-Qutur dan Syarah Al-Syuzur. Manakala kitab-kitab Fiqah yang Pak Cu Him gunakan ialah Al-Tahrir dan Fathul-Wahhab karya Sheikh Zakaria Al-Ansari.
Dalam soal kemasyarakatan, Pak Cu Him mementingkan perpaduan. Beliau telah melihat bagaimana masyarakat Arab di Timur Tengah dilanda kucar-kacir kerana mereka tidak bersatu-padu dan enggan hidup bermuafakat. Beliau juga risau melihat keadaan bangsa Melayu di Negara Patani yang telah dikucar-kacirkan oleh pemerintah Thailand. Menyedari hal inilah, Penghulu Mukim Padang Pusing dengan imam dan ketua-ketua kampung seluruh mukim tempat Pondok Gajah Mati terletak telah berkumpul mengadakan mesyuarat bersama Tuan Guru Haji Ismail Che' Dol, Haji Awang (ayah Tuan Guru Haji Ahmad Rabat) dan Tuan Guru Haji Ahmad Rabat serta Pak Cu Him sekali kerana menggubal peraturan-peraturan untuk bersatu-padu dalam sebuah mukim. Perjanjian "Jam'iaitul Ittihadiyah" yang diterjemahkan sebagai "Perhimpunan Yang Bersuatu" telah ditandatangani pada 17 Ogos 1926.

Anak-anak buah masing-masing dan penuntut-penuntut dalam pondok akan diberi penjelasan bahawa sesiapa yang engkar bekerjasama dengan penghulu, imam, Tuan Guru dan Ketua-ketua kampung akan dikenakan hukuman. Antara hukumannya ialah :
    1. Tiada menziarahinya apabila ia sakit.
    2. Memulaukan kendurinya.
    3. Tidak mengunjungi kematiannya melainkan dua orang yang akan mengebumikan mayatnya.
    4. Tidak akan mendapat layanan dari mudim dan bidan.
    5. Asingkan kuburnya.
Selain itu, orang ramai akan berpakat menangkap orang yang melanggar hukum-hukum adat dan syarak dan menyerahkan mereka kepada pemerintah supaya dihukum sewajarnya mengikut Undang-undang Negeri. Sebagai menguatkan amalan-amalan agama, pihak yang menurunkan tandatangan telah melarang anak buah di dalam Mukim Padang Pusing dari membuat kenduri pada hari Jumaat kecuali kenduri Maulid Nabi. Begitu juga jika diizinkan dan dianggap sebagai kesalahan jika membuat kenduri pada mana-mana hari tiga hari selepas Hari Raya Haji dan pada hari-hari Puasa Enam 2 hingga 7 Syawal.
Pak Cu Him juga sempat mengarang kitab "Fathul Jalil Wa Syifa Ghalil" yang siap pada 30 Jun 1966. Dalam karya ini beliau menggubah 51 bait syair Arab dan membuat ulasan atau syarah kepada tiap-tiap bait itu dalam Bahasa Melayu. Kitab ini membicarakan antara lain tentang sifat mustahil Allah Taala iaitu qadim atau baharu. Selain karya yang diterbitkan ini, banyak catatan Pak Cu Him di dalam bahasa Melayu dan Arab mengenai fatwa-fatwa agama dan juga khutbah-khutbah yang ditinggalkan tanpa dicetak. Terdapat syair-syair Arab dan penjelasan-penjelasan mengenai Nahu Arab disusun dengan tertib dalam simpanannya.
Sahibul Fadzilah Haji Wan Ibrahim bin Haji Wan Abdul Kadir menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 Syawal 1388 H bersamaan 11 Januari 1968 ketika berumur 75 tahun. Jenazahnya diabadikan di perkuburan masjid lama Kampung Gajah Mati berhampiran kubur Tok Ayah Haji Ismail Che' Dol.